#37: Pengalaman yang tak Dapat Dilupakan (Part 1)

3.6K 238 5
                                    

Assalamualaikum wbt.

Saat yang paling best bila kita berkumpul dengan sedara mara ialah bila mana cerita-cerita lama yang pernah terjadi sebelum ini diceritakan semula. Pastinya ada kenangan manis, ada kenangan yang mencuit hati malah sudah pastinya ada pengalaman dan cerita-cerita yang sudah pastinya tidak akan dapat kita lupakan sampai bila-bila.

Dalam bab kali ni, aku nak buat kelainan sikit dimana aku akan bercerita tentang kisah pengalaman keluarga aku sendiri dalam kes rasuk dan juga histeria melalui penceritaan yang bukan seperti sebelum ni. Apa yang aku ceritakan ni merupakan peristiwa sebenar dan aku tulis kembali supaya korang faham situasi yang terjadi pada masa tu.

7 Jun 1985

Suasana di pondok buruk milik Pak Mujir itu mulai suram. Walaupun senja masih belum kelihatan, namun kesuraman itu dapat dirasai mereka sekeluarga. Pak Mujir, Isteri dan 7 orang anak nya itu kelihatan ketakutan seakan menanti sesuatu bala datang. 5 orang puteri serta dua orang putera, itu lah kurniaan terindah dari Allah buat Pak Mujir dan isterinya, Rasminah.

Walaupun hidup dalam serba kekurangan, namun itu tidak menghalang mereka sekeluarga untuk merasa bahagia. Sudah berpindah sejak 2 tahun yang lalu, pondok usang itulah yang menjadi tempat teduhan serta perlindungan mereka sekeluarga sejak pertama kali menjejakkan kaki ke kawasan itu.

Namun, hari yang indah belum tentu akan kekal selamanya. Sedangkan langit cerah pun didatangi ribut dan petir, ini lagikan nasib manusia seperti mereka sekeluarga. Sudahlah hidup tidak begitu senang, kini ujian ditambah lagi dengan perasaan iri hati serta hasad dengki dari masyarakat di sekelilingnya.

Sejak setahun yang lalu, anak-anak gadisnya yang baru berusia antara 13 hingga 17 tahun itu sering diganggu dan mengalami histeria yang menakutkan. Kekerapan kejadian histeria itu hingga menyebabkan ada anak-anak gadisnya itu tidak mampu untuk meneruskan persekolah buat sementara waktu.

Malah kejadian itu seakan semakin menjadi-jadi. Hampir setiap kali senja tiba, akan ada antara anak-anak gadisnya itu mulai meracau dan meronta-ronta kepanasan. Walaupun boleh dikatakan mereka sudah lali dengan kejadian itu, namun memikirkan nasib mereka sekeluarga di masa hadapan membuatkan suasana hiba seketika.

"Adik saya kata malam esok dia akan datang bawak pawang yang dia ceritakan semalam tu." Tiba-tiba isteri Pak Mujir bersuara perlahan.

"Aku ni bukan apa Ras, tapi dah beratus pawang datang ke sini dan cuba ubatkan anak-anak kita ni. Satu pun tak berkesan, malah ada tu aku tengok makin menjadi-jadi pulak lepas dia rawat." Balas Pak Mujir meluahkan rasa hatinya.

"Ye saya tahu bang, tapi nak buat macam mana. Mungkin Masih belum ada ubat yang serasi dengan anak-anak kita ni. Kan kita kena usaha, selebihnya tu kita serahkan pada Allah je." Kata isterinya itu cuba meyakinkan suaminya.

"Ikut kau lah Ras. Barang-barang yang pawang tu nak aku dah beli dah siang tadi. Aku letak dekat dapur belakang tu, nanti kau tengok lah cukup ke tak." Balas Pak Mujir sambil melihat anak-anak nya yang sedang duduk berkumpul di ruang tamu kecil rumah mereka itu.

Sedang mereka berdua itu sibuk berbual, tiba-tiba salah seorang anak gadisnya itu menjerit. Dalam keadaan cemas, Pak Mujir bingkas bangun lalu menuju ke arah anak-anaknya yang sedang berkumpul ketakutan di situ.

Kelihatan salah seorang anak gadisnya itu sedang menggelupur kesakitan. Seakan tubuhnya dicarik-carik, dia meronta-ronta minta dilepaskan. Pak Mujir cuba menenangkan anak nya itu namun gagal. Isterinya yang turut berada di situ, mencapai anak bongsunya lalu memeluk nya erat. Anak kecil yang baru berusia 2 tahun itu kelihatan ketakutan lalu memeluk erat tubuh ibunya itu.

"Kak Long, pergi ambilkan Abah botol air dekat dapur sana. Botol yang penutupnya diikat dengan kain merah ye." Pak Mujir menyuruh anak sulungnya itu mengambil air ubat yang diperoleh dari Ustaz semalam.

Anak gadis yang jelas terpancar ketakutan di wajahnya itu menarik tangan adiknya lalu berlari menuju ke dapur rumah mereka. Tidak lama selepas itu hanya kelihatan adiknya sahaja yang muncul di ruang tamu itu dalam keadaan ketakutan.

"Mana Kak Long? Kan Abah suruh amik kan air dekat dapur tadi." Kata Pak Mujir dengan nada suara yang tinggi.

"Kak Longggg, Kak Longggg." Menggigil ketakutan anak gadisnya itu lalu dia rebah di hadapan Pak Mujir.

"Aaaaaaaaaaaaa!!!!" Kini kedengaran suara jeritan Kak Long dari dapur rumah mereka.

"Allahuakhbar! ALLAHHHHHH! ALLAHHHH!" Jerit Pak Mujir seraya berlari menuju ke dapur.

Anak gadisnya yang dirasuk tadi dipegang erat oleh adik-beradiknya yang lain. Dengan sedaya upaya mereka cuba menahan dirinya agar tidak ke mana-mana. Tidak lama selepas itu kelihatan Pak Mujir muncul sambil mengangkat anak sulungnya itu, lalu diletakkan di sebelah isterinya yang saat itu sedang menenangkan anak-anaknya yang lain.

Tanpa berlengah lagi, Pak Mujir bangkit lalu menuju ke tengah ruang tamu rumah mereka dan melaungkan azan dengan sekuat hatinya. Satu demi satu baris ayat dilaungkan, dan anak-anak gadisnya itu mulai tenang dan menyedarkan diri. Isterinya yang masih memangku anak kecilnya itu mencapai botol air yang ada di sisinya lalu menyuruh anak-anaknya itu untuk meminumnya.

Seuisai habis melaungkan azan, Pak Mujir tersandar lemah di dinding rumah mereka. Anak-anak nya sudah mula sedar dan suasana kembali seperti biasa. Itulah yang dihadapi oleh mereka sekeluarga hampir setiap hari sejak hampir setahun yang lalu.

Bukan tidak diusahakan, malah hampir beratus Ustaz dan juga pawang telah mereka temui. Namun akhirnya setiap yang hadir cuma mampu memberikan janji manis yang mereka sekeluarga tahu itu hanyalah janji sahaja.

Doa? Sejak dari kejadian itu berlaku, hampir setiap malam mereka akan solat berjemaah bersama. Berdoa agar Allah sembuhkan penyakit ini dari mereka sekluarga. Namun nama pun ujian, maka inilah yang harus mereka sekeluarga tempuh. Esok katanya seseorang akan cuba datang ke rumah mereka untuk merawat mereka sekeluarga. Hanya berserah kepada Allah, itu sahaja yang mampu mereka sekeluarga lakukan saat ini.

BERSAMBUNG...

Jangan Baca Cerita Ini!Where stories live. Discover now