#41: Kisah Seram di Hospital (Bahagian 2)

8.5K 233 25
                                    

Assalamualaikum wbt. 

Orang kata hospital merupakan antara tempat yang paling "keras" yang selalu menjadi kawasan tumpuan makhluk-makhluk halus untuk berkumpul. Iyelah, dekat hospital ni lah macam-macam kes yang berlaku. Boleh dikatakan jugak hampir setiap hari mesti akan ada kematian yang direkodkan dekat hospital.

Jadi disebabkan itulah, pasti banyak kisah seram yang boleh kita dengar dari sudut pandang sebuah hospital kan. Kebetulan masa aku beraya hari tu, aku pergi beraya rumah sedara aku yang jadi pengawal keselamatan dekat hospital. Dia perempuan tapi dari gaya dia cerita memang dia agak berani jugak lah. Entah macam mana, kebetulan pulak dia boleh cerita kisah seram yang pernah terjadi dekat hospital Batu Pahat sepanjang dia bekerja sebagai mak guard dekat sana. 

Mak cik aku cerita, kisah seram yang terjadi kepada salah seorang kawan dia yang kena jaga dekat blok baru. Kalau korang orang Batu Pahat mesti korang tahu kan yang ada blok baru dekat hospital tu. Dulu masa awal-awal siapnya bangunan tu, banyak jugak lah kes yang berlaku dekat sana. Dan disebabkan ada beberapa masalah, bangunan tu secara rasmi digunakan agak lambat jugak lah dari tarikh yang dah ditetapkan.

Walaupun masih belum digunakan, tapi masa tu pak guard dah dijadualkan untuk mengawal dekat sana. Iyelah, walaupun tak ada orang guna, tapi barang-barang dah mula dimasukkan ke dalam wad-wad yang ada. Kalau tak dijaga, risau pulak ada yang curi kan. Dahlah barang-barang tu kebanyakkannya mahal harga dia.

Malam tu kata Mak Cik aku giliran kawan dia untuk jaga dekat aras 3 kalau aku tak silap lah. Aras tu memang kosong, tak ada sesiapa pun. Tapi dah tugas dia untuk jaga dekat sana, nak tak nak memang kena jaga jugak lah kan. Katanya mula-mula tu tak ada apa pun. Semuanya berjalan dengan lancar je. Sampailah nak dekat pukul 2 pagi tu bila mana dia mula rasa tak sedap hati. 

Nak kata ada benda kacau, dia tak rasa apa-apa pulak. Jadi dia terus buat tak tahu dan teruskan kerja dia dekat situ. Memang dia dah diberitahu yang barang-barang dah mula di bawak masuk, tapi semua pemindahan tu dilakukan pada waktu siang. Waktu malam memang tak ada sesiapa yang akan datang hantar barang, lagi-lagi tengah pagi macam tu kan. Tapi dia terlupa.

Tengah dia khusyuk baca surat khabar depan mata dia tu, tiba-tiba dia dengar bunyi lif berhentin dekat aras tu. Dia periksa jam, baru pukul 2 pagi. Shift akan berubah pukul 7 pagi esok. Dia dah mula pelik. Dalam hati dia fikir mungkin ada kawan dia yang datang jenguk kot, jadi dia pun bangun dari kerusi tu kemudian berjalan perlahan ke arah lif yang berada dekat je dengan meja pengawal tu.

Kosong! Memang kosong je dalam lif tu. Tak ada apa-apa pun. Terkejut jugak lah dia, tapi mungkin ada yang nak kenakan dia jadi dia buat rileks je. Sebab bukan dia sorang dalam bangunan tu, setiap aras ada pengawal yang jaga. Sebab tu dia tak rasa takut sangat. Lepas dah rasa tak ada apa-apa, dia pun duduk balik dekat kerusi dia tu.

Betul-betul tak lama lepas dia duduk, sekali lagi lif tu berbunyi. Kali ni dia malas bangun sebab dia tak kan tertipu lagi. Jadi dia duduk rileks je sambil baca surat khabar tadi. Tak lama lepas tu kedengaran bunyi troli mula bergerak ke arah dia. Semakin lama semakin dekat sampailah dia perasan yang ada sorang lelaki tengah sorong sebuah troli masuk dalam wad yang dia jaga tu.

Masa tu dia tak rasa apa lah sebab biasalah kan tengok ada pekerja masuk wad sambil sorong troli. Tapi lepas dia sedar yang dia tengah jaga dekat wad baru, baru lah dia terdiam dan tergamam. Menggigil satu badan. Masa tu katanya dia terus berlari turun ke wad bawah dan pengsan sebab terkejut sangat-sangat. 

Mak Cik aku cerita dua hari dia demam. Dan sejak dari kes tu, semua aras dekat bangunan baru tu sentiasa beralunnya zikir dan bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Yelah, sementara nak tunggu bangunan tu digunakan, tak nak lah ada "benda" yang dah rasmikan dulu kan. Haha.

Tapi alhamdulillah lah, Mak Cik aku kata setakat ni dia belum pernah kena kacau lagi. Kadang-kadang tu dia kata perasaan seram tu ada, tapi dia cekalkan hati demi mencari sesuap nasi. Iyelah, kalau nak ikutkan sangat takut tu, memang tak boleh lah nak kerja pengawal keselamatan kan. Jadi nak tak nak dia kena kuat. Dan dia cakap minggu depan akan ada shift dekat tempat kawalan baru.

Kena jaga dekat bahagian paling belakang hospital, betul-betul sebelah bilik mayat, SEORANG DIRI :) Good luck lah Mak Cik haha

Jangan Baca Cerita Ini!Where stories live. Discover now