Adlina tersenyum kecil sambil menahan sebak yang mula menusuk masuk ke dalam hatinya. Tangan kanannya masih kemas memegang tombol pintu berwarna kelabu sejak dari tadi. Bagaikan meragui keputusan untuk melihat keadaan bilik ini sebelum masuk ke dalam biliknya, Adlina enggan berfikir panjang dan terus memulas perlahan tombol itu.
"Mama, abah. Lin dah balik," bisiknya perlahan. Air mata yang mula bertakung dan mengaburi penglihatannya diseka laju.
Dia masuk perlahan ke dalam bilik arwah mama dan abahnya. Percaya atau tidak, kali terakhir dia masuk ke dalam bilik ini adalah semasa kedua-dia orang tuannya masih hidup. Adlina tidak pernah menjejakkan kakinya ke dalam bilik itu walapun selepas mereka meninggal dunia. Bahkan sewaktu Adlina mahu ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran, dia masih tidak mahu masuk ke situ.
Dia tahu dia takkan pernah kuat jika berada di dalam ruang itu. Dadanya akan merasa sesak yang amat dan dia akan mula gagal mengawal penafasannya.
Adlina menyentuh lembut katil besar itu. Corak cadar dan langsir masih tidak berubah dari dulu. Dia sendiri meminta Mak Yam untuk tidak mengubah apa-apa dan biarkan semua di situ sahaja seperti selalunya. Ternyata Mak Yam sememangnya menjaga bilik itu dengan rapi tanpa sebarang cela.
Adlina mengambil tempat di birai katil dan duduk di situ, sambil melihatkan wajahnya terpancar di cermin meja solek di hadapannya. Alat solek, minyak wangi dan kotak aksesori milik Puan Narimah masih tersusun elok di atas meja itu. Teringat dia akan bebelan arwah mamanya yang berapa kali merayu kepadanya untuk mula memakai barang-barang tersebut untuk kelihatan lebih feminim.
Bagaikan tayangan filem di hadapan matanya, perbualan lama mula menyinggah masuk ke dalam fikirannya.
*****
"YaALLAH Lin. Payah sangat nak pakai semua benda ni kenapa? Mama nak beli yang baru tak nak. Suruh cuba pakai yang mama punya pun tak nak. Kamu nak apa sebenarnya ni," soal Puan Narimah geram. Adlina sekadar tersenyum busuk sambil mengemaskan tangannya memeluk perut Puan Narimah. Selesa sungguh rasanya bila dapat baring di atas riba mamanya dan memeluknya sebegitu.
"Ala ma. Nantilah Lin cuba pakai. Lin baru 17 tahun kot," jawab Adlina malas lalu memejamkan matanya.
"Bila cuba nak pakainya? Mama tengok anak kawan mama semua kemain melaram, pandai berfesyen semua. Cantik-cantik budak tu. Kawan kamu si Naz pun pandai bersiap juga. Mama pula jadi seronok tengok dorang. Tapi anak mama yang sorang ni eee...,"
Adlina mendongakkan kepalanya dan melihat ke arah Puan Narimah yang jelas tampak marah dengan sikapnya. Dia mula memuncungkan bibir merah dan matanya sengaja dibiarkan kuyu sedikit, menjadikan dia kelihatan sedih sedikit.
"Pastu mama nak kata Lin buruk ke ni?" Adlina bertanya dengan nada perlahan.
Sedikit pun Puan Narimah tidak termakan dengan perangai Adlina sebegitu. Anak tunggalnya begitu bijak berpura-pura sehinggakan dia sendiri sudah lali dan tidak pernah tertipu lagi dengan agenda Adlina.
"Dah. Tak payah nak acah sedih macam tu. Mama takkan percaya," lantang suara Puan Narimah berkata.
Terus Adlina ketawa kecil dan bangun dari riba Puan Narimah. Dia melihat alat solek yang bergelimpangan di atas katil besar itu. Dia menilik satu-satu barangan di hadapannya. Tak faham betullah kenapa semua orang tergilakan nak pakai benda ni. Muka dah cantik kot, kenapa nak tambah lagi? Tak rimas ke?
"Ni apa?" soalnya malas sambil memusingkan tiub kecil bersaiz jari kelingkinnya. Terpancar gincu berwarna warna merah jambu lembut dari bawah. Not bad juga colour dia, getus hatinya.
"Lin nak ke? Ambillah. Ni baru satu colour. Ada empat colour lain lagi ni. Mama beli satu set hari tu," balas Puan Narimah gembira sambil tangannya laju mencari lagi empat gincu dari jenama yang sama. Riang sungguh hatinya melihatkan Adlina mula bertanyakan perkara sebegini.
YOU ARE READING
Me vs You
RomanceBarangkali ini kisah cinta yang biasa atau boleh jadi paling luar biasa yang pernah anda baca. Siapa tahu penghujungnya macam mana? Adlina Haziqah vs Aqash Hizami Lee. Bayangkan si hati batu berjumpa dengan playboy terkenal dan bersama-sama dalam sa...