Binatang Kesayangan
Langit petang semakin mendung, awan gelap perlahan-perlahan berarak menutupi seluruh kawasan pekan kecil itu. Hari sudah mula menunjukkan tanda-tanda mahu hujan. Nadia mempercepatkan langkahnya, beg yang disandangnya sebentar tadi diletakkan di atas kepala bagi melindungi daripada hujan renyai. Kaki lima yang dilalui Nadia semakin basah oleh kerana hujan yang semakin lebat. Dia sudah biasa pergi dan pulang ke kelas tuisyen dengan berjalan kaki. Selalunya dia membawa payung bagi mengelakkan kulit mulusnya itu terkena panas, tetapi hari itu dia terlupa oleh kerana ingin cepat.
Nadia yang tadinya berlari-lari anak kini terus berlari laju kerana hujan semakin lebat. Usahanya dengan meletakkan beg di atas kepalanya tadi seakan sia-sia kerana dia hampir basah lencun. Dalam berlari Nadia ternampak sebuah pondok menunggu bas yang terletak di atas kaki lima di tepi jalan. Dia terus berlari menuju ke pondok itu sebagai tempat untuk berteduh sementara. Nadia memilih untuk duduk dahulu di bangku pondok bas itu sementara menunggu hujan berhenti. Dia keseorangan berteduh di situ. Sambil menunggu hujan dia melihat kenderaan yang lalu lalang. Lima minit sudah berlalu namun hujan masih tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti. Rasa menyesal terbit di hati Nadia kerana terlupa membawa payung, jikalau tidak mungkin sekarang ini dia sudah sampai di rumah dan berehat-rehat.
Sedang asyik menunggu, Nadia didatangi oleh seekor kucing kecil. Perlahan-perlahan kucing itu melangkah dan mengiau sambil memandang Nadia. Bulunya berwarna kelabu manakala mukanya sangat comel. Nadia terpesona dengan kecomelan kucing itu. Dia memandang ke kiri dan kanan untuk memastikan memang benar tiada tuannya berhampiran dan mungkin kucing itu kucing yang berpeleseran akibat dibuang orang. Kucing itu mengiau di kaki Nadia sambil menunjukkan isyarat seperti mahu diberikan perhatian. Nadia tunduk lalu mengangkat si kelabu comel itu lalu membelai perlahan. Kucing itu nampak kelaparan. Kucing itu masih lagi mengiau dalam pegangan Nadia.
Hujan sudah mula reda. Penunggang-penunggang motosikal yang turut menumpang berteduh di pondok itu kembali meneruskan perjalanan masing-masing. Nadia bangun dan bersiap-siap untuk menyambung langkahnya pulang ke rumah. Nadia sempat menoleh ke belakang untuk melihat kucing yang datang kepadanya tadi. Kucing itu masih berada di atas bangku pondok bas, ia kelihatan lapar dan kesejukan. Nadia memandang kucing itu sayu, rasa kasihan wujud di hati dia. Kucing itu kembali diangkat, Nadia mengambil keputusan untuk membawa ia pulang ke rumah dan memberi makan. Sekurang-kurangnya dapatlah kucing itu mengalas perutnya bagi kelangsungan hidup.
.....................................................
Buku latihan Skor SPM Matematik Tambahan diselak satu persatu, Nadia menyelak muka surat mengandungi latihan yang ditandanya ketika di kelas petang tadi. Nadia amat mementingkan masa dan dia tidak akan sewenang-wenangnya menangguh kerja. Latihan yang guru tuisyennya pesan petang tadi terus dibuat olehnya. Tambahan pula esok hari Sabtu, jadi dia membuat keputusan untuk tidur lewat sedikit malam ini dengan menyiapkan semua latihan tersebut. Bagi menghilangkan sunyi malam, Nadia memainkan lagu yang terdapat di dalam komputer ribanya.
Ruang tamunya yang tadi riuh dengan bunyi televisyen kini sudah tidak kedengaran. Ibu bapanya mungkin telah masuk tidur. Nadia pula sedang asyik membuat latihan Matematik Tambahannya. Fokus Nadia tiba-tiba hilang apabila dia merasakan ada sesuatu yang bergesel di kakinya. Terkejut dia apabila melihat kucing kecil yang dikutipnya di pondok bas petang tadi sedang mengiau dan mengesel-geselkan badannya di kaki Nadia. Rasanya selepas memberi makan petang tadi Nadia sudah meletakkan ia di luar dapur. Nadia kehairanan. Tetapi barangkali ibunya mesti lupa untuk menutup pintu jadi si comel itu telah menyusup masuk dan bersembunyi di dalam.
Nadia memegang si kecil kelabu itu lalu mengusap-usap kepalanya. Kucing itu memberi reaksi yang amat manja apabila di usap-usap bulu dan kepalanya. Tekanan dan stress daripada Matematik Tambahan tadi terus serta merta hilang apabila si comel itu datang kepada Nadia. Benarlah kata orang bahawa kucing ini ibarat terapi pada jiwa manusia. Sedar tak sedar sudah jam 2 pagi sejak Nadia duduk menghadap buku latihan itu pada pukul 12 tengah malam. Lagu Vanessa Carlton - A thousand miles di komputer ribanya dimatikan. Nadia berasa amat malas untuk turun membawa kucing itu ke bawah, jadi dibiarkan sahaja si kecil itu baring dan bermain di biliknya.
KAMU SEDANG MEMBACA
Creppy Pasta✔
TerrorBaca Jangan Tak Baca... Bila Baca Hati Hati.. Jangan takut jangan panik.. Takut ada yang memerhati..
