Bab 48

113 4 0
                                    

     Pembedahan selamat dilakukan sebelum Amirul ditukarkan ke wad VIP sama seperti Aisya. Namun... lelaki itu masih koma walaupun Aisya telah discaj daripada hospital bersama Iwata dan Syazwan. Sudah hampir sebulan lebih Amirul berada di hospital, syarikat muziknya kini dijaga oleh Aisya yang telah mendapatkan ijazah dalam bidang pendidikan.

Arief sudah menamatkan pelajaran selepas menerima diploma, kini dia memulakan perusahaan kecil dengan membuka sebuah kafe atas bantuan Aisya serta Aiman Tahar. Dia memikul tanggungjawab menjaga Puan Ana Dan Tuan Ariffudin manakala Aisya menanggung semua kos pembelajaran Aris yang berumur 14 tahun.

Aisya masuk ke dalam pejabatnya sebelum duduk di meja kerja. Beberapa minit kemudian Aiman Tahar datang bersama Arif Arsyad dan Yusuf. Kesemua mereka duduk di hadapan Aisya dengan wajah dihiasi senyuman girang.

"Nah." Arif Arsyad meletakkan sekotak besar KFC di atas meja kerja Aisya. Baru semalam Aisya berhasrat untuk memakan KFC tetapi kerana ada mesyuarat bersama seorang direktor yang ingin mengambil tiga orang daripada penyanyi di syarikatnya untuk berlakon dalam filem terbaharu yang akan ditayangkan pada hujung tahun ini membuatkan gadis itu tidak berkesempatan membeli KFC.

"Kesian baby tak dapat makan KFC. Hari ni Papa Arif baik hati sebab ingatkan Ummi Aisy ni tau." kata Yusuf memandang ke arah perut Aisya yang semakin membukit.

Tersenyum Aisya mendengar bicara tersebut walaupun hatinya masih berduka. "Dah berapa bulan untuk hari ni?" Aiman Tahar menyoal sambil membuka plastik yang membaluti kotak KFC. Arif Arsyad bangun selajur keluar daripada pejabat. Dia masuk semula dengan membawa empat piring bersih yang diambil daripada pantri.

"4 bulan 28 hari." jawab Aisya sambil memegang perutnya.

"Cepatnya... Tak sabar Ayah Aiman nak tengok baby keluar. Nanti bolehlah baby jadi role model kat kafe Ayah Aiman, tak payah Ayah Aiman nak keluar duit." Aisya memandang geram lelaki itu yang berseloroh dengan kandungannya.

"Aku sekeh kepala kau nanti baru tahu. Suka hati je nak jadikan anak aku ni role model kau." marah Aisya dalam nada bercanda. Terhambur tawa tiga lelaki itu melihat wajah cemberut Aisya yang kebelakangan ini senang benar terasa dan merajuk.

Betullah kata orang yang wanita mengandung ini memang akan kelihatan comel di mata lelaki tetapi hatinya akan lagi mudah terasa walaupun untuk hal kecil. Yusuf mengambil huluran piring daripada Arif Arsyad yang telah diisikan ayam KFC sebelum diletakkan di hadapan Aisya.

Gadis itu mengucapkan terima kasih dan mencubit sedikit kulit ayam untuk dijamah. Arif Arsyad mengambil tempat di sisi Aiman Tahar usai memberikan KFC kepada sahabat-sahabatnya. "Dah pergi jumpa doktor untuk scan?" Arif Arsyad membuka bicara ketika makan.

Aisya mengangguk sebelum menelan kunyahan di dalam mulut. "Dua minggu lepas. Doktor kata kembar," balas Aisya selajur mencapai paket sos tomato di dalam plastik. Dihulurkan sos tomato itu kepada Aiman Tahar.

Lelaki itu dengan baik hati membukakannya untuk Aisya sebelum diberikan kembali kepada gadis tersebut. Ucapan terima kasih kedengaran lagi daripadanya membuatkan mereka yang lain tersenyum kecil. "Iwata dah balik?" giliran Aisya menyoal kepada tiga lelaki itu.

Mereka mengangguk serentak sebelum Yusuf yang berkata-kata. "Arif hantar dia kat airport semalam. Dah sampai Jepun agaknya sekarang ni. Dia kata kat aku: 'Harap Aisya selamat lahirkan anak dia dan Amirul bangun daripada koma. Aku pun hendak jadi otoosan (Ayah) untuk anak dia nanti.' Nampaknya anak kau ada lima orang ayah. Walid Mirul, Papa Arif, Ayah Aiman, Otoosan Iwata dan Abah Yusuf." sebelah keningnya dijongketkan berkali-kali ke arah Aisya yang menggeleng perlahan.

My Hated Abang Faci [COMPLETED]Where stories live. Discover now