Adlina menatap kosong ke arah kitab kecil surah Yaasin yang dipegangnya. Sejak dari tadi, dia hanya duduk diam, membatukan diri di sudut ruang tamu rumahnya.
Kitab itu tidak dibuka. Surah Yaasin tidak dibaca. Satu patah perkataan tidak pernah terluah dari bibirnya dari tadi.
Dia cuma... Diam. Memilih untuk menjadi 'bisu'.
Jiran tetangga, saudara mara yang datang memberi penghormatan terakhir, menolongnya menguruskan mayat arwah mama dan abahnya hanya mampu bersimpati dengan nasib gadis manis itu dan menyuruhnya bersabar dengan semua benda yang berlaku ini. Mimik wajah muka para tetamu setiap kali memeluk badan Adlina kelihatan lebih sugul daripadanya. Dan setiap kali Adlina mendengar butir-butir perkataan yang sama, dia hanya tersenyum kecil sambil mengangguk. Masih memilih untuk tidak berbicara dengan orang lain.
Mak Yam datang menghampiri Adlina sambil memegang gelas berisi air kosong. Tanpa banyak soal, dia terus duduk bersimpuh di sebelah Adlina. Lama dia merenung wajah pucat Adlina dengan mata sembabnya sebelum satu keluhan kecil terkeluar dari bibirnya.
"Lin...,"
Jeda.
"Lin, minum sikit air ni eh. Dari semalam Lin tak jamah apa-apa. Air tak minum. Takkan nak biar perut tu kosong je. Kalau tak nak makan, minumlah air ni," bicara Mak Yam perlahan, tidak mahu menganggu perhatian para tetamu yang sedang khusyuk membaca surah Yaasin.
Adlina sekadar menggelengkan kepalanya. Berharap Mak Yam berhenti memujuknya makan. Sejak semalam lagi Mak Yam tidak berhenti memujuknya untuk makan. Dia tahu wanita yang hampir sebaya dengan arwah mamanya khuatir tentang dirinya. Tapi... Biarlah. Dia tahu menjaga dirinya sendiri. Lagipun selepas ni, bukankah semua benda dia harus melaluinya bersendirian?
Untuk kali kedua, selepas kematian Akmal, dia harus menjadi manusia tidak berperasaan sekali lagi.
"Lin, Mak Yam risau....," belum sempat Mak Yam menghabiskan ayatnya, Adlina terus mengambil gelas itu. Sangkanya Adlina sudah terbuka hatinya untuk minum air itu walaupun sedikit tetapi meleset sama sekali. Gelas itu diletakkan di sebelah Adlina dan Adlina memilih untuk memeluk Mak Yam sambil melentokkan kepalanya pada bahu wanita itu. Tangan Mak Yam yang sudah berkedut seribu itu dielusnya lembut.
"Mak Yam, bagi Lin duduk macam ni 5 minit je boleh tak? Lin rindu nak peluk mama. Mak Yam tunggu kejap je tau," soalnya perlahan ketika mendonggak, melihat wajah Mak Yam. Mak Yam menggigit bibirnya perlahan sebelum soalan Adlina dijawab dengan anggukan kepalanya. Terus tubuh Adlina yang kurus itu dipeluk kuat sekuat hati. Air mata yang ditahan sejak dari tadi terus mengalir laju, jatuh mengenai tudung hitam yang dipakai oleh Adlina.
Entah apalah nasib anak yatim piatu ini selepas ini, getus hatinya hiba.
Adlina memejamkan matanya rapat-rapat sambil tangannya memegang kuat kain baju kurungnya. Cuba untuk berlagak tenang, menahan air mata yang hampir keluar. Dia tidak mahu sesiapa melihat dia menangis pada hari ini. Itu janjinya.
Datin Arisah yang baru sahaja tiba terus meluru masuk ke dalam rumah Adlina. Laju matanya mengecam wajah sugul Adlina dalam pelukan Mak Yam. Terus langkahnya diatur perlahan, melewati barisan tetamu wanita yang sedang khusyuk membaca Yaasin sebelum dia duduk bersimpuh di hadapan Adlina dan Mak Yam.
"Datin...," tegur Mak Yam sebelum Datin Arisah membuat isyarat senyap. Sangkanya Adlina terlena dalam pelukan Mak Yam. Justeru itu, dia tidak mahu menganggunya.
Sejak dari semalam, Adlina tidak pulang dan merehatkan dirinya. Semalaman dia menunggu di hospital, menguruskan jenazah kedua-dua orang tuanya. Ketika Datin Arisah melawatnya dan meminta Aqash supaya menunggunya, dengan pantas Adlina menolak. Katanya dia mampu untuk menguruskan semuanya sendiri dan dia perlukan waktu untuk berseorangan. Sempat lagi Datin Arisah menangkap wajah hampa Aqash namun dibiarkan sahaja. Fikirnya, Aqash hanya kecewa gara-gara Adlina tidak menginginkan dirinya di situ.

ANDA SEDANG MEMBACA
Me vs You
RomansaBarangkali ini kisah cinta yang biasa atau boleh jadi paling luar biasa yang pernah anda baca. Siapa tahu penghujungnya macam mana? Adlina Haziqah vs Aqash Hizami Lee. Bayangkan si hati batu berjumpa dengan playboy terkenal dan bersama-sama dalam sa...