Langit biru yang dapat dilihat dari tingkap kelas milik Noah kini langsung tidak menarik minatnya lagi. Kini, hampir seminggu Anna ditukarkan ke sekolah lain. Sunyi.. Noah rasa sangat sunyi dari biasa. Walaupun dia sebelum ini sudah biasa berseorangan, tapi kali ini berbeza. Terasa bagai ada sesuatu yang sudah hilang.
Sofea yang dari tadi memerhati di tempat duduknya hanya mendiamkan diri. Entah ke berapa kali Noah mengeluh sejak pagi tadi. Kebelakangan ini Noah banyak mengeluh dan berdiam diri. Usai tamat saja kelas, dia akan terus pulang ke bilik. Tiada lagi dia melawat ke perpustakaan sekolah. Dalam diam, Sofea mencebik.
Kringg!!!
Bunyi loceng telah menandakan tamatnya kelas. Noah mengemas buku di atas meja dan segera keluar meninggalkan orang lain yang baru saja mahu bangun dari kerusi. Pelajar lain tidak lagi dihiraukannya. Seolah-olah kewujudan mereka bagai angin lalu sahaja. Sofea lantas mengejar dari belakang. Berkali-kali nama Noah dipanggil olehnya namun lelaki itu seperti tidak dapat mendengarinya.
"Noah!" Sofea tidak lagi dapat menahan sabarnya. Bahu Noah ditarik kasar dari belakang menyebabkan lelaki itu terdorong pusing ke arah Sofea. Diam. Pelajar yang lalu lalang di koridor kelas itu semuanya mengelak daripada mereka berdua dan memilih untuk menggunakan jalan lain.
"Kau ni dah kenapa?! Dah macam mayat hidup sejak dua menjak ni!" Sofea mendengus geram terhadap lelaki di hadapannya itu.
Noah tersentak apabila ditengking oleh Sofea. Saat itu baru dia sedar tentang dirinya. Memang benar dia jadi tidak terurus seperti sebelum ini. Hidupnya bagaikan orang depresi.
"Maaf.." itu saja yang mampu dia ucapkan. Mata Noah merenung ke lantai.
"Maaf.. Maaf.." perlahan saja dia bersuara. Nadanya berubah seolah-olah sedang menangis. Sofea terkejut. Noah yang tadinya berdiri terasa kakinya lemah. Terus dia jatuh terduduk. Terasa bagai memori lamanya kembali bermain di minda. Trauma yang ingin dia lupakan menjengah keluar tanpa dipinta.
"Eh? Noah?" Sofea tersentak. Dia tak pasti apa yang berlaku sehingga lelaki itu jadi begitu. Adakah kerana Anna? Tidak, Sofea tidak rasa begitu. Keadaan lelaki itu seolah-olah sedang berperang dengan dirinya sendiri di dalam fikiran.
Noah duduk memeluk tubuh. Badannya disandarkan ke dinding. Laluan koridor itu kini sunyi tanpa pelajar lain. Semua orang telah pulang. Cuma tinggal mereka disitu. Air matanya mengalir namun cepat Noah seka. Terasa dia cuma mahu lari dari semua masalah yang dia hadapi. Dia mahu lari dari semua perasaan yang bercelaru ni.
"Kau..." Sofea terus mati kata. Dia mengambil tempat disebelah Noah, duduk bersandar sekali. Tak pasti apa yang patut dia katakan, Sofea memilih untuk mendiamkan diri lagi.
"Aku.. tak boleh buat apa-apa pun. Anna cakap dia tak mahu pergi.. tapi aku tak dapat buat apa-apa pun." Noah meluahkan apa yang terbuku. Saat itu, dia teringat semasa kali terakhir dia melihat Anna.
Sejak itu dia seperti hilang arah. Noah tiada lagi hala tujunya. Dia seperti hilang separuh nyawa. Dia sendiri tidak memahami kenapa dia rasa seperti itu. Anna seorang kawan yang penting baginya. Satu-satunya kawan yang dia ada. Noah tak boleh hidup tanpa Anna. Kenapa? Kenapa dia tak mampu nak ungkapkan rasa ni? Apa sebenarnya nama perasaan ni?
"Noah.. selamat tinggal." Anna tersenyum sambil tangannya melambai ke arah Noah dari pintu pagar sekolah. Dia masuk ke dalam kereta milik Louis sebelum kereta itu berlalu pergi. Sampai ke akhirnya, Anna tidak mengalirkan air mata kecuali semasa di dalam bilik. Dia beritahu Noah, dia tidak mahu pergi tapi dia pergi juga akhirnya.
"Kau betul-betul sayangkan Anna, bukan?" soal Sofea tiba-tiba.
"Emm.. sebab Anna kawan aku." jawab Noah dengan yakin.
KAMU SEDANG MEMBACA
Golden Dust [Revised Ver]
Mystery / ThrillerSt. Margurite Highschool, sekolah yang penuh misteri dan pelbagai kisah aneh. Noah merupakan pelajar pertukaran di sekolah tersebut namun dia dipulaukan kerana latar belakangnya yang datang dari jauh. Suatu hari, Noah telah mengambil keputusan untuk...