38 // Noktah

1.5K 66 9
                                    

Aqash menghela nafas berat saat matanya masih kaku memandang ke arah Adlina. Lembut tangannya menarik songkok dari kepala sebelum dia meletakkan di atas meja di hadapannya. Lama matanya terancap pada figura yang sedang duduk termenung di hadapan kubur arwah Encik Saifullah dan Puan Narimah, cuba menahan tangisannya dalam pelukan mummynya.

Rata-rata yang menghadiri majlis pengebumian kedua-dua orang tua Adlina juga sudah beransur pulang. Tidak menang tangan Datuk Amrizi dan Afiq melayan para hadirin. Siapa lagi yang Adlina boleh harapkan selain daripada mereka? Baik Encik Saifullah dan Puan Narimah, masing-masing sudah kehilangan orang tua mereka. Saudara-mara yang datang berkunjung pun tidak betah untuk duduk lama, menemani Adlina. Datuk Amrizi yang melihat situasi tersebut hanya mampu mengelengkan kepala, mengenang nasib anak gadis arwah sepupunya itu.

Yang tinggal sekarang dalam kawasan perkuburan terbabit cumalah Adlina, Mak Yam dan seisi keluarga Aqash. Bagaikan bersimpati dengan nasib Adlina, cuaca pada hari itu juga tidak berapa baik sejak dari pagi. Cuaca mendung, langit langsung tidak menunjukkan tanda untuk bertukar warna. Awan juga bagaikan menunggu masa yang sesuai untuk menurunkan air hujan.

"Lin, nak hujan dah ni. Kita balik ya, nak," pujuk Mak Yam lembut. Datin Arisah mengangguk, mengiyakan kata-kata wanita itu.

Namun Adlina memilih untuk mendiamkan diri. Tangannya dibiarkan ralit bermain dengan tanah di hadapannya.

"Lin...," panggil Datin Arisah pula.

Hening.

Datin Arisah dan Mak Yam berpandangan sesama sendiri, seolah-olah mati kutu untuk memujuk Adlina. Adlina harus dibawa pulang secepat mungkin sebelum air hujan menitis. Bunyi guruh pula semakin rancak bergema menghiasi kawasan yang sunyi itu, menambah gelisah dalam hati kedua-kedua wanita tersebut.

Datuk Amrizi menghampiri mereka yang masih setia berteleku di atas tikar di hadapan liang lahad arwah sepupu dan suaminya. Pandangannya terus tumpah ke arah Adlina yang tampak pucat dan diam itu. Dia bertukar pandangan dengan isterinya pula yang kelihatan sugul, sama seperti Adlina. Diperhatikan air muka Datin Arisah yang seolah-olah mahu meminta bantuannya untuk memujuk Adlina. Dia sendiri sedar cuaca akan bertambah buruk pada bila-bila masa sahaja.

"Lin...," panggil Datuk Amrizi.

Senyap.

Datin Arisah sedikit tersentak tatkala bunyi guruh datang menyapa tiba-tiba. Mak Yam juga bingkas bangun dan mengemas apa yang patut sebelum pulang. Bimbang jika terkena hujan.

Baru sahaja Datuk Amrizi ingin membuka mulut semula, Afiq datang menghampiri lalu menyentuh lembut bahu kanannya.

"It's okay, pa. I can handle this. Think you should go home now with mummy and Mak Yam first. Just leave her to me and Qash. We will bring her home. Okay?" bisik Afiq lembut. Datuk Amrizi memandang ke arah Adlina yang masih kaku sebelum satu keluhan panjang terluah dari bibinya. Pandangannya dialihkan ke arah anak sulungnya yang tersenyum kecil di hadapannya.

"You sure?"

Afiq masih tersenyum. "Just go okay,"

Datuk Amrizi sekadar mengangguk sebelum dia berjalan menghampiri isterinya. Dia membisikkan rancangan Afiq pada telinga isterinya. Datin Arisah memandang tepat ke arah muka Afiq selepas mendengarnya. Muka bimbangnya masih jelas kelihatan. Baru sahaja dia ingin bersuara, terus Datuk Amrizi memintas dan menariknya pergi. Mak Yam sekadar mengikut langkah mereka.

Aqash berjalan menghampiri Afiq dan Adlina yang masih kaku di tempat masing-masing. Dia tahu ini bukan masa yang sesuai baginya untuk menunjukkan muka di hadapan Adlina tetapi dia harap Adlina dapat memahaminya.

Me vs YouTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang