Khairil menggenggam erat lampu suluh itu sambil bola matanya memerhati Kayra yang sudah pergi meninggalkannya. Kata-katanya itu tadi mungkin menyebabkan Kayra jadi begitu. Benarkah Kayra pun menaruh hati terhadapnya? Adakah Cempaka sengaja mahu meracuni fikirannya? Atau Kayra yang memang begitu? Dia sendiri pun bingung. Mustahil Cempaka sengaja menabur fitnah terhadap anak saudaranya sendiri. Bukan baru sehari dia mengenali Cempaka. Lagipun baginya Kayra memang terlalu nakal. Silapnya juga kerana menaruh harapan dan perasaan.
Khairil masih berdiri kaku di hadapan pintu dapur. Puas dia berfikir. Kalau boleh dia tidak mahu lagi memikirkan gadis itu. Tetapi apakan daya, luahan Kayra tadi masih terngiang-ngiang di benaknya. Andai benar Kayra tidak seperti apa yang difikirkannya, dia sendiri yang akan menyesal kemudian hari. Dia sendiri yang merelakan hati melepaskan Kayra begitu sahaja. Dia sendiri yang mahu menjauh hati dari Kayra. Tetapi itu memang kesalahannya. Untuk apa dia peduli semua itu jika dia sendiri yang meletakkan Kayra di tempat yang tidak bermaruah?
Sebaik azan subuh berkumandang, Khairil terus menolak daun pintu dapur yang tidak berkunci. Sempat dia menjeling sekilas jam di dinding rumah usang itu. Jarum jam sebentar lagi menuju ke angka 5.00 pagi.
Kebetulan langsir berwarna kuning berbunga ros merah terbuai lembut dirempuh angin dari luar. Khairil terus mengintai di sebalik langsir tersebut. Jarak antara rumah Pak Mail dan teratak usangnya itu tidaklah terlalu jauh. Dia masih boleh melihat gerak geri Kayra walaupun tampak samar-samar.
Dari jauh, kelihatan Kayra tergolek terbaring di atas pangkin rumah Pak Mail. Tidur tanpa beralaskan lapik. Hanya berbantalkan beg bagasi yang dibawanya tadi. Entah mengapa, timbul rasa kasihan terhadap Kayra. Tergamak dia membiarkan gadis itu tidur sendiri di sana menahan kedinginan pagi. Mungkin gadis itu tidak mahu menggangu atok dan neneknya. Namun jauh di sudut hati, dia tersenyum puas. Dapat juga dia melempar kesombongan kepada gadis itu.
“Kayra” panggil Pak Mail perlahan. Halus sahaja dengkuran cucunya itu masuk ke dalam corong telinganya. Pipi mulus itu ditepuk dua tiga kali.
“Eh atok” pantas Kayra bangun dan duduk bersila. Tebal wajahnya melihat Pak Mail dan Mak Jenah berdiri di hadapannya. Nafas yang mengeluarkan bau tidak enak itu berusaha ditahan supaya tidak ketahuan.
Pak Mail tersenyum. “Laa. Bila cucu atok ni sampai? Kenapa tidur luar ni? Tak ketuk pintu pun”
Kayra menganjurkan kaki yang terasa kebas. Perlahan-lahan tumit kaki itu diurut, dibengkok dan diluruskan. “Jam 3 tadi tok. Tak sampai hati nak ganggu nenek dan atok. Lagipun Kayra memang nak balik sini, lupa nak telefon” jawabnya dengan suara yang masih serak. Sesekali dia menggaru-garu pipinya yang digigit nyamuk dan menguap dua tiga kali.
Pak Mail tersenyum gembira. Cucu yang dirinduinya itu kembali jua ke rumah pusakanya yang tidak seberapa mewah itu. Tidak sampai hati pula hendak memarahi Kayra yang pergi begitu sahaja beberapa minggu yang lalu.
“Itulah kelam kabut sangat balik. Tunggu atok pun tak nak. Tengok sendiri yang susah terpaksa ulang alik ke sini” ujar Pak Mail dengan senyuman.
“Tak adalah atok. Kawan Kayra yang nak cepat sangat hari tu. Kan Kayra dah bagitahu nenek, Kayra pergi kejap aje” tambahnya lagi.
Pak Mail mendengus panjang. “Hm. Apa-apa aje lah Kayra. Yang penting kamu dah sampai sini. Dah, pergi masuk tidur kat dalam. Atok nak pergi surau ni. Takut lambat pulak” sambung Pak Mail. Dia sudah bersedia menyarung capalnya hendak turun ke tangga.
Kayra mengangguk lemah. Beg bagasi sederhana besar yang bawanya tadi, ditarik perlahan dan diturunkan dari pangkin. Setelah memeriksa isi di dalam beg bagasi itu ternyata hanya ada beberapa helai pakaian saja yang disediakan oleh Kifli untuknya. Dia mendengus geram. Entah apa-apa sahaja pakaian yang disediakan oleh abangnya, Kifli.
YOU ARE READING
Kayra Nelida
Roman d'amourKayra Nelida si gadis yang kuat memberontak. Di sebalik tabiatnya yang kuat memberontak itu, maka dia rela dalam terpaksa berpindah ke kampung atas desakan papanya. Ketika dia berada di kampung Pulau Getah, pertemuan Kayra dan Khairil terjadi tanpa...