Afiq termenung panjang ketika berdiri di balkoni biliknya. Suasana petang yang sejuk, tenang dan damai itu tidak dapat mengembirakan hatinya. Sungguh. Kusut fikiran jadinya. Dia sendiri tidak minta semua ini berlaku. Dia tidak mahu terlibat dengan cinta tiga segi. Apatah lagi dirinya seperti orang ketiga dalam perhubungan adiknya dan Adlina.
Walaupun Adlina sendiri belum memberi kata putus, tipulah jika dia mengatakan dia tidak dapat melihat keadaan Adlina yang seolah-olah mula menunjukkan minat terhadap Aqash, bukan dirinya.
Perlahan-lahan dia menanggalkan kaca matanya lalu memasukkan di dalam poket seluarnya. Satu keluhan berat terluah dari bibir merahnya. Baru kini dia sedar. Dia sepatutnya mendengar kata Datuk Amrizi untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perniagaan, bukan pendidikan.
Jika itu terjadi, dia tidak akan berjumpa dan mengenali siapa Adlina Haziqah.
Jika itu terjadi, dia takkan menjadi penghalang antara Aqash dan Adlina.
Dan jika itu terjadi, hatinya juga tidak akan jatuh cinta kepada gadis manis itu.
Dalam diam, Datin Arisah mengintai anak lelakinya melalui pintu biliknya. Raut wajah Afiq seperti orang yang bermasalah membuatkan hati ibunya resah. Afiq terlalu berahsia dengannya. Sudah berbuih mulutnya mengajukan soalan tetapi Afiq tetap membatukan dirinya. Masih teguh dengan prinsipnya untuk mendiamkan diri.
Sudah hampir seminggu Afiq seolah-olah tenggelam dengan dunia ciptaannya sendiri. Jarang sekali dia mendengar Afiq bersuara sekarang, apatah lagi bergurau senda dengannya. Afiq pergi ke sekolah pada waktu pagi dan selepas dia pulang, dia akan mengurungkan dirinya di dalam bilik sehinggalah waktu makan malam. Itupun selepas puas dipaksa olehnya untuk turun makan.
Kelibat Afiq pun sudah tiada menemaninya pada waktu petang seperti sebelum ini. Duduk bersantai di halaman rumah sambil berbual dengannya. Afiq sudah berubah.
"Takpelah mummy. Yeah, it's true that I'm not okay right now but don't worry. I can handle this," kata-kata Afiq terngiang-ngiang di cuping telinganya.
Dia menyedari sikap Afiq mula berubah selepas peristiwa Adlina datang ke rumahnya. Sikap ceria Afiq yang menerima kunjungan gadis itu mula berubah selepas dia meminta Aqash menghantar Adlina pulang. Walhal, Afiq turut ingin berbuat sedemikian.
Serta-merta, wajahnya berubah merah. Aqash, Adlina, Afiq, suaranya memanggil nama-nama itu perlahan. Mungkinkah Afiq menyimpan perasaan terhadap Adlina? Oleh sebab itu, sekarang Afiq berkecil hati kerana dia lebih memilih Aqash?
Datin Arisah mula serba salah. Dia memegang erat jari jemarinya. Peluh dingin mula membasah bajunya.
Aqash pernah meluahkan perasaannya terhadap Adlina kepada Datin Arisah. Aqash juga meminta Datin Arisah membantunya untuk mendapatkan anak sepupunya itu. Pada ketika itu, Datin Arisah gembira mendengarnya kerana akhirnya, salah seorang anaknya menunjukkan minat kepada Adlina. Justeru baginya, itu merupakan satu berita yang baik kerana rancangannya dan Puan Narimah seolah-olah hampir berjaya.
Namun, ternyata ada pihak yang berkecil hati dan merajuk. Dia tahu Afiq terluka meskipun masih tiada pengakuan yang terluah daripada anak sulungnya. Memikirkan anak-anaknya yang jatuh cinta pada gadis yang sama membuatkan hatinya rungsing. Dia tidak mahu Afiq dan Aqash bergaduh gara-gara Adlina. Siapa yang sepatutnya memiliki hati Adlina? Afiq atau Aqash?
Ini tak sepatutnya terjadi. Ni salah, semua salah, bisik hatinya sebak.
Afiq yang memusingkan badannya terkejut melihat mummynya yang sedang berdiri kaku melihatnya. Dahinya mula membentuk garis-garis halus. Dia segera menuju ke arah Datin Arisah. Datin Arisah ditatapnya lembut. "Mummy," panggilnya.
YOU ARE READING
Me vs You
RomanceBarangkali ini kisah cinta yang biasa atau boleh jadi paling luar biasa yang pernah anda baca. Siapa tahu penghujungnya macam mana? Adlina Haziqah vs Aqash Hizami Lee. Bayangkan si hati batu berjumpa dengan playboy terkenal dan bersama-sama dalam sa...