Pagi itu, angin bertiup lembut. Jam sudah menunjukkan pukul 10.00 pagi. Sunyinya rumah papan itu, mencengkam hingga ke ulu hati. Sengaja Kayra duduk di beranda rumah itu. Biar angin pagi, membelai sekujur tubuhnya. Duduk di pangkin mendengar kicauan burung-burung yang membelah suasana sepi memberi sedikit ketenangan buat dirinya. Dia termenung seketika. Sudah lama dia hanya memerap di dalam rumah pusaka, atoknya. Nampaknya, sudah lama juga dia tidak menghirup udara segar di kampung itu.Fikirannya terus berlegar dibawa angin. Teringat perbualannya dengan Leman. Terkenang pula kata-kata kesat Khairil terhadapnya tempoh hari. Jiwanya meronta sekali lagi. Dadanya rasa terhimpit oleh batu yang sangat besar. Dia rasa terhina. Dadanya mula berombak kencang menceritakan segala bentuk rasa yang bergejolak kuat di dalam hatinya dan benaknya.
Bunyi derap tapak kaki yang memijak lantai papan itu, berkeriut menandakan ada seseorang yang menghampirinya. Kayra tersentak dari lamunan. Dia pantas mengerling. Pandangannya kini terkalih pada Cempaka yang berdiri tegak di muka pintu utama. Berderau darahnya hingga naik ke ubun-ubun. Wajah itu cukup melemaskannya. Tiada secalit senyuman pun terukir di wajah itu. Hanya sorotan mata mencerlung tajam ke arahnya membuatkan dia mengerti apa maknanya. Sakit pula hatinya, tapi dia lebih memilih untuk berlagak bisu.
"Nak menggatal lagi lah tu" sindir Cempaka lalu mengherot muka dan mulutnya seakan bercakap sendiri. Lagaknya saat itu memang biadap.
Terjahan suara sinis Cempaka membuatkan hatinya menggelegak. Kayra terus menjeling. Tiada sebarang jawapan yang keluar dari rongga mulutnya. Tanda protes kepada mak saudaranya. Dia hanya mematungkan diri di tempat duduk itu. Naluri hati, kuat melarang dari membidas sebarang kata. Agaknya, bila melihat Kayra bersikap begitu, pasti Cempaka tidak meneruskan hajatnya.
"Kenapa kau duduk kat luar? Kau nak tengok siapa? Kau nak memggatal lagi?" soal Cempaka dengan serius.
Kayra masih diam membisu. Tidak berani memandang wajah yang menyinga itu. Dia dirundung cemas. 'apalah maksu nak buat kat aku lagi ni?' rintih hatinya berbaur gelisah.
"Woi, kau bisu ke? Aku bercakap dengan kau ni Kayra. Berani kau protes?" sergah Cempaka sambil bercekak pinggang di muka pintu.
Terasa lembik tulang badanya bila pekikan yang amat lantang itu mengejutkan tubuhnya. Kayra menarik nafas dalam mengumpul kekuatan emosinya.
"Kayra nak ambil angin aje maksu, tak tengok siapa pun" jawab Kayra ringkas tanpa berpaling sedikit pun ke arah Cempaka.
Cempaka rakus menggigit dan mengunyah kuih ketayap. Dia dapat menduga, Kayra cuba berbohong. Fikirannya berselirat meneka apa yang cuba dilakukan anak saudaranya itu lagi. Nak tarik perhatian Khairil? Ah, tak boleh jadi!
"Ceh, alasan! Padahal kau sengaja kan nak tunjuk muka kau tu kat orang sebelah. Kan kan..." sinis Cempaka menyuarakan lagi rasa tidak puas hatinya.
"Eh, tak adalah!"
"Apa, tak ada tak ada? Kau ingat aku tak tahu?!"
Kayra diam.
"Bodoh!" seranah Cempaka geram. Sejurus itu, dia pun berlalu pergi dari situ sambil menghempas kuat pintu menggunakan penumbuknya.
Kayra menekur lantai. Menyembunyikan perasaan geram yang membuak-buak di jiwanya. Kadang-kadang, terdetik juga di dalam hatinya, tidakkah mak saudaranya itu mahu berbaik dengannya? Sampai bila mereka perlu bersengketa? Dan sampai bila mak saudaranya itu mahu menjunjung egonya yang melangit itu?"
Kayra diam agak lama. Mood untuk dia mengambil angin mati begitu sahaja. Lebih baik dia keluar dan bersiar-siar di kawasan kampung. Pelbagai kemungkinan dapat meredakan jiwanya yamg kusut dek sikap Cempaka tadi. Dia terus melangkah pergi tanpa memedulikan Cempaka yang dari tadi asyik memandangnya dari jauh.
YOU ARE READING
Kayra Nelida
RomansaKayra Nelida si gadis yang kuat memberontak. Di sebalik tabiatnya yang kuat memberontak itu, maka dia rela dalam terpaksa berpindah ke kampung atas desakan papanya. Ketika dia berada di kampung Pulau Getah, pertemuan Kayra dan Khairil terjadi tanpa...