Kawan Lama
Tangga bas dituruni satu persatu, Amar berdiri sebentar di bahu jalan bagi memberi laluan kepada bas yang dinaikinya tadi untuk bergerak pergi. Asap dan debu daripada bas tersebut membuatkan Amar terbatuk kecil. Amar menyeberangi jalan besar dua hala itu untuk menuju ke rumahnya. Sudah setahun lebih sejak sibuk dengan pengajian di ibu kota Amar tidak pulang ke kampung. Tahun akhir merupakan tahun yang sibuk buatnya, itu belum termasuk kesibukan menjalani latihan industri di ibu kota yang sama. Kebetulan latihan industrinya baru sahaja tamat pada Rabu lepas dan dia mempunyai cuti satu minggu sebelum kembali ke pusat pengajian semula bagi membentangi tesisnya kepada pensyarah.
Rindu dia pada orang tuanya tidak dapat dibendung lagi, saban hari dia menghubungi melalui telefon bertanya khabar dan kesihatan. Amar anak bongsu, adik-beradiknya yang lain sudah berkeluarga sendiri dan masing-masing tinggal berjauhan. Bas yang dinaikinya tadi merupakan bas yang terakhir pada malam itu. Pukul 11 malam. Kampungnya pada ketika itu sudah sunyi. Amar tiada pilihan lain selain berjalan kaki untuk pulang ke rumah orang tuanya yang terletak lebih kurang setengah kilometer dari jalan besar.
Pinn! Pinn!
Amar menoleh ke belakang, cahaya daripada lampu motor di belakangnya cukup menyilaukan mata Amar. Dia mengecilkan mata untuk melihat siapa yang menunggang motor itu. Daripada bunyi enjin seperti bunyi motor jenis Honda EX5, kata Amar dalam hati. Penunggang itu betul-betul memberhentikan motor di belakangnya, terlihat kelibat kepala yang botak dalam kesamaran malam itu. Amar jadi gusar, risau kalau dibuatnya kalau samseng-samseng kampung mahu datang merompaknya. Amar cukup tidak gemar dengan segelintir budak-budak nakal di kampungnya yang suka berpelesaran dan berlumba. Jika dilihat di papan tanda jalan tidak tertulis di situ nama bapa masing-masing. Tapi kenapa mereka selalu suka menjadikan jalan-jalan di kampung itu seperti jalan bapa mereka. Geram Amar.
"Hoi Amar! Apa tercegat dekat situ je? Macam dah tak kenal aku je. haha" Penunggang EX5 itu bersuara.
"Eh, laa kau rupanya Man Tebor. Aku ingatkan penyamun mana tadi malam-malam macamni. hahaha" Kata Amar bergurau sambil menghulurkan salam kepada rakannya itu.
Man Tebor merupakan sahabat lamanya ketika di sekolah dahulu. Nama Man Tebor diberi kerana selepas sekolah dia bekerja menyambung legasi kedai bapanya sebagai penebar roti canai. Bapanya kebetulan baru sahaja meninggal dunia. Lama kelamaan nama panggilan itu melekat. Man Tebor menumpangkan Amar pulang ke rumahnya malam itu. Sambil dalam perjalanan itu mereka berdua berborak rancak kerana sudah lama tidak bertemu. Jambatan batu diseberangi dan EX5 merah diberhentikan di halaman rumah Amar.
"Terima kasih Man, nanti esok kita sambung borak lagi ya. Kita lepak dekat warung satay depan tu. Aku cuti seminggu ni"
"Ok cantik! Warung yang warna kuning tu kan. Kau rehat lah dulu Amar malam ni, kita jumpa dekat situ esok" Kata Man Tebor
Amar mengangkat tangan kepada rakannya itu lalu berjalan memasuki rumahnya. Sambil berjalan Amar terfikir sejenak yang sejak bila warung satay itu berwarna kuning. Setahunya ia berwarna biru. Mungkin sudah dicat baru, lagipun dia sudah lama tidak balik ke kampung. Amar malas hendak mengambil penting hal itu, tubuhnya kini sudah letih akibat perjalanan jauh dari ibu kota ke kampungnya itu. Rumahnya sudah sunyi waktu itu, ibu bapanya mungkin sudah tidur tetapi Amar sudah memberitahu mereka dia pulang hari ini. Selepas selesai membersihkan diri Amar terus merebahkan tubuhnya di katil.
...............................................................
5.30 PM - Warung SataySementara menunggu Man Tebor datang, Amar memesan teh ais daripada Pak Nasir. Orang-orang di warung itu sudah mengenali sangat Amar, memandangkan dia anak penghulu. Pak Mokri, Wan Said, Wak Sukiman, Rahim Tejo, dan Mansor yang berada di situ semua bertanyakan khabar kepada Amar. Mereka semua merupakan pelanggan tetap di Warung Satay Pak Nasir. Jika mahu mencari mereka, cari lah mereka di situ, pasti ada.
KAMU SEDANG MEMBACA
Creppy Pasta✔
TerrorBaca Jangan Tak Baca... Bila Baca Hati Hati.. Jangan takut jangan panik.. Takut ada yang memerhati..