KEK bertemakan Dora Explorer dan satu lagi kek bertemakan Boboiboy diletakkan di atas meja. Melihat dekorasi indah dengan tema kartun, dua orang kanak-kanak itu tersenyum lebar. Suka!
"Wah, cantiknya..." Bisik Orked. Terpukau dengan kecantikan kek itu. Mata langsung tidak berkelip. Sementara, Syifa yang memerhati reaksi dua orang kanak-kanak itu menghembuskan nafas lega. Syukurlah mereka suka.
Hampir tak jadi kek yang dia buat. Itupun dia baru nak belajar. Tapi syukurlah, Mak Yun sedia membantunya di dalam dapur.
"Cakap terima kasih dengan aunty Syifa," kata Puan Sri Kinan sembari melorek senyum bila melihat cucu-cucunya. Bukan main gembira dua orang ini. Tak sah kalau tak sambut hari ulang tahun bersama-sama. Melekat saja kerjanya.
"Terima kasih, aunty Syifa!" jerit mereka. Penuh teruja.
"Sama-sama..." Syifa membalas lembut.
"Aduh budak dua orang ni." Puan Sri Kinan mengeluh panjang. Makin membesar, makin banyak ragam Haqqim dan Orked. Kadang-kadang dua orang tak nak mengalah bila ada yang buat salah.
Pada masa yang sama, Syifa cuma diam membisu sambil menatap wajah ceria anak buahnya. Jikalau anak yang berada dalam kandungannya dulu masih hidup, mesti mereka sudah membesar dengan baik seperti Haqqim dan Orked.
Setiap kali hari ulang tahun anaknya, tentu dia akan membuatkan kek dengan penuh kasih sayang. Namun sayangnya, itu cuma mimpi. Anak-anaknya sekarang lebih bahagia di syurga, yang ada cuma sekadar menitip doa.
"Syifa..."
"Ya?" Pantas dia menyahut ketika nama itu dipanggil. Wajah langsung menoleh ke belakang. Saat itu juga, wajah Raudhah jelas terpampang di depan mata.
"Mari sini..." Lengan Syifa terus diraih kemudian ditarik. Mahu tidak mahu, Syifa terpaksa mengikut jejak langkah Raudhah dari belakang hingga mereka berhenti di satu tempat.
"Nah," ucapnya sambil menghulurkan beberapa keping not itu. Tidak semena-mena Syifa meneguk air liur kelat. Bukan kertas biasa tetapi duit.
"Terima kasih sebab buatkan kek untuk Haqqim..." Raudhah menarik senyum. Dia masih lagi menghulurkan beberapa keping not itu kepada Syifa.
"Tak apalah. Saya ikhlas..."
"Ambil je, belilah sesuatu yang awak nak ke. Kesian awak dah berjaga malam sebab nak siapkan kek tu." Rasa bersalah. Bukannya dia tak tahu Syifa sudah menghabiskan banyak masa dan tenaga untuk menyiapkan kek hari ulang tahun Haqqim dan Orked.
YOU ARE READING
𝐑𝐚𝐭𝐮 𝐊𝐢𝐫𝐢𝐦𝐚𝐧 𝐓𝐮𝐡𝐚𝐧
Romance𝐋𝐮𝐭𝐡 𝐐𝐚𝐲𝐲𝐢𝐝 | 𝐍𝐮𝐫 𝐒𝐲𝐢𝐟𝐚 𝐈𝐤𝐡𝐚𝐰𝐚𝐧𝐚 Mereka kata perkahwinan itu membahagiakan. Perkahwinan itu menyeronokkan. Tetapi kenapa apa yang dirasakan selama ini hanyalah sebaliknya? Dicurangi, dihina bahkan maruah diri itu seakan-aka...