"Ah... Sial!" Jerit Leman. Dia sudah mengamuk seperti orang hilang akal. Semakin berapi-api perasaan marahnya ketika itu. Sangkaannya semuanya akan selesai malam ini tapi semuanya sudah jauh meleset. Apa tidaknya, Kayra sudah terlepas begitu sahaja. Entah lari ke mana dia sendiri tidak tahu."Hah, mana betina yang kau nak tunjuk kat aku ni? Tak nampak apa pun. Habuk pun tiada!" rungut Ramlee. Sengaja dia menekankan ayat itu dengan nada memerli.
"Ah, kau diamlah!" tiba-tiba Leman naik angin. Dia menunjuk wajah Ramlee dengan jari telunjuknya. Wajahnya yang bengis seperti mahu sahaja mencabut nyawa Ramlee. Parut kesan tikaman dengan garis lurus yang masih melekap di wajahnya menambahkan lagi kebengisannya.
"Itulah bodoh sombong! Orang tanya kau melenting! Aku pulak yang dapat tempias!" Tunjuk Ramlee lagi, dia juga tidak mahu mengalah. Lalu dengan menggunakan telunjuk ditolak-tolak kepala Leman agar temannya itu sedar diri. Adunan ego dan kemarahan mereka bagai menambah lagi suasana langit yang sedang marah itu.
Leman diam. Ada secalit kekesalan terkesan di wajahnya. Dia muak mahu bertikam lidah. Tiada guna juga mereka bertikam lidah kalau memang terang-terangan dia yang salah. Ada perkara yang lebih penting perlu dilunaskan, ianya soal hidup dan mati. Fokus perlu diberikan 100 peratus. Nanti tak pasal-pasal dia pula yang meringkuk dalam penjara.
"Betina tu dah lari!" Leman mendengus kasar melepaskan keluahan berat yang bertamu di dadanya.
Terbuntang mata Ramlee mendengar penjelasan ringkas itu. "Habis apa kita nak buat ni? Kau nak biarkan aje dia terlepas macam tu?"
Leman mendiamkan diri. Dia semakin kalut memikirkan hal itu. Kalaulah dia boleh menyorok di tempat lain, mahu sahaja dia berambus. Alangkah baiknya jika kebenaran yang cukup pahit itu tidak pernah diketahuinya. Sekurang-kurangnya dia tidak menculik Kayra. Jika diikutkan hatinya mahu sahaja dia membunuh Kayra malam ini, namun niatnya terbantut bila Kayra berjaya melepaskan diri.
"Kalau aku jumpa dia, aku nak bunuh dia!" Laung Leman penuh bersemangat. Sambil itu dia menggenggam penumbuk, penumbuk itu dijulang menghala ke langit.
Ramlee ternganga melihat Leman penuh bersemangat.
"Adoi, Leman Leman. Dah buat perangai pulak kau ni. Kalau marah pun tak payah lah cakap penuh bersemangat, mangsa pun tak takut tengok kau. Nak gelak ada lah" tokok Ramlee lagi lantas dia ketawa kecil.
"Ah, diamlah!" Bentak Leman. Wajahnya sudah berubah masam mencuka. Puas dia membuat andaian ke mana Kayra menghilang. Satu hal lagi yang di culiknya itu pun bukan orang sembarangan. Semakin cuak dia bila perasaannya didera arus kebimbangan. Jantungnya bukan main bergayut dengan sebeban debaran. Takut, ya dia takut. Takut meringkuk dalam penjara.
Perlahan-lahan Leman meraup wajahnya dengan kedua tapak tangannya. Dia sendiri tidak pasti apa yang perlu dilakukannya lagi agar dapat menangkap gadis itu semula.
"Dah, jom gerak! Aku ada rancangan lain." tiba-tiba Leman mengajak Ramlee keluar. Sakit kepalanya mahu memikirkan rancangan seterusnya. Sempat matanya merayapi persekitaran sebelum melangkah keluar dari pondok itu. Segala apa yang ada di hadapannya ditendang, disepak dan diterajang semahu hati. Leman mencengkam kepalanya dan menjerit melepaskan kemarahan.
"kreekk..kreekk..kreekk.."
Tiba-tiba bunyi lantai berkeriut seperti dipijak seseorang. Bunyi itu serta merta menyentakkan Leman. Langkahnya terhenti seketika. Matanya terbuntang melihat ke arah daun pintu belakang pondok yang bergerak seperti ada seseorang sedang bersembunyi. Dalam benaknya hanya memikirkan angin. Tapi mustahil. Dia bersunyi sejenak untuk mengenal pasti punca bunyi tadi.
"kreekk..kreekk..kreekk.."
Bunyi yang sama masih menerjah gegendang telinganya. Leman segera memberi isyarat diam kepada Ramlee sebelum melangkah penuh berhati-hati dan mengendap perlahan-lahan melewati ruangan demi ruangan, hingga berdiri tegak di hadapan pintu belakang pondok itu. Lagaknya persis seorang polis yang mengintai buruannya.
"Kayra... Kayra Nelida... Abang datang ni, jangan lah main sembunyi-sembunyi. Abang tak suka lah." Ujar Leman dengan nada memerli. Dia cuba menakut-nakutkan Kayra dari luar pintu. Bisikan jahat sudah menerjah dirinya.
Spontan Kayra memeluk Khairil dengan erat kerana ketakutan. Badannya sudah menggeletar dek takut pada Leman. Tubuhnya menggigil! "Awak....awak...." Perlahan suara Kayra kedengaran dengan nafas yang tersekat-sekat diselang-seli dengan esakan tangis yang mula kedengaran. Matanya tertutup rapat.
Peluh yang ligat merembes semakin bercambah di permukaan wajah. Khairil mengusap-ngusap kepala Kayra sambil mengucup lembut kepala gadis itu. Dia cuba menenangkan Kayra. Dia pun turut sama ketakutan. Tapi cuba di kawalnya.
"Awak saya takut" Tangisan Kayra masih kedengaran. Mata yang ditutup rapat tadi pantas dibuka. Wajah mereka saling berdekatan hingga hidung mereka hampir bersentuhan.
Imbasan adagen sebentar tadi serta merta menerjah laut fikiran.
Ada perasaan halus yang sedang menyengat di hati masing-masing. Mereka sudah tidak larat menyembunyikan rasa hati yang dibuai perasaan bahagia."Jangan takut saya kan ada" Lembut sahaja bisikan itu bermain di telinga Kayra. Hatinya sudah dipagut perasaan cinta yang mendalam. Tanpa sebarang kata, spontan sahaja dia memeluk tubuh sasa Khairil agar dapat meredakan perasaan takut sekaligus meredakan perasaan yang kuat mencengkam dadanya. Dia merapatkan wajahnya rapat di dada bidang Khairil. Dia mahu mencari ketenangan di dalam dakapan lelaki itu.
Khairil membiarkan sahaja perlakuan Kayra yang memeluk dirinya. Dia tidak berganjak sedikit pun. Pinggang ramping itu di peluk erat, dia turut tenggelam dalam dunia yang mereka cipta sendiri. Terasa begitu tenang di dalam dakapan itu.
"Prakkkkk..."
Daun pintu dikuak. Berkeriut daun pintu itu apabila diselak sehingga mengacah gegendang telinga yang mendengarnya.
Seketika kemudian, keadaan kembali sunyi sepi.
Leman masih berdiri tegak di hadapan daun pintu. Mujur sahaja mereka terlindung di sebalik pintu yang diselak tadi. Wajah Leman yang agak terlindung itu di pandang dari celah sisi pintu. Masing-masing berpeluk tanpa bersuara. Debaran kian memacu bagai rentak kompang dipalu. Hanya deruan nafas ketakutan mereka yang kedengaran.
Bunyi guruh berdentum di langit seolah-olah sedang bersuka ria membinasakan muka bumi. Hujan lebat yang turun sejak tadi masih berterusan sehingga ke waktu itu.
"Oh awak rupanya, ingatkan betina tu!"
Khairil bersandar di dinding sambil memeluk erat Kayra, seperti takut mahu melepaskan gadis itu. Karya hanya mampu memejamkan matanya. Bibirnya diketap kuat. Sesekali dia menggeleng-geleng kepala kerana ketakutan.
Belum pun sempat mereka berpaling, dinding dihempas dengan kuat sehingga mengejutkan mereka. Terangkat sedikit bahu mereka. Spontan Kayra mendongakkan wajahnya, memandang lelaki di depannya itu sambil menelan liur. Dia perlukan sokongan.
"Shuhhhhh, buat aku terkejut aje!" Leman menghalau tikus yang masuk di dalam pondok itu lalu disepaknya hingga terpelenting di penjuru dinding.
Leman mencebik, kemudian dia beredar dari situ tanpa mengendahkan tikus itu lagi. Buang masa aku aje! Keluhnya sendiri.
Khairil menghela nafas lega bagaikan baru terlepas daripada suatu kepayahan. Begitu juga dengan Kayra. Beberapa detik kemudian, keadaan di kawasan itu kembali sunyi dan sepi. Tiada lagi kedengaran suara Leman dan Ramlee.
Khairil masih mendakap Kayra sambil matanya memandang ke siling. Mindanya masih terarah kepada kejadian tadi. Mujur sahaja nasib menyebelahi mereka.
"Jom kita pergi dari sini" Ajak Khairil memecahkan Kesunyian. Matanya tak lekang dari menatap setiap inci wajah gadis dalam pelukannya. Semuanya nampak sempurna di ruang matanya. Ingin sekali dia menyentuh bibir comel itu sekali lagi, akan tetapi dia masih boleh berfikir dengan waras.
Kayra mendongak memandang wajah Khairil. Tiba-tiba sebuah kucupan lembut singgah di dahinya sehingga dia terkesima. Terkebil-kebil dia dengan tindakan lelaki itu. Kemudian pelukan erat tadi di lepaskan.
"Awak... Saya.. Saya"
"Shhhh." bisik Khairil perlahan di telinga Kayra. Kali ini nadanya begitu gemersik membuatkan gadis itu terus senyap. Khairil tersenyum. Tanpa berlengah, Khairil pantas menghulurkan tangannya dan disambut dengan senyuman manis oleh Kayra. Mereka pun jalan beriringan keluar dari pondok itu. Walaupun baru pertama kali Khairil memaut lengannya, hati Kayra terasa puas. Hari yang cukup istimewa dalam hidupnya.
YOU ARE READING
Kayra Nelida
RomanceKayra Nelida si gadis yang kuat memberontak. Di sebalik tabiatnya yang kuat memberontak itu, maka dia rela dalam terpaksa berpindah ke kampung atas desakan papanya. Ketika dia berada di kampung Pulau Getah, pertemuan Kayra dan Khairil terjadi tanpa...