Sejak masuk ke bilik malam tadi sampailah sekarang, matanya sukar dilelapkan. Walaupun suasana di luar sudah sunyi sepi, tetapi matanya tetap segar walaupun masa sudah semakin dekat menjangkau ke waktu tengahari. Dia pantas bangkit daripada perbaringan lalu mencapai tuala dan bergegas ke bilik air. Entah kenapa, dirasakan panas seakan membahang. Mungkin kerana cuaca yang tidak menentu.Usai mandi, Leman melangkah ke dapur mahu mengalas perut. Perut yang kosong perlu diisi dengan segera. Nescafe dalam tin di ambil dari dalam peti sejuk kemudian disedut. Roti gardenia perisa pisang di dalam bakul dicapai sebelum menarik kerusi di hadapan meja makan. Sempat dia menjenguk di bawah tudung saji. Lauk dan sayur semalam masih terlangkup elok di atas meja, masih penuh tak terusik. Di hidu satu per satu. Kesemuanya sudah basi dan berbuih.
Leman buang muka lalu menopang dagu dan termenung jauh. Hilang seleranya bila terhidu bau lauk yang sudah basi. Bungkusan roti pisang belum dibukanya lagi, padahal tadi dia sudah mahu menjamahnya. Jari jemarinya hanya sibuk membuat rentak irama. Lama dia melayan ingatan yang berlayar di minda.
Leman meraup wajahnya dengan kedua-dua belah tangan. Keluhan panjang kemudian di lepaskan dan dibiarkan supaya bebas di udara. Jiwanya merusuh sendiri. Dia cuba menepis-nepis ingatan yang terloncat dari satu peristiwa ke satu peristiwa yang hampir tenggelam dibungkus waktu, tetapi kotak fikirannya tidak mampu berbuat begitu. Sedaya upaya dia berusaha melupakannya walaupun hanya seketika. Namun sukar! Dendam tetap dendam! Dendam kesumat dan kebencian yang bersemadi masih kukuh dan sampai bila pun ianya tetap bersarang di hati.
Air mata kerana dendam yang masih belum tertunas sudah bertakung di tubir mata. Hanya menunggu saat mahu pecah sahaja. Tanpa sedar, dia sudah menggenggam penumbuk. Berat menahan rasa amarah yang sudah bermaharajalela dalam hatinya. Lantas, dia mendongak kepala tidak mahu air mata jantannya jatuh hanya kerana kalah dengan perkataan dendam.
Tahan, Leman tahan! Dia berusaha memujuk diri. Masa silam tidak henti-henti berputar di minda. Kalau bukan kerana dia difitnah, dia tidak akan jadi sekejam ini. Dadanya semakin lama semakin berombak kencang. Sambil kepalanya didongak, dia mendengus kasar. Cuba memaksa diri untuk bertenang.
Leman masih terkilan, mentang-mentang dia bukan orang orang kaya, dengan mudah dia ditindas seperti itu. Bukti yang ditunjukkan pun semuanya palsu belaka. Dan apa yang lebih menyakitkan hatinya dia langsung tiada ruang untuk bersuara dan membela diri sebaliknya terus dijatuhkan hukuman. Oleh itu, dia bertekad mahu membalas dendam dengan cara apa sekalipun.
"Pak Mail, Pak Mail! Perlahan-lahan aku akan buat kamu semua merana. Kau tunggu ajelah pembalasan dari aku. Itu baru sikit aje! Aku bunuh kau nanti!" Katanya sendiri.
KRINGGGG...!!!!
Lamunannya berkecai sebaik sahaja alarm jam dinding berbunyi. Jarum jam sudah pun menunjukkan pukul 10.00 pagi. Tanpa disedarinya, dia telah membuang masanya selama setengah jam di situ. Dia terpaksa melupakan hajatnya untuk makan roti pisang gardenia.
Tanpa berlengah, Leman menapak menghampiri salah satu lantai yang tidak berpaku di hujung dapur rumah itu. Sempat dia mencapai pisau sebelum menapak ke arah tadi. Perlahan-lahan dia membuka papan lantai tersebut, tempat untuk dia menyembunyikan barang penting seperti dokumen. Dia pantas mencapai sebuah kotak hitam yang terletak di aras bawah lantai itu dan membuka penutup kotak tersebut. Helaian demi helaian gambar itu di tatap. Gambar seseorang yang sudah memusnahkan hidupnya!
Sakit hatinya semakin bernanah. Gambar yang ditatap tadi tanpa sedar di tebuk berkali-kali menggunakan pisau yang masih digenggam erat di tangan. Dia ketawa sendiri. Ketawa umpama seorang pembunuh yang kehabisan gaya.
Dengan langkah yang mantap berserta genggaman tangannya yang cukup padu, Leman berjalan keluar kerana dia sudah berniat mahu memusnahkan keluarga itu. Dia akan pastikan apa saja yang dirancangkan itu akan berjaya. Dendam lama harus dilunaskan!
YOU ARE READING
Kayra Nelida
RomanceKayra Nelida si gadis yang kuat memberontak. Di sebalik tabiatnya yang kuat memberontak itu, maka dia rela dalam terpaksa berpindah ke kampung atas desakan papanya. Ketika dia berada di kampung Pulau Getah, pertemuan Kayra dan Khairil terjadi tanpa...