Noah memandang rumah kecil yang kosong dihadapannya. Dia berjanji pada Anna yang mereka akan kembali namun janji itu kini cuma tinggal mimpi. Anna tidak ada disisinya.
"Noah." suara cikgu Maria memanggil, sambil memberi semangat dengan menyentuh lembut bahu Noah.
Noah menoleh ke arah cikgu Maria dan tersenyum sebelum berlalu pergi dari situ. Dia perlu mengemas semua barang-barangnya. Esok dia akan bertolak pulang. Kapal yang akan dinaiki akan bertolak pada tengah hari.
Sampai di bilik, Noah memulakan kerja untuk berkemas. Semua buku-buku dimasukkan ke dalam kotak. Satu per satu barang yang penting untuk dibawa pulang diasingkan. Pakaiannya pula dimasukkan ke dalam beg.
Klak!
Seutas rantai jatuh dari dalam kotak yang terbuka apabila Noah terlanggar dengan kakinya. Lama matanya tertancap pada rantai tersebut sebelum Noah meletakkan buku yang dipegang ke atas meja sebelum mengambil rantai tadi.
Bibirnya menguntum senyum. Dia dapat rantai tersebut dari Anna semasa Majlis Sambutan Pesta Roh yang disambut disekolah mereka. Noah masih ingat lagi pada hari itu. Semua pelajar begitu seronok menghias sekolah dengan props dan membuat baju. Pesta itu disambut bagi meraikan roh mereka yang telah meninggal dan memuja semangat roh.
Puas Noah memujuk Anna untuk keluar dari bilik dan bersama-sama datang ke pesta tersebut. Anna bertungkus-lumus melekat pada tiang katilnya kerana tidak mahu pergi. Alasannya adalah kerana majlis tersebut ramai orang. Anna tidak suka bergaul dengan orang apatah lagi ke tempat yang mana orang ramai berkumpul.
Akhirnya Noah berjanji yang dia akan memberi hadiah untuk Anna jika Anna bersetuju untuk pergi ke pesta tersebut. Noah memakai pakaian sebagai Vander manakala Anna pula memakai pakaian sebagai The Lady.
************
Ada sebuah kisah yang terkenal di sekolah mereka tentang Vander and The Lady . Kisah seram tentang hantu di dalam cermin. Seorang perempuan hidup seorang diri di sebuah rumah agam yang besar namun penuh kesunyian, dia dikenali sebagai The Lady.
Dia mempunyai sebuah cermin besar yang dinamakan cermin Vender sempena nama pengukirnya yang telah meninggal dunia. Cermin tersebut merupakan cermin terakhir yang diukir oleh Vender. The Lady telah membelinya kerana tertarik dengan ukiran unik pada cermin tersebut.
Setiap hari, The Lady pasti akan menggayakan bajunya dihadapan cermin dengan wajah yang gembira. Dia tidak tahu mengapa dia berasa gembira setiap kali melihat pantulannya dari dalam cermin. Suatu hari, The Lady melihat pantulannya dari cermin tersebut seperti kebanyakan hari.
Namun kali ini dia tidak menggayakan bajunya. The Lady hanya menyentuh cermin itu dan memandang anak matanya sendiri. The Lady sangat sunyi. Dia terlalu sunyi. Dia tiada sesiapa melainkan pantulan dirinya di dalam cermin. Tiba-tiba pantulan dirinya menjadi kabus asap dan bertukar menjadi imej seorang lelaki.
Disebabkan terlalu terkejut The Lady telah pengsan. Apabila sedar, dia mendapati dirinya terbaring di dalam bilik. The Lady berasa takut lalu berlari keluar dari biliknya namun apabila pintu dibuka, cuma ruang putih yang dijumpai.
Seorang lelaki muncul dihadapannya. Lelaki itu memberitahu The Lady bahawa dia berada dialam cermin. Disebabkan pantulan cermin hanya dalam bilik, maka dunia itu cuma wujud sebagai bilik The Lady. Si lelaki memohon maaf.
Lelaki itu sungguh baik dalam melayan The Lady. Akhirnya The Lady tidak lagi takut. The Lady keluar dan masuk ke dunia cermin setiap hari untuk bertemu lelaki itu. Dia tidak lagi sunyi. The Lady kini ada teman untuk berbual.
Disebabkan sikap The Lady yang berubah, ramai orang sekeliling tertanya-tanya tentang perubahan itu. Oleh itu, apabila The Lady keluar untuk membeli baju baru pada satu hari, mereka berpakat untuk menyelinap masuk kedalam rumah The Lady bagi mencari jawapan.
Pemuda pertama masuk dan tidak lagi keluar dari rumah tersebut. Kerana risau akan pemuda itu, pemuda kedua masuk. Juga tidak keluar. Seorang lagi masuk dan perkara sama berulang hingga kesemua 10 orang pemuda dan pemudi hilang.
Petang itu, The Lady pulang ke rumah. Dia berlari ke arah cermin kesayangannya dan menyeru nama Vender. Lelaki itu muncul sambil tersenyum. The Lady meletakkan tangan ke atas cermin begitu juga lelaki itu. Dia menggayakan pakaian yang baru dibeli olehnya. The Lady memberitahu bahawa dia akan bersama Vender selamanya.
Vender tersenyum bahagia. Dia sanggup buat apa saja supaya The Lady bahagia. Dia mahu lihat senyuman manis The Lady seperti semasa The Lady menggayakan bajunya. Walaupun itu bermakna dia perlu hapuskan siapa saja yang menghalang. Seperti dia hapuskan kesemua orang yang masuk menceroboh rumah The Lady. Vender tidak mahu The Lady tahu rupanya yang sebenar di sebalik cermin.
Vender dan The Lady. Dia mahu mereka berdua bersama selamanya.. Selama-lamanya hingga tinggal debu sekalipun, dia akan lindungi The Lady. Kerana The Lady telah menghidupkannya. Vender hidup dari kesunyian The Lady. Dia hidup dari sebuah imaginasi. Dia wujud demi The Lady. Tanpa The Lady, tiada Vender. Dia hanyalah satu ilusi, satu halusinasi.
************
Kisah itu tak adalah seram mana bagi Noah. Cuma satu kisah sedih dan sunyi. Baju Noah bewarna hitam, sut dengan trench kot labuh bersama tali leher bewarna merah manakala Anna memakai gaun merah seperti darah dengan riben di tengah. Kainnya penuh renda dan sarat dengan perhiasan. Comel. Anna nampak sangat comel pada pandangan Noah. Macam anak patung.
Walaupun riak wajah Anna jelas kelihatan dia tidak suka akan pesta tersebut, dia masih datang dan memakai pakaian yang cikgu Maria sediakan. Namun, Anna cuma masuk sekejap saja kedalam dewan sebelum keluar dan duduk dibawah pokok.
Noah tersenyum sambil berjalan dan duduk sekali disisi Anna.
"Rimas?" soal Noah.
Anna mengangguk. Noah menghulurkan tangannya kepada Anna lalu disambut.
"Anna nampak cantik malam ni." beritahu Noah jujur.
Anna memalingkan wajah. Malu barangkali.
"Okay.." Noah mendekati Anna dan melingkari leher gadis itu.
"Kenapa..." soal Anna kelam kabut.
Noah ketawa. "Dah. Tengok, cantik kan?"
Anna melihat ke lehernya apabila ditunjuk oleh Noah.
"Hadiah." Noah ketawa kecil.
Seutas rantai perak dengan loket berbentuk sayap terletak elok disitu. Sayap pari-pari dengan debu emas.
"Saya tak tahu kalau pari-pari tu wujud, tapi kalau betul pari-pari tu wujud saya harap dia tunaikan hajat saya. Saya nak pari-pari sentiasa lindungi awak dan awak akan hidup bahagia." lembut saja suara Noah saat itu. Dia bersuara betul-betul dari hatinya.
Anna tersenyum. Dia menarik tangan Noah dan meletakkan sesuatu diatas tapak tangan Noah. Juga seutas rantai, namun kelihatan lama.
"Ini, Anna dapat dari Maman. Noah perlu jaga baik-baik tau?" Anna berkata dengan suara kecilnya. Noah mengangguk. Rantai itu dibuat dari syiling yang boleh dibuka. Di dalamnya ada kertas bergambar yang kecil. Gambarnya agak usang namun masih jelas kelihatan seorang bayi. Anna yang masih kecil.
"Vender perlu bersama The Lady selamanya.. Mereka berjanji untuk bersama selama-lamanya.. Kan?" Anna mengomel sendirian apabila dia menoleh ke arah langit. Noah melihat Anna, ingin berkata sesuatu namun terdiam. Kerana saat itu dia melihat air mata mengalir di pipi Anna.
Noah mengenggam erat rantai didalam tangan. Mengingati memori dirinya bersama Anna sangat perit. Dia perlu pulang esok namun dia berat untuk pergi. Kenapa? Banyak persoalan tidak terjawab. Dia masih tidak bertanya pada Anna mengapa dia menangis malam itu, dia masih belum tunaikan janjinya pada Anna.. Dia masih belum buat apa-apa.
Namun di mana Anna? Tiada sesiapa yang tahu.

KAMU SEDANG MEMBACA
Golden Dust [Revised Ver]
Mystère / ThrillerSt. Margurite Highschool, sekolah yang penuh misteri dan pelbagai kisah aneh. Noah merupakan pelajar pertukaran di sekolah tersebut namun dia dipulaukan kerana latar belakangnya yang datang dari jauh. Suatu hari, Noah telah mengambil keputusan untuk...