Lantai yang sejuknya umpama ais itu bagai menggigit hingga ke tulang Anna. Tubuh kecilnya mengerekot di atas lantai yang hanya beralaskan sehelai kain nipis. Bukan dia tidak biasa suasana seperti itu yang mana sama seperti ketika dia dikurung dulu. Macam dalam penjara. Bosannya...
Anna mengelap hidung yang sedikit berair kerana kesejukan. Kain ditarik sedikit ke atas menutup bahunya yang terdedah. Baju tidur yang nipis itu bagai mendera lagi kulitnya yang sudah pucat. Sejuk sungguh. Saat itu dia rindu biliknya di St. Margurite yang selesa dan hangat.
Bilik yang dibina dari batu bata itu sekali sekala bergema dengan bunyi bersin milik Anna. Di dalam bilik tersebut cuma disediakan sehelai kain untuk dia tidur dan meja untuk diletakkan buku-buku yang diberikan kepadanya untuk dibaca. Namun sekali lagi membaca semua buku tersebut masih belum boleh meredakan rasa bosannya.
Anna mengeluh perlahan. Dia mahu tidur namun malam itu terasa sungguh sunyi sekali. Dia mahu pulang ke St. Margurite. Dia mahu pulang pada Noah. Di tempat dia dikurung sungguh sunyi dan menyeksakan. Noah.. Anna rindukan suara lelaki itu.
******
Noah turun dari tren bersama dengan beg sandangnya. Perjalan menuju ke Aizenburgh Institute cuma lima belas minit saja dari stesen jika berjalan kaki. Noah menghembus nafas lega apabila dia tiba di depan pintu gerbang yang mana merupakan pintu masuk hadapan. Ramai orang beratur untuk masuk dan masing-masing menunjukkan tiket kepada pengawal yang menjaga pintu gerbang.
Setelah lama menanti gilirannya, Noah akhirnya dapat masuk ke dalam kawasan kampus. Kakinya melangkah sambil matanya melihat peta di tangan dan arah sekeliling. Kawasan kampus tersebut sangat luas dan bangunannya sungguh banyak. Untuk mencari seorang gadis bernama Anna di celah ribuan orang dalam masa yang terhad seolah-olah kerja yang mustahil. Dia merasakan bagai telah masuk ke satu kota besar.
Noah mengeluh dan akhirnya dia duduk di atas bangku yang disediakan di sekitar kawasan taman kampus. Penat dia berpusing-pusing namun mencari tanpa petunjuk merupakan sesuatu yang sukar. Dia langsung tidak tahu apa-apa tentang Aizenburgh Institute. Belakangnya disandarkan dan Noah mendongak memandang langit. Tidak jauh dari tempat dia berehat, ada banyak khemah yang didirikan. Barangkali untuk hari keluarga yang akan disambut tak lama lagi.
Sebuah menara yang agak tinggi menarik minatnya. Antara semua bangunan di situ, cuma menara tersebut sahaja yang paling tinggi dan nampak lama. Warnanya sudah lusuh ditelan masa. Sungguh asing diantara bangunan-bangunan yang baru dibina. Noah melihat semula peta di tangan. Menara tersebut berada di bangunan utama di tengah Aizenburgh. Noah yakin, dia akan dapat menjumpai sesuatu di situ.
Entah kenapa hatinya kuat menyatakan dia perlu ke sana. Setelah penat berjalan, Noah akhirnya tiba di bangunan utama. Hampir sejam lebih dia berjalan. Kelihatan ramai manusia berada di sekeliling kawasan tersebut. Sebuah dataran yang sangat luas mengelilingi bangunan utama dan di kawasan itu juga didirikan pelbagai khemah dan meja seperti sedang berlansungnya sebuah pesta. Hari keluarga di sini nampak sangat meriah.
Noah mendekati salah seorang lelaki yang sedang sibuk melukis suasana orang ramai.
"Tumpang tanya.. bila hari keluarga ni mula?" soal Noah.
Lelaki itu berhenti melukis dan tersenyum memandang ke arah Noah.
"Sebenarnya hari ni merupakan hari bulan penuh. Malam ni mereka adakan pesta untuk sambut bulan penuh dan Aizenburgh dibuka untuk orang ramai. Hari keluarga mula pada esok hari. Kamu ni bukan dari sini?"
"Tak. Saya datang nak cari kawan saya. Memang selalu ke ada pesta untuk bulan penuh?"
"Setahun sekali saja. Selalu disambut dengan hari keluarga. Setahun sekali, orang awam dibenarkan masuk dan keluarga boleh melawat pelajar di sini. Saya harap kamu dapat jumpa kawan kamu tu. Malam ni ada pertunjukan bunga api."

KAMU SEDANG MEMBACA
Golden Dust [Revised Ver]
Misterio / SuspensoSt. Margurite Highschool, sekolah yang penuh misteri dan pelbagai kisah aneh. Noah merupakan pelajar pertukaran di sekolah tersebut namun dia dipulaukan kerana latar belakangnya yang datang dari jauh. Suatu hari, Noah telah mengambil keputusan untuk...