kerusi roda

273 10 0
                                        

Kerusi Roda

Pada tahun 1984, ada seorang nenek tinggal berseorangan di sebuah banglo dua tingkat. Nenek itu mengalami lumpuh di bahagian kaki dan dia hanya mampu duduk di kerusi roda sahaja. Nenek itu tidak mampu menjaga diri sejak kematian suaminya. Oleh itu setiap hari akan ada jururawat datang ke rumahnya untuk melakukan kerja rumah dan membantu nenek itu.

Banglo dua tingkat itu hanya mempunyai tangga jika mahu naik dan turun. Sekiranya nenek itu mahu naik atau turun, jururawat terpaksa mendukungnya sewaktu melalui tangga.

Pada suatu hari, polis mendapat satu panggilan kecemasan daripada nenek itu kerana ada kejadian pembunuhan. Oleh kerana sukar untuk mendapatkan polis ketika itu, hanya detektif sahaja dihantar ke tempat kejadian.

Apabila detektif sampai, dia menjumpai mayat jururawat terbaring di lantai ruang tamu dan penuh dengan darah. Tangan dan kakinya patah dan lehernya dikerat. Nenek itu duduk di kerusi rodanya di tangga tingkat atas sambil memerhati detektif itu. Nenek itu kelihatan terkejut.

Detektif tidak merasakan nenek itu adalah suspek kerana keadaan nenek yang lumpuh itu. Detektif itu memakai sarung tangan, mengambil gambar dan mencari bahan bukti. Dia cuba mencari petunjuk dan meminta kebenaran nenek itu untuk dia menyiasat di tingkat atas. Nenek itu berkeras yang tiada siapa di tingkat atas dan hanya dia sahaja berada disitu ketika kejadian berlaku.

Namun detektif itu terus naik ke atas untuk menyiasat. Nenek itu hanya duduk sahaja di kerusi rodanya. Di tingkat atas itu terdapat satu koridor dan mempunyai tiga bilik. Dia terus menyiasat satu persatu bilik itu. Bilik pertama kosong. Bilik kedua pun kosong. Tiada tanda apa-apa yang mencurigakan. Detektif itu terus menyiasat sehingga dia masuk ke bilik terakhir iaitu bilik tidur nenek itu.

Dia masuk ke dalam bilik itu dan melihat ia seperti bilik biasa. Ada katil, ada almari baju, meja kecil. Dia menyiasat setiap penjuru namun masih tidak menjumpai satu petunjuk. Lama-lama baru dia sedar satu perkara yang mencurigakan. Dia ingat kembali yang nenek itu menelefon polis namun di dalam bilik itu tiada satu bayang telefon pun.

Dia hanya perasan ada satu telefon di ruang tamu tingkat bawah. Detektif itu memegang pistolnya dan perlahan-lahan keluar dari bilik. Dia berjalan menuju ke tangga dan apa yang dia lihat hanyalah kerusi roda dan nenek itu sudah hilang dari pandangannya..

Creppy Pasta✔Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang