24 // Malam Graduasi

2.2K 70 4
                                    

Suasana dewan Hotel Hilton tampak riuh rendah dengan kehadiran pelajar-pelajar tingkatan enam Gillian High School yang semakin memenuhi ruang tersebut. Majlis graduasi yang bertemakan 'Say Hello To Pink' benar-benar memberi impak yang sangat besar pada diri masing-masing. Secara keseluruhannya, ternyata mereka semua bijak mempergayakan pakaian masing-masing baik pakaian moden mahupun tradisional.

​Senyuman lebar tidak pernah lekang dari bibir bekas-bekas pelajar sekolah swasta tersebut. Di pintu hadapan dewan tersebut, dua orang guru diminta untuk menanda kedatangan setiap pelajar. Cara pemakaian pelajar-pelajar pada malam itu berjaya menarik perhatian Cikgu Milah dan Cikgu Aishah.

​"Hai, kalah nampaknya kita Kak Milah. Budak-budak ni bergaya sakan betul," seloroh Cikgu Aishah. Cikgu Milah tertawa kecil mendengar. Hatinya mengiyakan kata-kata temannya itu.

​"Tulah. Tahulah dah habis exam. Tapi akak tengok bagus budak-budak ni. Elok je bergaya. Tak macam tahun lepas. Ada yang macam nangka busuk," sokong Cikgu Milah sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Otaknya ligat teringatkan pelajar-pelajar tingkatan enam pada tahun lepas. Gara-gara tema 'Yellow : Royal Colours', kebanyakan pelajar seperti menjadi nangka busuk. Entah di mana silapnya pun dia sendiri tidak mengerti.

​"Budak-budak tu pun nampak tak semangat nak meraikan majlis mereka," tambah Cikgu Aishah. Perbualan mereka terhenti apabila melihat Adlina datang menghampirinya. Terpegun Cikgu Milah dan Cikgu Aishah melihatnya.

​Adlina yang memakai baju kebaya pendek bertanah merah jambu berbunga hitam kecil tampak manis dan menunjukkan tubuh badannya yang ramping. Rambutnya yang panjang dibiarkan lepas dan sedikit kerinting di hujungnya. Wajahnya yang sememangnya cantik cuma mengenakan solekan nipis. Itupun selepas dipaksa Puan Narimah.

​"Amboi cikgu. Tutup-tutuplah mulut tu," usik Adlina sambil ketawa. Lesung pipit yang terpamer menambahkan lagi keserian pada wajahnya. Tersenyum Cikgu Milah dan Cikgu Aishah mendengarnya.

​"Dah kamu cantik sangat. Saya pulak yang naik risau," kata Cikgu Milah. Berkerut dahi Adlina dan Cikgu Aishah mendengarnya.

​"Kenapa risau pulak?" soal mereka serentak.

​"Yelah. Habislah ramai budak laki jatuh cinta kat kamu nanti. Yang bawak date, mesti semua ditinggalkannya," Cikgu Milah tersenyum meleret selepas berkata.

Amboi cikgu ni, suka pulak, getus hati Adlina.

​"Ha sebut pasal date, mana date awak?" tanya Cikgu Aishah. Sejak dari tadi dia melihat Adlina keseorangan. Tidak kelihatan pula mana-mana lelaki menemaninya.

​Adlina tersenyum hambar. Dia tidak mempedulikan soalan cepumas Cikgu Aishah lalu menanda namanya di atas kertas bersaiz A4 itu.

Selain Aqash, ramai lagi sebenarnya yang mengajak dia untuk menjadi pasangan pada malam itu tetapi semuanya ditolak lembut oleh Adlina. Atas sebab apa, dia sendiri tidak pasti. Dia sendiri rasa lebih rela bersendirian daripada menerima mana-mana lelaki menjadi temannya pada malam ini.

Kosserlah nak melayan!

​"Saya date dia. Sorry lambat," sampuk Aqash tiba-tiba. Adlina kaget lalu memusingkan badannya.

Sekali lagi, Cikgu Milah dan Cikgu Aishah terpegun melihat penampilan pelajarnya. Aqash yang memakai baju melayu berwarna merah jambu bersampin kain songket berwarna hitam kelihatan sungguh comel memandangkan dia tidak mempunyai raut wajah yang agak kacak. Gayanya terserlah lagi dengan pemakaian songkok.

​Hati Adlina berdebar seketika. Bukan disebabkan pengakuan Aqash untuk menjadi temannya pada malam ini tetapi tertarik pada penampilan lelaki itu yang cukup menarik pada pandangan matanya. Sejujurnya, hatinya mula merasa sesuatu. Aqash yang sedang tersenyum ditatap lama.

Me vs YouWhere stories live. Discover now