#68: Lelaki dan Wanita

2K 172 63
                                    

Suasana sunyi di kawasan itu ditambah pula dengan kegelapan malam menyebabkan kawasan itu kelihatan menakutkan. Terdapat sebuah pondok bas yang sudah usang dek kerana sudah lama tidak digunakan tidak jauh dari kawasan itu. Pondok bas yang mengharapkan ikhsan dari limpahan lampu jalan untuk meneranginya itu, pernah menjadi tumpuan anak muda untuk menghabiskan usia muda mereka. 

Namun kerana buah mulut yang menyampaikan bahawa kawasan itu sudah berpenunggu membuatkan kini pondok bas itu sunyi dari kunjungan muda mudi.

Dari jauh kelihatan satu susuk tubuh wanita yang berbaju putih sedang menangis sendirian di dalam pondok bas tersebut. Suara tangisannya yang mendayu, membuatkan sesiapa yang mendengarnya akan turut merasa perasaan yang sama seperti wanita tersebut. 

Wajahnya ditutup menggunakan tangannya. Tangisannya pula dari tadi masih lagi sama, seakan kecewa dan sedang menanti seseorang untuk membantunya.

Tidak jauh dari situ, kelihatan seorang lelaki sedang membonceng motosikalnya perlahan. Mungkin sudah menjadi rutinnya untuk melalui kawasan itu pada waktu sebegini kerana kebiasaannya ramai yang memilih jalan lain untuk memasuki kampung yang terletak tidak jauh dari situ.

Saat dia menghampiri kawasan pondok bas tersebut, kelibat wanita itu menjadi tarikan matanya. Dia memperlahankan motosikalnya itu lalu cuba untuk menjadi seorang lelaki budiman dengan menghulurkan bantuan sekiranya diperlukan.

"Cik Adik buat apa sesorang dekat sini malam-malam macam ni? Bahaya dekat sini ni. Nak abang hantarkan balik tak?" Kata lelaki itu cuba menghulurkan bantuan.

Wanita itu masih terus menangis seakan tidak memperdulikan tawaran lelaki tersebut.

"Kalau Cik Adik tak nak tak apa lah. Abang balik dulu ye. Tapi ingat, kawasan ni keras." Kata lelaki itu lagi.

Mendengar sahaja kata-kata lelaki itu, dia bingkas bangun lalu mengesat air matanya yang dari tadi jatuh berguguran. Wajahnya tidak jelas kelihatan kerana rambutnya yang mengurai panjang menutupi wajahnya itu. sedikit.

"Jomlah ikut abang, nanti abang hantar kan Adik balik ke rumah ye." Lelaki itu terus mencuba.

Tanpa banyak bicara, wanita itu terus berjalan menghampiri lelaki tersebut. Dia yang masih menangis terus duduk di bahagian belakang motosikal itu lalu memeluk erat pinggang lelaki tersebut.

Diperlakukan seperti itu, bukan main lebar lagi senyuman yang diukirkan oleh lelaki tersebut. Dihidupkan enjim motor tersebut lalu dia pun berlalu pergi dari kawasan tersebut bersama wanita yang sudah berjaya menawan hatinya itu.

"Adik nak ke mana ni? Abang hantarkan." Tanya lelaki itu yang masih lagi mengukir senyuman.

Wanita itu masih sama, hanya mendiamkan dirinya sambil memeluk erat tubuh lelaki itu. Tidak mahu melepaskan peluang yang ada, lelaki itu terus berkata lagi kepada wanita tersebut.

"Malam ni adik tidur rumah abang nak? Abang pun tinggal sorang, kalau adik ada boleh buat teman." 

Melihat tiada sebarang respon yang diberikan, lelaki itu terus memulas laju motosikalnya itu. Wanita itu pula hanya menuruti sahaja. Dia seakan tidak kisah mahu dibawa ke mana-mana. Tangisannya mula perlahan. Mungkin selesa di dalam pelukan itu.

Beberapa minit kemudian, motosikal itu diberhentikan. Wanita yang berada di belakang lelaki itu membuka matanya perlahan lalu turun dari motosikal itu. Diperbetulkan sedikit rambutnya yang kusut masai itu lalu dengan lemah dia memandang ke wajah lelaki tersebut.

"Kita dah sampai dah. Ni lah rumah abang." Kata lelaki itu sambil menundingkan jarinya ke arah belakang wanita itu.

Wanita itu tergamam apabila saat dia menoleh ke belakang, dia kini sedang berada di kawasan perkuburan. Gelap, suasana suram dan dia hanya ditemankan oleh bunyi unggas dan lolongan anjing yang mungkin berada tidak berkejauhan.

"Adik suka tak rumah abang ni? Hihihi." Kata lelaki itu diikuti hilaian ketawa yang menakutkan. 

Apabila dipandang, wajah lelaki itu sungguh buruk. Pipinya sudah tiada, yang ada hanya ulat yang membusuk memakan dagingnya. Biji matanya pula sudah terkeluar, terjuntai mencecah bibirnya. Senyumannya masih sama, lebar kerana mulutnya sudah terburai sama.

Wanita itu terus jatuh pengsan. 

.

.

.

.

Nota kaki:

Siapa yang suka merajuk tu, suka lari rumah patutnya pergi ikut abang ni balik rumah dia. Baru kau mengerti definisi merajuk yang sebenar-benarnya hahaahaha. Siapa yang tak merajuk pun jangan risau, abang ni akan ronda naik motor dia dekat setiap kawasan. Kalau malam-malam dengar ada orang bawak motor depan rumah kau tu faham-faham lah ye. Mungkin dia datang nak jemput kau hahahaha


Jangan Baca Cerita Ini!Where stories live. Discover now