Bab 31

1.8K 74 11
                                    


   Bunyi titisan air hujan menghentam bumbung rumah papan itu. Bunyi itu seperti menghasilkan satu irama yang boleh membuatkan sesiapa sahaja terlena. Mujur sahaja hujan yang turun tidak segarang tadi.

Pak Mail mendongak ke atas, bimbang jika bumbung rumahnya bocor dek zink yang sudah lama tidak diganti. Struktur binaan rumah yang sudah lama itu menyebabkan rumahnya akan bergoyang sekiranya angin kuat menghela nafasnya di kawasan itu. Sempat tadi dia mengambil beberapa bekas untuk menadah air supaya tidak membasahi lantai rumah.

Mak Misah menuju ke beranda di luar rumah. Dia membawa sedulang minuman panas dan beberapa pinggan yang berisi kuih-muih. Kelihatan Pak Mail sudah duduk termenung di beranda rumah mereka. Kaca mata yang dikenakannya sudah melorot hingga ke puncak hidung. Namun kedua bola matanya tampak berpusat ke halaman rumah.

Mak Jenah menggeleng kepala. "Tak sejuk ke kat luar ni bang?" tegur Mak Jenah, perlahan-lahan dia menapak menghampiri suaminya sambil mengukir senyuman mesra. Minuman itu di letak di atas pangkin sebelum melabuhkan punggung di atas pangkin tersebut, menghadap wajah Pak Mail.

Pak Mail memandang sekilas wajah isterinya sebelum pandangannya dihalakan ke halaman rumah. Jelas dia masih dirundang resah. Entah apa yang sedang difikirkannya, Mak Jenah pun kurang pasti.

"Dah lah tu bang, dari tadi asyik termenung aje. Risau Jenah tengok."

Pak Mail mendengus kasar. "Abang risau aje dengan Kayra tu, tak balik-balik lagi, dah nak gelap." Luah Pak Mail bersama rasa resah di dalam hati.

"Kan si Khairil tu dah tengokkan dia, kejap lagi dia balik lah tu. Kan hujan ni, abang masuk lah rumah dulu." Pujuk Mak Jenah tanpa jemu. Wajah itu direnung seketika. Risau pula hatinya melihat suaminya masih duduk termenung diluar rumah. Sejak sedar dari pengsan tadi suaminya itu masih kelihatan murung sambil menghayati hujan yang turun. Tidak pernah pula sikapnya begitu.

Pak Mail menghembus nafasnya untuk menghilangkan beban yang banyak bertamu dalam hatinya. Masih enggan masuk ke dalam rumah. Dia masih sabar menanti duduk di buaian rotan berbentuk bulat di hadapan rumahnya. Setiap saat dia mengharapkan kepulangan cucu kesayangannya, Kayra. Apa tidaknya, Sudah seharian Kayra tidak pulang ke rumah, masih tidak ada khabar berita mengenai cucunya itu. Walaupun badai kebimbangan sudah berjaya menguasai dirinya, tetapi dia masih setia menanti walaupun cuaca di luar tidak berapa mengizinkan.

"Abang pasti ke dengan keputusan abang ni?" Tanya Mak Jenah lembut sambil membengkokkan sedikit tubuhnya untuk mengusap lembut bahu suaminya itu. Usapan itu serba sedikit menenangkan hati Pak Mail yang sudah gundah-gulana.

Pak Mail merenung wajah isterinya, Mak Jenah. Dia mengukir senyuman yang jelas cuba dipaksa.

"Itu yang terbaik yang, abang tak nak lagi lapor pada polis. Cukuplah mereka tahu. Itu yang terbaik."

Mak Jenah menghela nafas perlahan. Itu juga harapannya. Dia tidak mahu mereka dipersalahkan atas kehilangan cucu mereka. Mujurlah ada Faiz yang nampak segalanya. Boleh menjadi saksi. Budak sekecil itu mana mungkin pandai berbohong. Mereka benar-benar terhutang budi padanya.

Pak Mail merenung isterinya sambil tersenyum. Jari-jemari isterinya diraihnya erat.

"Yang, kita berdoa aje moga cucu kita selamat dan kembali pada kita ya."

"Vroommm...."

Pak Mail dan Mak Jenah tersentak kecil. Bunyi enjin kereta menjalar perlahan menghampiri rumah papan itu membuatkan perbualan mereka terhenti seketika. Kelihatan sebuah kereta membelok perlahan sahaja masuk ke pekarangan rumah. Dua tiga kali hon dibunyikan. Toyota Land Cruiser berwarna hitam itu berhenti betul-betul di hadapan rumah mereka. Namun pemandunya masih lagi belum keluar.

Kayra NelidaWhere stories live. Discover now