Bab 43

791 73 0
                                    

BEBERAPA helai pakaian dan alatan kendiri dimasukkan ke dalam beg. Tak, bukan dia nak lari rumah tapi bermula hari ini, Ameena akan tidur di sini untuk berbincang tentang majlis perkahwinannya bersama Encik Azril dan Puan Rosni. Jadi, demi menghormati permintaan Ameena yang tak mahu dia turut ada di dalam rumah ini, dia akan bermalam di rumah Farouk. Mujurlah Farouk tak kisah untuk dia menumpang tidur di rumah sewa lelaki itu untuk beberapa hari.

Selesai mengemas beg, Aisar melangkah keluar dari bilik tidurnya. Turun ke bawah, dia letak beg pakaian atas sofa sebelum berjalan ke arah ruang makan. Puan Rosni suruh dia makan tengahari bersama sebelum pergi. Erk, dengar macam nak pergi jauh aje. Padahal rumah sewa Farouk tu hanya mengambil masa lima belas minit perjalanan menaiki kereta.

Baru saja punggungnya mencecah kerusi, Ameena muncul dari dapur sambil membawa mangkuk besar berisi nasi putih yang masih panas. Mereka saling berpandangan seketika sebelum Ameena dulu yang melarikan matanya. Letak bekas nasi atas meja, Ameena berura-ura untuk segera beredar sebelum Aisar tiba-tiba menahannya untuk pergi dulu.

"Ya?" Ameena pandang wajah Aisar.

"Mama dengan ayah mana?" Aisar menyoal bila dia tidak melihat kelibat Encik Azril dan Puan Rosni. Dia ingatkan mereka dah tunggu dia di meja makan.

"Mama pergi panggil ayah dalam bilik kejap,"

"Oh, okey..."

Ameena segera berlalu ke dapur meninggalkan Aisar yang terkulat-kulat di meja makan itu. Tak sampai seminit kemudian, Puan Rosni muncul bersama Encik Azril. Semenjak kesihatan Encik Azril merosot, lelaki itu banyak bergantung pada Puan Rosni. Banyak perkara yang dia tak boleh lakukan tanpa pertolongan wanita itu. Puan Rosni pula tak pernah sedikit pun mengeluh dan menjaga lelaki itu dengan penuh sabar.

"Dah kemas baju semua ke?" Encik Azril menyoal sambil memandang Aisar yang sedang mencedok nasi ke dalam pinggan mereka.

"Dah. Ayah ni macam nak halau Aisar keluar dari rumah ni aje," tercebik-cebik bibir Aisar. Tak lama kemudian, Puan Rosni muncul dari dapur bersama Ameena lalu duduk di meja makan itu. Aisar ketuai bacaan doa makan sebelum mereka sama-sama menikmati makan tengahari itu.

"Dah lama ayah tak rasa masakan air tangan Meen. Sedap pulak rasanya," suara Encik Azril memecah sepi di ruang makan itu. Ameena tersengih-sengih malu menerima pujian daripada lelaki itu.

"Meen masak campak-campak aje, ayah. Alhamdulillah kalau kena dengan selera tekak ayah. Lega Meen," balas Ameena. Sewaktu dia ke sini dihantar Zaril tadi, terus Puan Rosni ajak dia ke dapur untuk menemani wanita itu memasak. Tak betah melihat wanita itu masak sendiri jadi, Ameena offer diri untuk masakkan satu jenis lauk. Ayam masak halia.

"Campak-campak pun sedap. Nanti gemuklah Zaril hari-hari boleh makan sedap," usik Encik Azril. Ameena hanya tersengih. Tak boleh bayang Zaril yang kurus itu akan jadi gemuk selepas mereka berkahwin nanti. Mesti comel macam teddy bear.

"Aisar pun nanti cari bakal isteri yang pandai masak. Biar gemuk sikit badan tu,"

"Uhuk!!!"

Tak pasal-pasal Aisar tersedak butir nasi bila bicara Encik Azril itu masuk ke telinga kanannya. Laju dia sambar gelas air sejuk yang dihulurkan Ameena padanya lalu diteguk rakus. Encik Azril hanya tertawa kecil. Langsung tak rasa bersalah sebab buat anak sendiri tersedak.

"Apa ayah ni..." berkerut-kerut muka Aisar sambil mengurut batang lehernya yang terasa perit. Matanya yang berair memandang satu persatu wajah yang ada di meja makan itu.

"Apa? Ayah cakap macam itu pun nak tersedak ke? Betullah apa yang ayah cakap. Nanti cari bakal isteri yang pandai memasak dan bukan hanya pandai melawa aje. Kamu tu ayah tengok kurus sangat. Cubalah besarkan sikit badan tu, Aisar." kata Encik Azril. Aisar tunduk sekejap memandang tubuh sendiri. Badan dia ni tak adalah kurus sampai nampak tulang. Tapi, taklah berisi. Sedang-sedang sahaja. Kira okeylah ni.

Dear Little WifeWhere stories live. Discover now