Kifli berasa gelisah. Sekejap duduk sekejap berdiri. Mundar-mandir dia di ruangan bilik itu. Tangannya kuat menggenggam hujung kemeja yang tersarung di tubuhnya. Mungkin kepalanya sudah sakit digayuti keserabutan dan kegelisahan.Kayra hanya memandang dengan pandangan penuh tanda tanya dan kekeliruan apalagi sampai kening turut berkerut. Dia sebenarnya teragak-agak hendak bertanya perihal yang telah terjadi.
Mungkinkah ada sesuatu yang di sorokkan oleh abangnya dari pengetahuannya? Dari raut wajah dan mata, jelas kelihatan abangnya itu sedang menghadapi masalah besar. Perlakuaan itu mengesahkan firasat Kayra bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Berbagai-bagai soalan sudah bermukim di kotak fikirannya. Di mulai syak yang bukan-bukan, dia jadi sangsi. Dia semakin yakin, ada sesuatu yang belum dirungkai oleh abangnya, Kifli.
KRING... KRING....!
Baru Kayra ingin mencungkil memorinya kepada kisah yang mengandungi pelbagai insiden yang hampir tenggelam dibungkus waktu, tiba-tiba kedengaran nada dering telefon bimbit abangya menjerit beberapa kali. Serta-merta alam fikirannya terbang jauh dari kawasan itu.
Lekas-lekas Kifli menyeluk poket seluarnya dan mengeluarkan telefon bimbit. Sempat dia memandang skrin telefon melihat nama pemanggil. Namun tiada nombor yang tertera diskrin telefon bimbitnya.
Garisan-garisan urat sudah timbul di pelipis-pelipis kepala sehingga dahinya berkerut seribu dan memercikkan peluh. Ada sekelumit rasa hairan membentak di dada, dia merasa curiga. Tidak pernah ada yang menghubunginya menggunakan private number melainkan scammer. Otaknya memeras laju mengalahkan kilat mengingati kejadian yang melucukan suatu ketika dahulu.
Dia pernah dihubungi oleh scammer yang mengaku dirinya adalah wakil dari salah satu bank. Namun pada waktu dia menerima panggilan tersebut, pada waktu yang tidak wajar untuk sesiapa sahaja bertugas. Mujur sahaja dia masih bijak dan boleh berfikir dengan waras bahawa tiada orang berkerja pada waktu sedemikian. Sedaya upaya scammer itu meyakinkan dia agar dia terpedaya tapi semuanya tidak membuahkan hasil.
Sedetik itu, Kifli tersenyum mengejek apabila kejadian itu berlayar kembali di ruang mindanya. Tanpa bertangguh, dia segera menjawab panggilan itu sekadar mahu mendengar lagi teknik-teknik yang digunakan oleh sindiket scam untuk memperdaya dirinya buat kali kedua. Dia mengurut-urut jambangnya lantas menekan butang accept berwarna hijau.
"Hello Wan Dzul Kifli Iskandar, Ketua Pegawai Eksekutif Petronas sedang bercakap." Sapa Kifli dengan ramah.
"Ceh, perlu ke beritahu pangkat?" Cantas Kayra selamba. Dia sudah melabuhkan punggungnya di atas tilam sambil membelek-belek kukunya yang berwarna hijau muda. Menegak bulu romanya bila ucapan abangnya itu tadi seakan menjentik dan meramas-ramas kuat gegendang telinganya. Sesekali terjongket-jongket bahunya membuat aksi mahu muntah. Geli!
Kifli memandang sekilas, cukup sekadar dengan jelingan tajam mampu membuatkan Kayra jadi tidak senang duduk. Daripada jelingan itu, sudah memberi kefahaman kepada dirinya bahawa abangnya cukup kurang selasa.
"Jumpa aku di Delight Restaurant Bar & Lounge dalam masa sejam, ada benda mustahak harus dibincang! Kalau kau tak datang kau akan menyesal!" Suara dari speaker telefon bimbit itu kedengaran seperti mengejar masa dan berbaur ugutan.
"Who's calling?" tanya Kifli laju. Jari jemarinya masih lagi menari-nari di permukaan wajah yang penuh dengan jambang.
Belum sempat dia menerima jawapan, talian serta merta diputuskan.
"Hello, hello!" tengking Kifli keras, dia masih tidak berpuas hati kerana dia tidak tahu siapa yang menghubunginya. Dia merenung kembali skrin telefon bimbit di tangannya mahu memastikan panggilan itu sudah diputuskan atau tidak. Ternyata bukan scammer seperti yang sudah bermain di akal mindanya tadi.
YOU ARE READING
Kayra Nelida
RomanceKayra Nelida si gadis yang kuat memberontak. Di sebalik tabiatnya yang kuat memberontak itu, maka dia rela dalam terpaksa berpindah ke kampung atas desakan papanya. Ketika dia berada di kampung Pulau Getah, pertemuan Kayra dan Khairil terjadi tanpa...