Nombor 31

729 39 0
                                    

Nombor 31

Zukieee merupakan seorang guru Sains di sekolah menengah asrama perempuan. Zukieee sangat garang dan terkenal dengan hukuman beratnya. Dia menjaga satu kelas yang mempunyai 30 anak murid yang nakal dan tidak berdisiplin. Kadang-kadang jika ada anak muridnya melakukan kesalahan, Zukieee akan menghukum mereka untuk berjaga di perpustakaan sehingga lewat malam.

Untuk memastikan anak muridnya tidak lari dan tertidur semasa hukuman itu, Zukieee memberi nombor telefon rumahnya dan mengarah anak muridnya menggunakan telefon perpustakaan dan menelefon Zukieee pada waktu tertentu. Anak muridnya perlu memberitahu nombor pelajar mereka.

Hukuman itu berjalan dengan lancar sehingga pada suatu malam Zukieee mendapat satu panggilan yang tidak dikenali. Zukieee dalam keadaan mamai menjawab panggilan itu. Kedengaran suara gadis berbisik, "Hi cikgu... nombor saya 31..."

Belum sempat Zukieee nak menjawab, panggilan telefon itu telah terputus. Zukieee merasakan ada anak muridnya membuat panggilan main-main kepadanya. Anak murid Zukieee hanya ada 30 orang sahaja.

Pada keesokan hari, Zukieee masuk kelas dalam keadaan marah. Dia mengarahkan anak muridnya mengaku siapa yang melakukan panggilan semalam. Namun tiada siapa yang mengaku. Malah mereka tidak mengetahui perkara tersebut. Zukieee mengugut anak muridnya supaya jangan melakukan panggilan seperti itu.

Tanpa dijangka, panggilan itu berlaku lagi pada waktu yang sama. Ketika Zukieee mahu tidur dia menjawab panggilan itu.

"Hi cikgu... Nombor saya 31..."

Zukieee cuba tanya nama gadis itu namun panggilan terputus sekali lagi. Zukieee bengang.

Keesokan harinya Zukieee datang ke kelas dan merotan semua anak muridnya supaya ada yang mengaku namun tiada siapa yang bertanggungjawab membuat panggilan itu. Sampai satu tahap Zukieee pergi bertanya ke semua kelas tapi tiada siapa juga yang mengaku.

Panggilan itu berterusan pada setiap malam. Gadis itu bercakap perkara yang sama dan panggilan terputus. Zukieee mula hilang akal. Tapi akhirnya pada malam yang berikut, Zukieee berjaya bertanya sebelum gadis itu memutuskan talian.

"Siapa kamu hah!" tegas Zukieee

Dengan nada yang lemah gadis itu berkata.

"Saya anak murid cikgu... Nombor saya 31..."

"Anak murid aku ada 30 orang sahaja! Jangan kau main-main dengan aku! Siapa nama kau!" jerit Zukieee

"Nadia..."

"Nadia? Aku tiada anak murid nama Nadia!"

"Saya selalu memerhatikan cikgu... tapi... saya tak pernah lihat wajah cikgu... cikgu selalu membelakangi saya..."

"Hah? apa kau cakap ni?" tanya Zukieee

Tiba-tiba talian terputus. Zukieee mula mengesyaki sesuatu. Dia tidak percaya apa yang dia fikirkan. Demi membuktikan sangkaannya, Zukieee keluar dari rumahnya dan pergi ke sekolah asrama itu. Zukieee membawa sebuah tukul besi bersamanya.

Apabila sampai di sekolah, keadaan agak gelap dan sunyi. Zukieee terus masuk ke kelasnya. Dia terkejut apabila melihat ada suatu lakaran gadis di papan hitam kelasnya. Zukieee seakan-akan kenal dengan gadis itu.

"Bang! Bang!"

Zukieee terkejut lalu terjatuh. Bunyi hentaman itu datang dari papan hitam. Apabila Zukieee bangun balik, dia lihat lakaran gadis di papan hitam itu keluar cecair merah seperti darah. Ia keluar dari lakaran mata gadis itu.

Zukieee toleh kiri dan kanan tapi tiada tanda ada orang yang melakukannya. Zukieee mula teringat balik panggilan gadis sebelum ini. Dia yakin sangkaan dia betul. Zukieee ambil tukul besinya lalu menghentak papan hitam itu sekuat hatinya.

Hentakan demi hentakan sehingga pecah dinding di belakang papan hitam itu. Air muka Zukieee terus berubah apabila dia melihat ada sebuah lubang di dinding itu. Terdapat satu mayat yang sudah reput dalam keadaan terikat. Mayat itu berpakaian sekolah dan mempunyai tanda nama di poket bajunya.

Tanda namanya ialah Nadia.

Pada 5 tahun yang lepas, terdapat satu kes pelajar perempuan bernama Nadia hilang di sekolah asrama perempuan itu. Ketika itu ada satu pengubahsuaian sebuah bangunan kelas dan dipercayai Nadia telah dilarikan oleh salah seorang pekerja buruh di situ. Oleh kerana tiada bukti, kes itu masih belum selesai dan Nadia masih belum ditemui.

Kini Zukieee telah berjaya merungkai kes kehilangan Nadia dan polis berjaya menangkap pekerja buruh itu. Zukieee tidak menyangka selama ini dia mengajar bersama mayat yang tertanam di belakang papan hitam kelasnya. Sejak dari itu, Zukieee tidak lagi menerima panggilan dari anak muridnya yang ke 31 itu...

Creppy Pasta✔Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang