Dari kisah Atuk sebelah Ayah aku dan kisah Nenek sebelah Mak aku, kali ni aku nak kongsi pulak dengan korang semua kisah Atuk aku sebelah Mak aku.
Yang korang perlu tahu, sebelah Ayah aku Atuk dan Nenek aku dah lama meninggal. Atuk aku meninggal masa Mak Cik aku yang paling bongsu kecik lagi dan Nenek aku pulak meninggal masa aku darjah 3.
Sebelah Mak aku pulak, Alhamdulillah Atuk dan juga Nenek aku dua-dua masih lagi hidup. Umur mereka sekarang nu dah nak masuk 80 tahun dan alhamdulillah kedua-duanya masih sihat walafiat. Cuma lepas Nenek aku kena gangguan seperti yang aku ceritakan sebelum ni, dia jadi kurang sihat sikit lah.
Ok. Atuk aku masa muda dulu, dia bekerja dekat kilang getah. Lama katanya dia kerja, dalam 20 tahun rasanya. Lepas tu dia dapat tawaran bekerja sebagai Pak Guard dekat salah sebuah pejabat kerajaan dekat Batu Pahat. Disebabkan kerja dekat kilang getah tu agak berat, Atuk aku pun tanpa fikir panjang terima tawaran bekerja sebagai pak guard tu.
Atuk aku ni seorang yang sangat berani. Almaklumlah, orang dulu-dulu memang berani. Mana tak nya, zaman dulu mana ada lampu jalan, mana ada kawasan yang terang pada waktu malam. Semua gelap. Yang ada pun cahaya dari basikal, tak pun cahaya dari lampu minyak tanah yang orang lain bawak.
Atuk aku kata, masa dulu-dulu kalau nak pergi kerja kena lalu tempat gelap. Memang lah ada jugak orang lain yang lalu dekat situ tapi dalam gelap apa benda je yang kita nampak kan. Tapi itulah, mungkin sebab masing-masing dah biasa jadi lalu kawasan gelap pun macam biasa je.
Aku ingat lagi, Atuk aku pernah cerita yang dia pernah kena kacau dengan pontianak. Zaman dulu kisah-kisah pontianak ni memang femes. Ada je ceritanya dari satu kampung ke kampung yang lain. Ada sesetengah orang kata, kadang-kadang orang kampung saje je buat cerita supaya orang takut sikit dengan kampung tu. Ada pulak yang kata memang kisah ni betul-betul ada.
Atuk aku bukan lah tak percaya pada benda-benda macam ni. Tapi pada dia, selagi mana kita tak kacau benda tu, benda tu pun tak akan kacau kita. Atuk aku cakap dia pun ada rasa takut jugak, tapi nak buat macam mana dia memang kena pergi kerja jugak. Tak kan lah sebab perasaan takut tu sampai nak ponteng kerja kan.
Malam tu Atuk aku cakap dia keluar dari rumah macam hari-hari yang biasa. Zaman tu jarang orang pakai motosikal lagi, kebanyakkannya pakai basikal. Atuk aku masuk kerja lambat, jadi dalam pukul 11 lebih tu baru dia bergerak dari rumah. Dan untuk ke bandar, jalan yang dia kena lalu tu memang gelap. Macam yang aku cakap lah, mana ada lampu jalan lagi masa tu. Kalau ada pun sebiji dua, itu pun entah jauh ke mana.
Nak dijadikan cerita, petang tu masa Atuk aku ke kedai dia ada lah dengar perbualan orang-orang dekat situ. Katanya semalam ada orang kena kejar dengan pontianak. Bukan seorang dua, katanya semua yang lalu jalan tu akan kena kacau. Sampaikan ada yang pengsan dekat jalan tu disebabkan ketakutan dikejar pontianak.
Atuk aku yang mendengar cerita tu hanya diamkan diri dan berlalu pergi. Sampai lah ke malam hari masa Atuk aku lalu jalan tu. Tiba-tiba dia teringat cerita orang kampung tentang pontianak tu. Mula-mula dia buat tak tahu je lah sebab lagi difikirkan, lagi lah seram sejuk rasanya.
Jadi Atuk aku pun lalu jalan tu macam biasa. Dalam hati dia ada cakap yang kalau dia tak kacau pontianak tu, harap pontianak tu pun tak akan kacau dia. Lagipun Atuk aku nak cari rezeki, kalau nak kacau pun kacaulah orang lain yang tak ada apa nak buat.
Masa tu semua berjalan seperti biasa sampailah Atuk aku lalu dekat bawah satu pokok yang rendang ni. Tiba-tiba angin sepui-sepui bahasa tiup badan dia. Atuk aku diam je, dia buat-buat tak tahu lagi. Bila je Atuk aku betul-betul dekat bawah pokok tu, dengan serta merta bau bunga melur kuat sangat mencucuk hidung Atuk aku.
Bau wangi tu buat Atuk aku terleka sekejap hinggalah dia perasan yang basikal dia tu mula rasa berat. Bau bunga melur tu ada lagi tapi Atuk aku dah tak fikir dah pasal bau tu lagi. Dia masih tenang dan cuba kayuh sekuatnya basikal dia tu. Memang berat seakan-akan ada orang yang duduk dekat belakang tu.
Atuk aku malas nak toleh belakang sebab rasanya dia tahu apa dekat belakang dia. Dia cuma mampu baca ayat suci dari al-Quran yang dia hafal dan hembus perlahan-lahan ke sekeliling dia. Kira Alhamdulillah lah sebab tak lama lepas tu basikal dia pulih macam biasa.
Memang dia dapat rasa pontianak tu duduk belakang dia tadi, tapi kalau dia menjerit-jerit pun bukan boleh buat apa. Lepas je dia rasa pontianak tu dah berlalu pergi, Atuk aku mula kayuh laju sikit dan cepat-cepat pergi dari situ. Meremang bulu roma tu tak payah nak cerita lah, Atuk aku kata jantung dia masa tu dah berdegup laju dah. Cuma Atuk aku kata, dia masih boleh kawal diri dia sebab dia tak nampak jasad pontianak tu.
Fuhhhh, kami ni cucu-cucu dia masa dengar dia cerita, meremang satu badan. Atuk aku boleh siap bertenang lagi, kalau aku lah, dah lama aku pengsan dekat situ. Pengsan tu pun dah kira bagus dah sebab aku berani lalu situ, entah-entah aku tak keluar rumah kalau dapat tahu jalan tu ada pontianak mengacau.
Dan Atuk aku kata, beberapa hari lepas tu pun dia masih kena kacau lagi. Tapi disebabkan bukan pertama kali kena kacau, jadi dia dah biasa dah. Dan tak lama lepas tu katanya ada bomoh dari kampung sebelah berjaya halau pontianak tu. Orang kampung kata bomoh tu bukan halau, tapi dia tangkap dan gunakan pontianak tu sebagai hamba dia pulak. Wallahualam.
Apa-apa pun, satu benda yang aku belajar dari Atuk aku iaitu jangan jadi manusia yang penakut sangat. Memang lumrah lah kita ni ada perasaan takut, tapi jangan diikut-ikutkan sangat perasaan tu. Kita ni hamba Allah, sama jugak dengan makhluk yang lain. Jadi buat apa nak takut kan. Kalau rasa lain macam je, baca lah ayat dari mana-mana surah dalam al-Quran yang kita hafal.
Ingat, kalau kita ni takut lagilah benda tu berani. Tapi kalau kita berani, insyaAllah benda tu yang akan takut dengan kita. Faham? :)
YOU ARE READING
Jangan Baca Cerita Ini!
ParanormalTerima kasih semua yang dah sudi baca, undi dan komen :D Dari #1 sampai #44: Himpunan cerita pendek tentang pengalaman diri sendiri, pengalaman ahli keluarga dan jugak pengalaman-pengalaman yang diceritakan oleh kawan-kawan berkaitan dengan hantu, m...