"Kita ni perempuan, kalau tak pandai jaga suami. Macam inilah jadinya." Kata Mak Long yang sedang sibuk menghiris bawang untuk dimasak esok untuk majlis sambut menantu.
"Suami ni, Ain. Kita jaga makan pakai dia saja tak cukup. Kena jaga juga keinginan dia tu. Jangan pernah menolak. Kena jaga diri kita supaya dapat berikan mereka kepuasan. Bila mereka tak puas, itu yang cari lain." Tambah Mak Andak.
Nasihat ini semua keluar kerana kak Maya membuka cerita tentang kawannya yang sedang meroyan kerana ditinggalkan oleh suami. Menurut kak Maya, kawannya itu orang yang sangat kuat bekerja. Balik kerja dah malam. Tak ada masa nak layan suaminya. Suatu malam tu, dia baru balik dari kerja luar. Dilihatnya suaminya sedang bermesra dengan seorang perempuan didalam bilik mereka. Waktu itu juga suaminya menceraikannya.
"Kak Long, nak buat apa lagi ni?" Tanya mak yang baru masuk ke ruang dapur.
Esok merupakan majlis untuk menyambut menantu. Akhirnya, Hakimi bernikah juga dengan wanita pilihannya, Nadia Husna. Cantik dan manis orangnya. Ain sangat berkenan sejak pertama kali bertemu mata dengan Nadia.
Majlis esok cuma majlis kenduri kesyukuran saja. Tiada majlis yang besar. Hanya menjemput saudara mara terdekat dan jiran tetanggan yang berhampiran saja. Cuma nak sambut menantu dengan cara kami sekeluarga.
Berqasidah dan berzanji bila pengantin perempuan sampai. Itu pun dikalangan kaum hawa saja. Kaum adam tidak dibenarkan untuk masuk ke dalam rumah sewaktu kami sedang berqasidah dan berzanji kerana saat itu juga akan ada upacara untuk menari antara ahli keluarga untuk mengelakkan rasa kekok ahli baru dengan ahli keluarga kami.
"Sebagai isteri ni kita kena pandai jaga badan kita Ain. Suami ni nak anak. Dalam masa yang sama, dia nak kita sentiasa nampak macam anak dara. Dan dia nak kita sentiasa mantap macam kali pertama." Sambung Mak Andak.
"Betul tu, Mak Andak. Tu pasal, Maya bagi anak cepat-cepat pada Afwan. Nak ikat dia pada kita. Kalau ada anak ni, dia lain sikit. Dia nak buat perangai pun akan fikir anak dulu." Sokong Kak Maya.
Ain hanya dengar tanpa menyampuk kata-kata mereka itu. Hatinya sudah mula gelisah. Keadaan dia lagi teruk. Langsung tak pernah layan Amran selayak seorang isteri melayan suaminya. Makan pakai Amran pun, Mummy yang uruskan.
"Budak zaman sekarang, suami tak ajar macam mana nak puaskan mereka. Mak Long dulu, Pak Long ajar macam mana nak buat dia rasa puas. Lain orang lain cara kenikmatan yang mereka rasa. Lepas tu, bila tak puas, cari lain. Itulah masalah orang sekarang. Tak ada komunikasi." Walaupun kata-kata Mak Long itu tanpa lapik, tapi disitulah kebenarannya.
Tapi Ain tak tahu apa kebenarannya. Dia sendiri bermasalah untuk melakukan hubungan intim suami isteri sehingga dia tegar untuk minta Amran melupakan seketika hubungan suami isteri. Hanya bertindak sebagai seorang kekasih.
"Itulah Kak Long. Tu sebab Kak Ngah selalu pesan pada anak-anak. Dalam rumahtangga ni, komunikasi paling penting. Orang sekarang ni asyik pentingkan rasa cinta, jujur, ikhlas, percaya, dan setia saja. Mana nak wujud tu semua kalau tak ada komunikasi. Kalau ada komunikasi yang baik, semua tu akan datang dengan sendirinya. Itu mereka tak pernah nak faham." Sokong Mak Ngah.
"Entahlah budak-budak sekarang ni. Apa yang difikirkannya. Entahlah. Bila dah bercerai-berai. Anaklah paling kesian." Tambah Mak Long.
"Itulah. Mujur kawan Maya tu tak ada anak lagi. Kalau tidak, tak tahu apa pula yang akan jadi nanti." Cerita Kak Maya.
Ain masih menjadi pendengar yang setia sambil membuat kerjanya menghiris daun pandan untuk dibuat wangian didalam rumah. Bau daun pandan yang segar itu sedikit pun tidak menyegarkan kepala otak Ain yang sedang sarat dengan informasi tentang hubungan suami isteri dan peperangan dalaman dirinya.
YOU ARE READING
Ain Nadira
RandomKahwin dengan kawan sendiri tanpa sedar? Baguslah Ain. Tunang sendiri pun tak kenal. Alih-alih terkejut tengok kawan sendiri, Cerita paling gedik diabad ini. Amran Shauqi jatuh cinta pada Ain Nadira sejak sekolah rendah tapi Ain Nadira kenal Amran...