Pembonceng Malam
Dalam keheningan mentari senja kelihatan seorang lelaki sedang menolak motosikalnya di sebatang jalan. Dari segi gaya dan pakaian nampaknya lelaki itu seperti sedang pulang kerja. Nasibnya tidak baik kerana motosikal yang baru dibelinya beberapa minggu lepas tiba-tiba rosak. Zubir, bekerja sebagai penghantar surat atau bahasa mudahnya mat despatch. Dalam keadaan muka yang agak sedikit marah ditambah pula dengan kepenatan, Zubir menolak motosikalnya untuk pulang ke rumah yang terletak lagi kira-kira 5 kilometer. Dalam hatinya dia mahu singgah dahulu ke bengkel motor Ah Seong.
"Sial punya motor, selalu buat hal! Aku baru beli kau tak sampai sebulan pun" Zubir menyumpah seranah sambil menolak motosikal barunya itu.
Sebenarnya motosikal yang baru dibeli Zubir itu bukanlah motosikal baru sebaliknya motosikal 'second hand' yang dibeli dari seorang lelaki di kawasan tempat tinggalnya. Oleh kerana ingin berjimat Zubir terpaksa membuat keputusan untuk hanya memiliki sebuah motosikal terpakai. Dalam kehidupan ekonomi yang semakin meruncing ini Zubir harus membuat keputusan-keputusan yang bijak bagi mengelakkan pengaliran wang keluar yang tidak terkawal. Rumahnya juga dia sewa beramai-ramai bagi menjimatkan kos. 8 orang semuanya rakan sewa rumah Zubir. Walaupun adakalanya tidak selesa serumah beramai-ramai tetapi Zubir tiada pilihan lain.
Setelah membayar kepada Ah Seong caj membaiki motornya, Zubir terus berlalu pergi untuk pulang ke rumah. Dalam hatinya masih mengomel lagi perihal motornya yang kerap sangat rosak. 5 hari lepas sewaktu sedang bekerja, tiba-tiba motornya pancit selepas melalui satu selekoh. Lalu menolaklah si Zubir ke bengkel motor berhampiran, akibatnya dia dimarahi pelanggan kerana dokumen pentingnya lambat sampai. 2 hari lepas pula, motosikalnya itu mati secara tiba-tiba ketika dia sedang dalam perjalanan pergi kerja. Tersadailah dia dan motosikal kesayangannya itu di tepi lebuhraya, sementara menunggu bantuan rakan sekerjanya datang.
Dia ada juga memikirkan sama ada ini ujian atau Tuhan nak menunjukkan rezekinya itu tidak berkat. Tapi Zubir tahu dan rakan-rakannya dia sendiri tahu yang Zubir ni bukanlah kaki berhibur dan selalu membuat perkara yang tidak elok. Kewajipan 5 waktu penting itu juga dia jaga dengan elok. Paling-paling jahat pun dia dan rakan-rakan serumah kadang-kadang suka bermain snuker di pekan. Tapi snuker itu hanyalah sebuah sukan dan permainan, di luar negara juga snuker juga di jadikan antara salah satu acara di kejohanan rasmi sukan. Zubir selalu tertanya-tanya mengapa masyarakat selalu pandang negatif pada permainan snuker. Yang tidak elok itu baginya jika sukan dicampur adukkan dengan judi. Zubir hanya positif, dia anggap ini hanyalah satu ujian buatnya.
................................................
"Itulah kau Zubir. Aku dah pesan haritu beli motor baru terus. Kau nak jugak beli motor 'second' ni" Kata Yahya, rakan serumahnya tetapi lebih mesra dengan panggilan Pok Ya.
"Kau ingat aku ada banyak duit ke? Duit gaji sebulan pun cukup-cukup hanya untuk makan minum aku je. Lain la kau Pok Ya, kerja selesa, gaji selesa" Kata Zubir sambil merenung ke arah motosikalnya yang di parkir di depan rumahnya itu.
"Zubir, kau yakin ke motor yang kau beli ni tak ada 'apa-apa'?" Yahya berkata lagi
"Maksud kau? Kau ni jangan fikir bukan-bukan sangatlah. Itu lah kau, selalu sangat tengok dvd cerita hantu. Motor ni okay, tak ada apa-apa. Cuma iyalah dah nama pun motor terpakai kan. Kena terima je lah" jelas Zubir
"Tapi dalam seminggu tu kerap sangat buat hal, kau tahan ke?" Yahya menyambung
Zubir hanya terdiam. Betul juga apa yang Yahya cakap tu, katanya dalam hati. Mana mungkin dia tahan kalau sudah dalam seminggu tu kerap sangat motosikalnya buat hal. Makan minum entah ke mana, wangnya pula sudah habis banyak disalurkan ke motornya itu. Dia mula terfikirkan kepada lelaki yang menjual motosikal itu pada awal bulan lepas.
KAMU SEDANG MEMBACA
Creppy Pasta✔
TerrorBaca Jangan Tak Baca... Bila Baca Hati Hati.. Jangan takut jangan panik.. Takut ada yang memerhati..