Sejak Hari Itu

307 6 2
                                    

Sejak Hari Itu..

Kisah seram malam ini terhasil daripada sambungan ayat-ayat 'Sejak Hari Itu' yang kamu semua hantar kepada kami, Sepuluh ayat-ayat ini adalah yang terbaik kami pilih dalam banyak-banyak. Dalam kisah seram ini kami telah memasukkan semua ayat-ayat itu untuk menjadi pelengkap suatu cerita. Cerita ini sememangnya agak panjang, harap kamu semua dapat membaca dengan sabar dan tenang untuk membantu fokus memahaminya. Lebih afdal dibaca pada tengah malam dan ketika berseorangan. Minta maaf kerana mengambil masa yang lama untuk kami mencari ayat yang terbaik disamping memerah idea untuk menghasilkannya. Terima kasih semua, Harap kamu semua enjoy.

Pernahkah anda terfikir, bagaimana jika anda diberi peluang untuk mengalami pengalaman seram lagi menakutkan dalam satu malam tanpa henti? Dalam keadaan di mana anda tidak diberi peluang untuk melepaskan diri malah harus menikmati 'keseronokkan' pengalaman seram tersebut. Kisah ini terjadi pada suatu malam sewaktu aku sedang bersiar-siar mengambil angin. Kereta, aku tinggalkan di parkir yang lapang bersebelahan bangunan lama. Tekanan hidup yang begitu memuncak membuatkan aku mengambil keputusan untuk keluar berjalan tanpa arah tuju seorang diri malam itu. Fikiran aku sudah berkecamuk, jiwa aku entah ke mana. Seribu satu masalah menghinggap di benak kepalaku lalu menuju ke saraf-saraf.

Aku pandang sahaja bangunan usang yang tersergam tidak jauh di sebelah aku waktu itu. Bunyi anjing menyalak sayu menimbulkan rasa seram. Namun aku tidak langsung berasa seram atau takut pada waktu itu. Mungkin kerana hal tekanan hidup sudah menguasai hampir 99.9% otak aku malam itu. Buatkan aku imun.

Dahulunya dikatakan bangunan besar di hadapan aku ini dirancang untuk membina sebuah pasar raya, namun entah kenapa projek ini terhenti di situ. Mungkin kontraktornya lari. Hampir sebahagian bangunan sudah siap, manakala sebahagian lagi masih berbatu bata. Lumut, kotoran serta tumbuhan-tumbuhan liar sudah memenuhi permukaan bangunan itu. Memang menyeramkan bagi sesiapa yang melaui kawasan itu. Penduduk setempat ada mengatakan ternampak kelibat itu dan ini bangunan tinggal tersebut. Katanya ada yang ternampak kelibat perempuan mendukung bayi kecil di tingkat dua. Tidak kurang ada juga yang selalu mendengar bunyi ketawa dan hilaian panjang yang menyeramkan sewaktu melalui kawasan tinggal itu.

Aku mencampak puntung rokok di atas rumput lalu berjalan ke arah bangunan usang tersebut. Pada waktu itu aku sudah tidak fikir apa, apa yang aku mahu hanyalah menenangkan diri yang cukup berserabut ini. Seiring aku berjalan menuju ke dalam bangunan lama tersebut, masalah-masalah hidup juga menerawang di dalam fikiranku. Aku terbayangkan hal di tempat kerja di mana semua orang memperlekehkan aku, aku terbayang keluarga aku yang sentiasa tidak faham apa yang aku impikan dalam hidup, dan aku terbayangkan Zara. Perempuan yang selalu dan selalu mengkhianati aku di waktu aku sudah mencurahkan segala jenis macam perasaan cinta padanya.

Ah, pergi mati dengan semua tu! Bisik hati rebel ku. Kini aku sudah memasuki bangunan usang yang dikatakan berhantu ini. Gelap gelita. Mujur ada lampu suluh di telefon. Aku berjalan perlahan-lahan untuk cuba memasuki bahagian utama bangunan yang besar itu. Bersepah kayu-kayu, ranting pokok, daun-daun kering dan juga kertas-kertas kotak. Aku syak Mat pet jadikan tempat ini sebagai sarang melepaskan gian. Aku menjadi semakin berani, aku berjalan terus lebih dalam lagi. Terdapat satu bahagian besar, selebar padang bola sepak bersaiz standard. Di kirinya terdapat sebuah pokok kecil yang sudah tumbuh melalui retak-retak dinding. Dibahagian siling pula terjuntai wayar-wayar berwarna hitam yang belum siap dipasang. Mungkin ini bahagian utama pasar raya, ujar ku dalam hati. Jarum jam melewati angka 12 malam. Tiba-tiba.

"Kring! Kring!"

Aku terperanjat. Telefon bimbit aku berbunyi. Lampu suluh di telefon bimbit aku mati kan dahulu bagi menjawab panggilan yang entah daripada siapa itu. Bila aku lihat di skrin, nombor yang terpapar adalah nombor yang aku tidak kenali. Tanpa berfikir panjang aku pun menjawab panggilan itu. Mungkin rakan-rakan sedang dalam kecemasan. Yang anehnya, si pemanggil senyap tidak memberikan respon apa-apa walaupun dengan perkataan hello. Aku memanggilnya berkali-kali. Tidak lama selepas itu kedengaran bunyi seperti orang sedang mendengus di dalam talian telefon itu, kemudian ketawa! Aku sudah tidak sedap hati. Aku terus memanggilnya.

Creppy Pasta✔Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang