Bab 45

1.6K 67 14
                                    


   Kayra termangu melayan perasaan sendiri. Basikal tua yang baginya sudah banyak berjasa itu, diletak di bawah sepohon pokok yang rendang. Dia duduk di sebuah jambatan kayu yang menganjur ke sebuah rumah yang dihuni oleh seorang nelayan. Deruan angin yang menampar lembut wajahnya, bagai memahami kepiluan diri walaupun tiada air mata yang mengiringi.

  Kayra membiarkan kakinya berjuntai di jambatan kayu yang hampir mereput dek serangan hujan dan terik mentari. Dia merenung kosong pada aliran sungai yang agak cetek sambil mencerunkan anak mata ke permukaan air. Jari jemari perlahan-lahan melontar batu kecil yang tanpa sengaja ada di situ. Beberapa ekor  ikan yang berenang lincah secara berkelompok, memunculkan diri dan menyuakan mulut di permukaan air. Saat itu, perlahan-lahan ingatannya menjalar pada kejadian sebentar tadi. Imbasan itu seolah-olah mendera kekusutan dan kekalutan dirinya. 

  "Aku nak kau keluar dari rumah ini. Aku tak suka! Sebelum aku buat sesuatu yang buat kau menyesal seumur hidup, kau dengar cakap aku! Faham!"

  "Aku tak suka kau dekat dengan Khairil! Aku tak suka!!"

  Deruan nafas Kayra turun naik saat peristiwa itu belayar kembali di ruang mindanya. Masih terngiang-ngiang jeritan Cempaka tadi. Emosinya serta merta berubah dan menjadi tidak stabil. Air matanya tidak dapat dibendung lagi. Akhirnya dia melepaskan jua tangis tanpa tertahan. Terhincut-hincut bahunya menahan sebak. Laju ianya mengalir menodai pipi. Takdir dirasakan seakan kejam menghukum dirinya. Perlukah dia menyalahkan diri sendiri atas peristiwa yang terjadi? Haruskah dia berkorban perasaan cintanya demi menyelamatkan hubungannya dengan Cempaka? Langsung tidak terjangkau dek akalnya akan sikap Cempaka. Bagai satu kejutan besar untuk meraikan kedatangannya ke rumah itu. Dia dalam dilema. Perlukah dia mengundur diri?

  "Awak tunggu saya ye?" tegur satu suara. Suara terjahan yang sudah tidak asing lagi menyentak lamunannya. Lamunannya serta merta terbang pergi. Lelaki yang berbaju lusuh itu dipandang sekilas. 'Khairil? apa lagi dia buat kat sini?' desisnya. Kemudian cepat-cepat dia mengalihkan pandangan ke hadapan semula.

  "Awak intip saya ke?" tanya Kayra perlahan. Sayu suaranya menampar pendengaran Khairil. Entah dari mana muncul kekuatan mahu menjawab sapaan yang tidak seberapa itu. Jujur, dia masih menyimpan rasa marah terhadap Khairil, tapi mulutnya tidak berupaya mengusir lelaki itu pergi dari situ. Baginya, Khairil sengaja mahu memainkan perasaannya lagi.

  "Saya nampak awak keluar rumah tadi, nak tengok aje kot-kot awak buat benda tak elok lagi ke" ujar Khairil dengan nada mendatar. Tenang dan bersahaja dia berbicara walaupun masih ada sedikit dingin dari nada itu. Riak wajahnya juga memperlihatkan bahawa kehadirannya bukan sengaja mahu mengintip. Kalau bukan kerana dia melihat riak mendung di wajah gadis itu tadi, sudah tentu dia tidak mengejar gadis itu sampai di sana.

  Kayra menekurkan semula wajah ke permukaan air. Hilang segala yang bermain di mindanya. Dia tidak mahu mempelawa lelaki itu duduk seperti kebiasaan yang dibuatnya saat berborak dengan lelaki itu. Dia bimbang, pasti nanti Khairil perasan perubahan pada suaranya yang sudah sengau dek menangis tadi.

  Khairil duduk tanpa dipelawa. Dia  melontarkan pandangan ke arah langit yang terbentang luas. Langsung tidak menoleh ke arah Kayra yang seperti berat mulut mahu bersuara.

  Kayra pula, begitu gigih melontar batu kecil di permukaan air sungai itu. Rambut yang panjang mengurai itu, dibiarkan menutupi wajah. Dia tidak punya kekuatan untuk menatap wajah itu. Dia takut menatap wajah itu lagi. Dalam hatinya dirasakan ada sesuatu yang sengaja direncanakan Khairil untuk menyakiti hatinya lagi. Tapi dia tidak pasti itu benar atau hanya anggapannya sahaja.

Kayra NelidaWhere stories live. Discover now