"Kayra, pandang saya sini. Awak dah tak sudi pandang muka saya lagi ke?" soal Khairil tanpa tertahan. Jika dia terpaksa memujuk dan merayu, inilah masanya sebelum Kayra berubah fikiran.
Pertanyaan Khairil tidak diendahkan. Benak Kayra sudah dihujani seribu prasangka. Dia tahu Khairil mahu memperkotak-katikkan perasaannya lagi.
"Kayra, saya tahu saya salah. Dengar dulu apa saya nak cakap" ujar Khairil lagi.
Kayra diam. Dia cuba memujuk diri supaya tidak memandang wajah itu. Sakit hatinya pada Khairil masih berbaki. Kata-kata itu, tiada satu pun berunsur pujukan. Dia masih lagi terkilan. Terkilan dengan sikap Khairil yang seperti mempermainkan hati perempuannya.
"Maaf, saya nak balik. Nanti atok cari pulak" tutur Kayra perlahan. Wajahnya dibiarkan tenang, setenang air di lautan.
Tanpa berlengah, dia terus mengorak langkah meninggalkan Khairil di situ."Kayra.. Nanti dulu....." panggil Khairil lagi di belakangnya. Dia benar-benar berharap Kayra memberi sedikit masa untuknya membetulkan kesilapan yang telah terjadi. Tidak sanggup pula mahu membiarkan Kayra mengelak darinya seperti apa yang dilakukannya dahulu terhadap gadis itu. Dia akui, memang dia telah melakukan satu kesilapan yang cukup besar!
'Ah, pedulikan dia' bentak Kayra dalam hati. Kemudian, dia tetap meneruskan langkahnya tanpa berpaling lagi. Terasa menyesal pula di hatinya kerana keluar bersiar-siar di kawasan kampung. Bukan dia tidak tahu kampung itu bukan besar mana pun. Putar-putar di tempat yang sama tetap juga akan bersemuka dengan orang yang sama. Tapi bila difikirkan, itu bukan kehendaknya. Dia mengeluh sendiri, menyesali akan takdir itu.
"Abang, apa abang dah buat? Kan akak dah marah. Kempunan lah nanti akak tu tak dapat makan buah rambutan" tegur Ali pada Khairil bila menyedari Kayra sudah jauh meninggalkan mereka di sana.
"Abang tak buat apa pun. Mungkin akak takde mood" jawab Khairil mahu mengelak dari menjawab pertanyaan itu.
"Akak merajuk dengan abang kot. Abang cuba la pujuk akak. Apa la abang ni, tak gentlemen langsung" Celah Faiz dari atas pokok.
"Ah, Faiz jangan becok macam murai boleh tak. Ni hal orang dewasa" balas Khairil meluat dengan ucapan Faiz. Dia menjeling sekilas sambil bercekak pinggang mendongak ke atas pokok rambutan. Muncung bibir Faiz bila Khairil bersikap acuh tak acuh kepadanya. Sempat dia menjelir lidah. Nasib baiklah Khairil tak nampak. Kalau tak, habis punggungnya dijolok oleh Khairil.
"A'ha. Tadi baru aje akak nak belanja makan kat warung Pak Man. Abang yang datang kacau daun" rungut Ali mula mengeluh.
Khairil cuma mampu tersengih. Memang padan mukanya. Tidak tahu lagi apa lagi yang harus dijawab. Omelan kanak-kanak itu bagai tertimpa di atas kepalanya.
"Nah ambil ni, abang hantar di rumah Pak Mail" ujar Faiz menahan geram. Buah rambutan yang sudah dipetik, sengaja dijatuhkan di atas kepala Khairil.
"Ish, budak ni! Nak kena agaknya! Asyik-asyik aku jadi mangsa" omel Khairil sendiri. Dalam hati sudah menyumpah serapah kanak-kanak itu.
Dengan muka yang masam kelat Khairil mengutip satu per satu buah rambutan itu. Namun otaknya menerawang jauh. Dia tertanya-tanya sendiri. Adakah ini balasan yang harus diterimanya setelah menyakiti hati Kayra? Tiada sekulamit pun rasa sayang ataupun rindu terpamer di wajah Kayra tadi. Adakah dia sudah membenciku? Rintih Khairil dalam hati.
********
Kayra tersenyum meleret waktu itu. Bukan gembira kerana telah bertembung dengan Khairil tanpa disengajakan tadi. Namun, hatinya gembira kerana diberi keizinan oleh atoknya keluar ke pekan untuk membeli beberapa keperluan dan belanja di rumah. Jarang sekali atoknya membuat keputusan. Walhal ini bukan kali pertama dia meminta keizinan.
YOU ARE READING
Kayra Nelida
RomanceKayra Nelida si gadis yang kuat memberontak. Di sebalik tabiatnya yang kuat memberontak itu, maka dia rela dalam terpaksa berpindah ke kampung atas desakan papanya. Ketika dia berada di kampung Pulau Getah, pertemuan Kayra dan Khairil terjadi tanpa...