Piano Antik

671 17 0
                                    

Piano Antik

Suasana di Jaya Road pada pagi itu kelihatan sungguh tenang sekali. Langitnya cerah, awannya berkepul-kepul berarak perlahan. Dikiri kanan jalan terdapat beberapa orang pejalan kaki yang sedang berjalan menuju ke tempat kerja masing-masing atau mungkin pergi menikmati udara segar pagi barangkali. Ada yang membawa beg, ada yang singgah membeli kopi, ada mengepit surat khabar dan ada juga yang sedang berborak sesama sendiri sambil berjalan. Begitulah rutin harian di Jaya Road. Jaya Road terletak di pinggir sebuah pekan kecil yang damai dan menenangkan. Di sebelah kiri jalan itu terdapat sederet kedai dan di sebelah kanannya terdapat taman rekreasi. Jika petang hari, ramailah yang akan berkunjung ke situ untuk beriadah dan menghirup udara segar.

Azli menyeluk poket seluarnya dan mengambil kunci. Dia membuka pintu kedainya lalu masuk ke dalam sambil meletakkan surat khabar yang baru dibelinya sebentar tadi di atas meja kaunter. Suis lampu dibuka. Azli mencapai penyapu yang terletak di sudut belakang kedai dan menyapu lantai kedainya dari belakang sehingga ke hadapan. Begitulah rutin hariannya setiap pagi. Azli, 35 tahun. Seorang bapa tunggal. Memiliki sebuah kedai antik yang diwarisi daripada arwah bapanya. Arwah bapanya dulu amat menyukai barang-barang antik. Dia mempunyai banyak koleksi barangan antik yang sangat berharga, penuh satu kedai itu dengan barang-barang antik miliknya. Daripada kamera, syiling lama, radio, tembaga, basikal, peralatan muzik, dan bermacam-macam lagi.

Adakalanya arwah bapanya itu tidak akan menjual barang yang mempunyai nilai seni dan nilai sentimental yang tinggi lantas disimpan sahaja untuk dijadikan koleksi. Azli juga mempunyai minat yang sama dengan bapanya. Semuanya bermula ketika dia berumur 11 tahun. Dia begitu gemar mengumpul setem. Koleksi setemnya pada waktu itu mempunyai pelbagai tahun, jenis dan rupa. Lama kelamaan minatnya itu merebak ke barang-barang antik dan vintaj. Azli mahir dalam menilai dan memahami dunia barang antik. Jika ada waktu terluang, dia rajin ke pelbagai pelusuk tempat hanya untuk mencari barangan antik. Itu bagai satu kepuasan buatnya sebagai peminat tegar barang antik. Baginya, sayang jika barang yang bernilai tinggi ini dibiarkan berhabuk dan terbiar begitu sahaja.

Ada ramai juga yang datang ke kedai Azli untuk menjual barang-barang antik milik mereka. Bagi mereka mungkin barang tersebut sudah tidak dipakai lagi dan hanya memenuhi ruang rumah sahaja. Tetapi tidak bagi Azli. Jika ada barang yang sudah rosak sedikit, Azli akan membaik pulih barang tersebut dan dijual kembali di kedainya. Hobi mengumpul barang lama dan antik merupakan satu hobi yang memerlukan kos tinggi. Namun bagi mereka yang mempunyai minat yang mendalam, wang ringgit bukanlah segala-galanya kerana kepuasan adalah yang utama. Mereka sanggup berhabis hanya untuk memastikan barang itu terpamer indah di ruang rumah mereka. Mereka yang mempunyai hobi tegar ini sahaja yang faham.

..............................................................

Hari itu, Azli didatangi seorang lelaki. Berumur dalam lingkungan pertengahan, fizikalnya sederhana tinggi, memakai jaket bewarna coklat gelap dan berkasut kulit. Lelaki itu memperkenalkan dirinya sebagai En. Daud. Kedatangannya ke kedai Azli adalah untuk menjual piano lama miliknya. Lori bersaiz sederhana besar milik lelaki pertengahan umur itu diparkir betul-betul di hadapan kedai Azli. Memang Azli sengaja mengosongkan parkir di hadapan kedainya itu untuk memudahkan proses mengangkut dan menurunkan barang. Piano tersebut diturunkan dengan bantuan beberapa orang pekerja Azli. Agak berat. Mungkin material dan kayunya bermutu tinggi memandang piano tersebut adalah piano lama.

Azli terus meneliti piano tersebut. Di atas sebelah kiri badan piano tersebut tertulis jenama Baldwin dan tertera juga tahun keluarannya iaitu 1975. Materialnya diperbuat daripada kayu mahogany, kayu yang sangat bermutu tinggi dan sesuai untuk pembuatan peralatan muzik kerana bunyi yang dihasilkan bagus dan bermutu tinggi. Azli memeriksa bahagian badan piano itu pula, kondisinya semua masih baik lagi kecuali terdapat calar dan satu goresan sedikit di bahagian atasnya. Goresan sepanjang lebih kurang 10 sentimeter itu agak dalam sehingga menampakkan kayu dalam. Bagi Azli itu hal kecil kerana kerosakan itu mudah untuk dibaik pulih.

Creppy Pasta✔Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang