Khairil melemparkan pandangan ke sawah padi yang terbentang luas. Di sana kelihatan beberapa orang yang sebaya dengan ibunya sedang sibuk bercucuk tanam padi meskipun kegarangan matahari sudah tinggi di atas kepala. Dia membiarkan sahaja tubuhnya diratah angin yang sudah terasa panas membahang. Sudah hampir sejam dia termenung jauh dan berteleku di pondok kecil itu. Hatinya bagaikan menjerit dan melayang meneroka jauh mengenang sesuatu. Sesuatu yang membuatkan dia dibalut kegelisahan.Sudah sebulan dia tidak menyapa dan mendengar khabar gadis yang pernah mengisi hari-harinya. Jiwanya bagai bergetar laju bila hatinya seringkali membisikkan nama itu. Semua apa yang dibuatnya serba tak kena. Entah mengapa ada gelora rindu yang dalam diam bagai mencucuk-cucuk pengkal hatinya. Seakan-akan masih terbayang-bayang mata bundar itu di ruang matanya. Seraut wajah yang sentiasa menghias ruang retinanya. Apa yang dilakukannya sekarang? Sudah move on kah dia? Inikah penghujungnya? Persoalan demi persoalan membelenggu akal warasnya.
'Apa aku dah buat? Kejamkah aku?' bisik hati Khairil. Dalam kebisuan itu, ada sekelumit rasa menyesal atas kelanjuran kata-katanya sebelum ini. Bak kata pepatah, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Menyesal pun tiada gunanya kerana dia sudah pun terlanjur mengeluarkan kata-kata yang mengecilkan hati gadis itu. Dia mendengus perlahan.
"Hai, termenung jauh nampak. Fikir apa pulak tu?" tegur Pak Mail yang kebetulan baru pulang dari warung Pak Man.
Khairil lekas berpaling ke belakang. Sekadar mengukir seulas senyuman. Kelihatan terjinjing di tangan Pak Mail sebuah beg plastik yang berisi kuih muih. Mungkin untuk dijamah petang nanti memandangkan warung Pak Man tutup di sebelah petang.
"Jauh termenung ye. Fikir girlfriend lah tu" usik Pak Mail lagi tanpa menyedari anak jirannya itu sedang diamuk resah.
"Tak adalah. Khai mana ada girlfriend. Manalah ada perempuan yang nakkan Khai ni. Dahlah tak ada kerja tetap, hensem pun tidak" jawabnya merendahkan diri.
Pak Mail menghulur senyum. Dia ingin sekali melihat reaksi Khairil. Apalagi yang difikirkan anak jirannya kali ini?
"Yalah tu, habis Cempaka dan Kayra tengah berebutkan kamu tu, bukan tiada perempuan yang nak lah?" Pak Mail menduga-duga.
Khairil ketawa kecil. Dia tunduk kerana malu disakat seperti itu. Dan dia malu mahu mengakui Kayra sebenarnya yang berjaya meneroka seluruh hatinya. Baginya Cempaka sudah dianggap adik sendiri memandangkan dari kecil dia membesar bersama Cempaka.
"Kalau Cempaka tu lainlah Pak Mail. Dia kan kawan Khai dari kecil, bukan girlfriend" jawab Khairil bercakap benar.
Pak Mail menepuk bahu Khairil. Orang tua itu tanpa teragak-agak melabuhkan punggung di sisi Khairil. Bukan apa, dia semakin tertarik dengan perbualan mereka.
"Habis tu, mesti kamu teringatkan Kayra kan?" soal Pak Mail perlahan. Suara serak orang tua itu separuh berbisik. Tapi dalam masa yang sama ada nada memerli.
"Tak adalah. Orang kaya, mana pandang Khai ni pak Mail" tutur Khairil perlahan.
"Eleh, pandai nak ubah topik. Macamlah pakcik tak tahu. Kamu tu dah kemaruk cinta. Dah angau. Kalau rindu lawat aje lah dia kat rumah. Takde siapa pun larang. Daripada dia berperap aje kat bilik tu, makan tidak. Minum pun tidak. Entah apa aje dia fikirkan tu" ujar Pak Mail yang langsung tidak mengetahui apa yang terjadi antara mereka berdua. Seingatkan Kayra bersikap begitu kerana perselisihan faham dengan Cempaka.
Khairil mendiamkan diri. Ada sesuatu yang mengasak jiwanya. Dia tahu Kayra begitu kerana sikapnya. Apa yang perlu dilakukannya saat ini? Perlukah dia mengorak langkah supaya mendekati Kayra semula setelah banyak kali menyakiti hati gadis itu? Dia mendengus perlahan. Berharap keluhan itu dapat mengikis sedikit kerinduan. Bukan dia tidak mahu, namun akal warasnya seringkali menghalang dia berbuat demikian.
YOU ARE READING
Kayra Nelida
RomanceKayra Nelida si gadis yang kuat memberontak. Di sebalik tabiatnya yang kuat memberontak itu, maka dia rela dalam terpaksa berpindah ke kampung atas desakan papanya. Ketika dia berada di kampung Pulau Getah, pertemuan Kayra dan Khairil terjadi tanpa...