Roh Tidak Aman

427 20 0
                                    

Roh Tidak Aman

Amin menolak-nolak kereta permainannya di atas lantai ruang tamu. Begitu girang sekali dia bermain sambil diselang-selikan dengan gelak tawa. Ibunya, Hanis yang sedang masak hanya memerhatikan gelagat anaknya itu dari sudut dapur. Dia memandang sambil tersenyum. Amin terus bermain, habis dipunggahnya permainan-permainan yang terletak di rak almari khas dan diletakkan semuanya di lantai.

"Kakak suka tak mainan kereta ni, semalam Ayah Amin baru belikan tau untuk Amin" Kata Amin sambil menolak-nolak kereta permainan itu. Hanis yang sedang memotong sayur di meja terhenti mendengar suara anaknya. Dia terus menjengukkan kepalanya sedikit ke ruang tamu untuk melihat Amin.

"Amin. Amin cakap dengan siapa tu?" Hanis menegur Amin yang tengah asyik bermain. Hanis hairan kerana rasanya hanya dia berdua sahaja di dalam rumah ketika itu.

"Amin cakap dengan kakak tu, dia datang nak main sama-sama dengan Amin. Tu nampak dia tengah duduk dekat tepi almari. Kakak kenapa duduk jauh-jauh, mari la sini main kereta ni dengan Amin" Balas Amin.

Hanis tersentak mendengar kata-kata anaknya itu. Dia bangun lalu terus ke ruang tamu dan memandang ke sekeliling dalam rumahnya. Risau dia kalau-kalau memang ada orang yang sedang cuba menceroboh masuk. Sudahlah hanya dia berdua sahaja di rumah ketika itu. Suaminya sudah pergi ke tempat kerja. Hanis terus memandang Amin yang tengah seronok bermain dengan permainan kereta barunya. Dari riak muka Amin memang tak nampak langsung kecurigaan.

"Amin bercakap dengan siapa tadi, Mama tak nampak sesiapa pun dalam rumah ni lagi selain Amin seorang, Amin jangan main-mainkan Mama" Hanis bertanya kepada anaknya itu sambil memberikan reaksi muka bimbang.

"Tu, Amin tengah cakap dengan kakak tu. Mama tak nampak ke? Dia memang dah lama duduk dekat situ. Amin ajak dia main tapi dia duduk diam je tak nak datang sini" Kata Amin sambil menunjuk ke arah tepi almari berkaca di sudut ruang tamu yang menyimpan barang-barang perhiasan. Hanis makin hairan dan bingung. Dalam masa yang sama dia berasa tidak sedap hati.

"Macam mana rupa kakak tu Amin?" Hanis memberanikan diri menanyakan soalan itu kepada anaknya.

"Ala, mama tak nampak ke dia duduk situ? Rambutnya panjang sangat. Kakak tu cantik tau. Tadi Amin nampak kakak ni merangkak keluar dari bilik mama" Kata Amin menjelaskan sambil terus bermain.

Berderau terus darah Hanis mendengar kata- kata anaknya. Kakinya seakan lemah longlai. Dia memandang ke arah tepi almari. Tetapi memang tiada penampakkan apa-apa sosok di situ. Hanis terus terduduk diam di atas sofa. Matanya merenung memandang ke arah anaknya itu. Sebenarnya dia kebingungan. Baginya agak payah untuk seorang anak kecil berumur 5 tahun mengatakan sesuatu yang dusta. Tak kan lah anaknya itu mahu bercakap bohong atas sesuatu yang mereka sendiri benar-benar nampak. Hanis diburu ketakutan.

Hari beransur petang. Dua beranak itu mengambil angin luar sambil sama-sama menunggu insan tersayang pulang ke rumah. Hanis kelihatan sedang menyiram pokok-pokok bunga manakala Amin sedang bermain dengan basikalnya. Hanis sebenarnya masih runsing memikirkan kejadian pagi tadi. Sesekali diperhatikan anaknya itu yang lincah bermain di halaman rumah. Tidak cukup dengan mengayuh basikal, dimainnya pula bola di atas rumput. Bola disepak-sepak sehingga terkena pokok rimbun di hadapan halaman rumah. Amin ketawa girang.

Hari makin senja. Lambat pula hari ni suaminya pulang, bisik Hanis. Pokok-pokok bunga sudah siap disiram. Hanis duduk sebentar di bangku kayu di halaman rumahnya. Matanya tekun memerhati Amin yang sedang berdiri pegun sambil memandang ke atas pokok.

"Amin buat apa dekat bawah pokok tu, mari sini masuk rumah. Hari dah nak malam". Hanis memanggil anaknya. Namun Amin masih berdiri di bawah pokok rimbun itu sambil memandang ke arah atas. Kelihatan mulutnya sedang terkumat kamit seperti sedang bercakap seseorang. Hanis makin tidak sedap hati. Hanis bangun dan memanggil Amin sekali lagi.

Creppy Pasta✔Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang