#urbanlegend Baby Blue
Kisah urban legend ini menceritakan satu permainan paranormal yang sering dimainkan oleh para remaja suatu ketika dahulu. Urban legend ini juga dikaitkan dengan mitos Bloody Mary.
Cara permainan Baby Blue ini ialah pemain harus masuk ke bilik air sambil lampu ditutup dan pintu dikunci. Kemudian pemain harus merenung cermin sambil menggayakan tangan seperti mendukung bayi dan berkata “baby blue, blue baby” sebanyak 13 kali tanpa tersasul.
Jika pemain berjaya melakukan langkah-langkah itu, pemain dapat merasakan sesuatu yang berat dipangkuan tangannya seperti sedang mendukung bayi. ‘Bayi’ itu akan semakin berat dan membesar sehingga pemain dapat rasa tangannya dicakar oleh ‘bayi’ itu.
Sebelum ‘bayi’ itu menjadi semakin berat, pemain harus ‘flush’ bayi itu ke dalam tandas dengan cepat dan keluar dari bilik air. Jika pemain gagal berbuat begitu, akan muncul wajah perempuan yang menyeramkan di cermin. Dia akan menjerit “Pulangkan balik bayi aku!” dan jeritannya mampu memecahkan cermin itu. Jika pemain masih mendukung ‘bayi’ itu, nyawanya mungkin terancam.
Ada yang mengatakan perempuan itu adalah Bloody Mary dan dia telah membunuh anaknya sendiri dengan menggunakan serpihan cemin kaca dan menikam bayinya hingga mati.
Berdasarkan kisah urban legend, terdapat satu kumpulan gadis remaja mengetahui permainan Baby Blue ini dan bercadang untuk mencubanya. Mereka tidak percaya permainan itu akan menjadi, lalu mereka menyuruh seorang rakannya bernama Laura untuk masuk ke dalam bilik air secara bersendirian. Laura menutup lampu dan pintu sambil membaca ‘baby blue, blue baby.’ Dia menggayakan tangannya seperti sedang membuai bayi.
Tiba-tiba terdapat susuk bayi muncul diriba tangannya dan mula mencakar tangan Laura. Laura sangat terkejut dan tidak tahu hendak buat apa. Dia cuba untuk melarikan diri namun dia takut akan menimpa nasib buruk. Oleh itu dia hanya berdiri di dalam bilik air dan mendukung ‘bayi’ itu yang semakin lama semakin berat. Namun ketika itu Laura ternampak sesuatu yang menyeramkan di cermin bilik air dan terus menjerit ketakutan.
Apabila rakan-rakan Laura menyedari jeritan Laura, mereka cuba untuk masuk ke dalam bilik air namun pintu sudah terkunci. Akhirnya dengan bantuan jiran, mereka dapat memecah masuk ke dalam bilik air tersebut. Apabila mereka masuk, mereka mendapati Laura sudah terbujur kaku dan tidak bernyawa lagi. Keadaan menjadi lebih mengerikan apabila mereka melihat mata Laura sudah dikorek dan mereka tidak dapat mengalihkan mayat Laura kerana seperti ada sesuatu yang berat ‘duduk’ di atasnya namun mereka tidak dapat melihat apakah ia.
#seram #penselstudio
KAMU SEDANG MEMBACA
Creppy Pasta✔
HorrorBaca Jangan Tak Baca... Bila Baca Hati Hati.. Jangan takut jangan panik.. Takut ada yang memerhati..