Bab 5

3.4K 86 3
                                    


Ketika ayam semakin rancak berkokok dan di kala lena penduduk kampung Pulau Getah masih panjang, Khairil sudah selesai menyiapkan diri mahu pergi ke ladang getah bersama Pak Mail.

Khairil mengintai di tingkap dan pandangannya ditebarkan keluar jauh ke arah jalan raya yang masih sunyi sepi. Jenuh juga Khairil terintai-intai di sebalik langsir hingga terasa lenguh kakinya kerana terlalu lama berdiri. Tetapi nampaknya hampa, yang di tunggu tak muncul tiba.

Lambat sangat lah Pak Mail ni. Janji tinggal janji. Keluh Khairil tanpa bersuara.

Sudah tidak terkira berapa kali Khairil mengerling ke arah jam di pergelangan tangannya. Sesekali dia mendengus kasar dengan bibir diketap. Jelas, dia sudah mula hilang sabar.

Hish Pak Mail ni, janji datang jam 5 setengah pagi! Sekarang dah dekat jam 6! Kalau aku tahu lambat, baik aku tidur! Keluh Khairil tidak henti-henti. Sememangnya dia masih dalam keadaan mengantuk kerana terlalu awal menyiapkan diri.

Tidak lama kemudian, deruman enjin motosikal melanggar gegendang telinganya, diikuti bunyi hon motosikal dibunyikan bertalu-talu.

Panjang betul umur. Dah sampai pun. Jelas rasa gembira sudah terpancar di wajah Khairil.

"Ibu. Khairil pergi dulu ya" Beritahu Khairil lalu memandang ibunya sekilas. Walaupun kudrat ibunya semakin lemah namun ibunya tetap bangun awal pagi untuk menyiapkan sarapan. Itulah rutin ibunya setiap hari. Seusai solat subuh ibunya pasti akan bangun untuk melunaskan tanggungjawabnya. Tidak pernah terlupa walau sehari pun!

"Taknak makan dulu ke? Jamahlah sedikit" Saran Mak Misah lembut. Susah hati ibunya Kharil tidak menyentuh makanan. Takut nanti kempunan!

"Tak apa lah ibu, Pak Mail dah sampai tu."

"Tunggu lah sekejap. Pak Mail boleh tunggu tu" Tergesa-gesa Mak Misah pergi ke dapur. Selang beberapa minit kemudian, Mak Misah datang dan membawa makanan yang disusun di dalam mangkuk tingkat.

"Terima Kasih Ibu. Sayang juga ibu pada Khai ye, ingatkan tahu nak marah Khai aje." Gurau Khairil. Sebelum dia melangkah keluar rumah, Khairil meminta izin dan menyalam tangan Mak Misah.

Pak Mail begitu ralit memandang wajah Khairil yang nampak bersemangat hendak memulakan hari barunya. Apa lagi anak saudaranya itu muncul membawa beberapa bekalan makanan. Mahu saja Pak Mail ketawa melihat gelagat Khairil, namun ditahannya seberapa boleh.

"Nah, mahu pakai ni?" Duga Pak mail sambil menghulurkan helmet berwarna kuning yang rupanya tak ubah seperti helmet keselamatan pekerja kontraktor.

"Apa-apa aje lah Pak Mail." Jawab Khairil bersahaja, malas dia mahu memilih. Lagipun bukanlah dia mahu keluar ke pekan. Perlahan-lahan dia mengenakan helmet di kepalanya dengan kemas sebelum membonceng. Tanpa membuang masa mereka pun berlalu dan menuju ke Ladang getah yang terletak di hujung kampung.

***

Fajar kian melabuhkan tirai dengan adanya sedikit cahaya yang sudah menumpahkan sinarnya di ufuk timur. Burung-burung berlumba-lumba terbang keluar dari sarang sambil berdecit-decit dengan irama mengalun. Bunyian itu sudah cukup menghiasi suasana sepinya pagi.

"Inilah Ladang Getah pakcik. Dulu masa kamu masih kecil, selalu pakcik ajak ke sini." Ujar Pak Mail setelah mereka sampai di Ladang tersebut. Kakinya menongkat motosikal dengan berhati-hati di bawah pokok getah. Kemudian Pak Mail mengajak Khairil masuk ke dalam ladang itu dengan beberapa Peralatan seperti lampu suluh, pisau menoreh, ubat nyamuk, lampu kepala dan sebilah parang.

Semaknya! macam bukan ladang getah aje. Habislah aku lepas ni, mesti ambil masa seminggu potong rumput. Rungut Khairil dalam hati.

Khairil hanya mendengar dan membontoti Pak Mail sambil matanya memandang kawasan ladang yang sudah menjadi semak belukar. Tangannya cuba memukul nyamuk yang sedang menikmati darahnya.

"Ladang getah pakcik ni dah lama pakcik tak tengok. Pening kepala pakcik nak fikir tanah pusaka ni. Nak jual atau biarkan sahaja. Dulu, inilah punca rezeki kami sekeluarga. Tapi bila pakcik dah tanam kelapa sawit tu, perlahan-lahan hidup pakcik berubah. Sampai anak pakcik boleh buka syarikat sendiri. Semua tu hasil dari ladang sawit tu lah. Lepas tu, pakcik dah tak cukup tangan nak urus kedua-duanya. Sampailah ladang getah ni terbiar macam ni sekali.

"Dah lama ke Pak Mail tak tengok ladang ni?" Tanya Khairil ingin tahu.

"Ade lah setahun dalam dua tiga kali. Kadang pakcik upah orang aje berishkan tempat ni. Lagipun tiap bulan anak cucu pakcik kirim duit. Jumlah pun lebih dari cukup. Bolehlah upah orang." Jelas Pak Mail.

"Ish, Pak Mail ni! Tadi Pak Mail kata nak jual tanah ni! Sayanglah kalau Pak Mail jual tanah ni. Biarkan aje lah. Kan ini tanah pusaka. Titik peluh datuk tu! Kot-kot tanah ni lah jadi warisan untuk cucu Pak Mail suatu hari nanti." Rungut Khairil.

"Pakcik wariskan kamu lah tanah ni? Nak ke?" Duga Pak Mail.

"Eh, taknak lah nanti ape anak Pak Mail cakap. Lagipun Khai ni bukan anak saudara kandung Pak Mail pun."

"Jangan la kata macam tu! Tak elok! Pakcik dah lama anggap kamu macam keluarga sendiri."

"Yalah Pak Mail" Jawab Khairil bersahaja.

Pak Mail hanya mampu memberi segaris senyuman kepada anak saudaranya itu. Kata-katanya memang jelas berbaur bantahan.

"Mari ikut pakcik ke sana" Tanpa membuang masa Pak Mail pun mengajak Khairil menuju ke satu sudut yang nampak sedikit luas.

"Nah ambil ni, cantas rumput tu supaya senang kita nak gerak." Arah Pak Mail sebelum menghulurkan parang.

Risau pagi akan menjelma, mereka pun memulakan kerja dengan menebas separuh dari rumput yang sudah memanjang untuk dibuat laluan. Tanpa berlengah, Pak Mail mengajar Khairil pula teknik menoreh getah hingga dapat mengeluarkan susu dari pokok tersebut sehingga selesai menawan lenih sepuluh pokok di tanah seluas 30 hektar itu. Khairil seperti tidak jemu dengan kerja sebegitu.

"Lepas berpuluh tahun pokok getah ni mesti tebang. Hasilnya boleh dijual. Nanti jadi balak, boleh jual di kilang perabot getah." Kata Pak Mail membuka bicara yang terkunci sejak tadi. Sementara itu tangannya mengusap peluh di dahi yang penuh dengan kedutan.

"Habis tu pokok getah ni dah berapa lama tak ganti pokok baru?" Soal Khairil ingin kepastian.

"Dah lama dah. Tak lama lagi kena tanam pokok baru. Sementara tu boleh lah kamu ambil hasilnya. Kalau dulu hasil getah ni pakcik boleh dapat cecah RM15 ribu sebulan juga." Luah Pak Mail, keringatnya masih berlumba-lumba keluar dari permukaan dahi lalu membasahi seluruh tubuhnya.

"Banyak tu." Kata Khairil spontan. Semangatnya semakin berkobar-kobar untuk meneruskan kerja tersebut walaupun dia tidak tahu apa akan terjadi pada masa akan datang.

Memandangkan Khairil sudah pandai mengeluarkan susu dari pokok itu, Pak Mail tidak teragak-agak hanya menunjukkan isyarat tangan kepada Khairil ke arah pokok yang belum ditoreh. Dengan kudrat yang masih tersisa Khairil hanya menuruti arahan Pak Mail.

Mereka pun giat meneruskan kerja tanpa banyak bercakap. Bintik-bintik peluh bercambah di sana sini. Oleh kerana cuaca yang bertambah ganas dengan tiadanya awan-gemawan, Pak mail pun segera mengajak Khairil pulang kerana mereka tidak boleh menoreh ketika matahari sudah menyinar, risau susu getah sukar keluar dari landasannya.

Kayra NelidaWhere stories live. Discover now