Bab 34

2K 66 9
                                    


Alarm telefon bimbit memekak dan menjerit sehingga membingitkan telinga. Jantung Kayra seolah olah terputus dari uratnya. Dia cuba
menutup telinganya dengan bantal berharap penggera itu berhenti sendirinya. Namun begitu, bunyi bising itu masih kedengaran seakan mencucuk-cucuk gegendang telinganya. Dia masih boleh mendengar dengan jelas gema bunyi penggera yang persis siren ambulans. Pantas sahaja dia membaling bantal tersebut ke tepi katil.

Terpisat-pisat Kayra membuka matanya. Entah bila masa dia tertidur pun dia tidak ingat. Bangun aje dah pagi. Dia cuba meraba-raba telefon bimbitnya mencari telefon bimbit yang diletak di celah buku lukisan. Tangan kanan cuba meraba telefon bimbit. Agak lama jugak dia berperang dengan bunyi itu. Tidak lama kemudian penggera berjaya dimatikan.

Suasana sunyi kembali menyelubungi bilik empat segi itu. Yang kedengaran hanya bunyi kipas siling yang saling berkejaran sesama sendiri. Selimut yang hampir jatuh hanya dicapai dengan menggunakan kaki, lalu menutupi seluruh tubuhnya hingga kepala. Sedetik kemudian, dia kembali terlena. Yang kedengaran hanya bunyi dengkuran perlahan yang begitu teratur mengikut rentak nafasnya.

"Kayra!" Laung Pak Mail dari luar bilik Kayra. Sengaja suara itu ditinggikan. Serentak itu Pak Mail mengetuk daun pintu itu bertalu-talu sehingga bergegar.

Kayra tersentak. Terkebil-kebil matanya di sebalik selimut. Dia sudah mengomel sendiri. Spontan tangannya membuka selimut tebal berwarna merah jambu muda hingga ke paras dada. Matanya kembali menyorot tajam ke arah pintu bilik. Dia sudah naik bengang lalu meraup kepalanya dengan kasar. Baru nak sambung tidur dah kena ganggu.

"Kayra!" Pak Mail memanggil lagi. Lebih kuat dari tadi. Pintu bilik cuba dipulas beberapa kali tapi ternyata bilik itu dikunci dari dalam.

Arghhh! Bentak Kayra dalam hati. Dia menjeling tajam pintu bilik yang bagai mahu roboh, langsung mengendahkan panggilan atoknya. Perlahan-lahan sahaja dia bangun dan duduk di birai katil. Dia menggeliat beberapa kali, sekadar melegakan badannya yang terasa kejang. Dengan mata yang baru mahu berlayar mengimbas imej di ruang matanya, dia cuba merenung skrin telefon bimbitnya.

11.15 am.

Pap! Kayra tersentak. Dah pukul 11.00 pagi. Mati aku! Katanya dalam hati. Kelam kabut dia bangun dan berlari menuju ke arah pintu biliknya. Sempat dia mencapai ikat rambut bunga ungu di atas meja sebelum berlari tadi. Jika dibiarkan atoknya memanggil lagi, pasti atoknya kata dia anak dara yang malas. Tanpa berlengah, tombol pintu dipulas dengan pantas. Wajah Pak Mail sudah dahulu menyapa matanya.

"Ya tok." Sahut Kayra sambil mengikat rambutnya yang nampak mengerbang. Pintu bilik dibuka seluasnya.

"Lailahaillallah! Dah jam berapa ni!" Pak Mail menepuk dahinya. Kayra sudah tersengih-sengih.

"Err... Tak sedar la atok." jawab Kayra dengan nada manja.

Pak Mail mendengus geram. Tidak sampai hati hendak memarahi cucunya itu. Nanti buang tabiat balik ke bandar pulak.

"Kamu tahu tak sekarang dah jam berapa?" tanya Pak Mail perlahan.

"Maaf lah atok, mungkin Kayra penat kot" Jawab Kayra selamba. Tidak berani dia menatap mata atoknya, takut dimarah. Pandangannya segera beralih ke tingkap yang ditutupi langsir. Bergegas dia menghampiri tingkap dan menyelak langsir tersebut. Daun tingap kayu dibuka seluas-luasnya untuk memberi ruang cahaya matahari menerobos masuk. Serta merta udara segar berpusu-pusu berebut masuk ke dalam bilik itu. Lama dia berdiri di tepi tingkap. Seolah-olah menanti seseorang.

Pak Mail hanya memandang sahaja gelagat cucunya itu. Sekilas dia memandang bilik tidur Kayra yang masih bersepah.

"Siapa lah jadi suami kamu ni nanti" Geleng Pak Mail lagi.

Kayra NelidaWhere stories live. Discover now