Encik Saifullah tersenyum tatkala melihat tingkah laku anak perempuannya yang sedang merenung banglo di sebelah rumahnya sambil menongkat dagu. Selepas pemiliknya menghadapi kematian anak lelakinya, pemiliknya mengambil keputusan untuk berpindah ke kampung. Katanya, terlalu banyak kenangan di sini dan mereka memerlukan masa untuk bangun kembali. Perlahan-lahan dia menghampiri anaknya dan memeluk bahu Adlina.
Adlina tersenyum apabila melihat Encik Saifullah. Dia mula melentokkan kepalanya pada bahu abahnya dengan manja. Encik Saifullah mula membelai rambut panjang anak tunggalnya itu. Dia merenung wajah Adlina dengan penuh sayu. Dia tahu bagaimana perasaan Adlina sekarang walaupun anaknya tersenyum ceria dihadapannya."Ni kenapa monyok je ni? Bendera merah ke apa?" usik Encik Saifullah kepada anaknya. Adlina tergelak manis. Laju sahaja tangannya mencubit lembut perut Encik Saifullah. Lelaki tua itu mengaduh kesakitan. Berpura-pura dalam kesakitan yang teramat. Adlina mula rasa bersalah.
"Abah, are you okay? I'm so sorry," katanya dengan wajah terpinga-pinga. Dia berniat untuk bergurau sahaja. Tidak sangka pula Encik Saifullah akan menjadi sebegini.
Perasaan risaunya mati apabila terdengar abahnya ketawa berdekah-dekah. Ternyata, Encik Saifullah menipunya. Adlina merasa tertipu dan geram pada masa yang sama. Dia menghentakkan kakinya.
"Abah ni jahatlah! Saja je nak kenakan orang," rungutnya. Encik Saifullah berhenti ketawa lalu memeluk kembali bahu anaknya yang terlepas sebentar tadi.
"Bila lagi nak mengusik anak abah yang sorang ni. Asyik dia je usik abah, abah pun nak usik dia juga," katanya sambil tersengih. Adlina menarik panjang mucung mulutnya. Encik Saifullah mencuit lembut pipi anaknya pula. Adlina tersenyum manja lalu memeluk pinggang abahnya.
"Rindu arwah ke?" soal Encik Saifullah berhati-hati. Dia dapat merasakan ada sebak yang mula bertandang di hati anaknya. Adlina mengangguk dan melepaskan keluhan kecil.
Dia masih teringat situasi teruk anaknya sewaktu menghadapi berita kematian Akmal kerana pada ketika itu, dia setia berada di sisinya. Seperti layar filem, peristiwa itu kembali bermain di benak fikirannya.
*****
"Lin...," panggil Encik Saifullah lembut. Adlina yang pada ketika itu sedang khusyuk menaip sesuatu di komputer ribanya tersenyum selepas melihat wajah tenang abahnya muncul dihadapan pintu biliknya. Encik Saifullah menghampiri anak gadisnya itu. Lantas, dia duduk di sebelah Adlina. Adlina memerhati sahaja kelakuan pelik Encik Saifullah.
"Kenapa abah?" tanya Adlina. Encik Saifullah menarik nafas berat. Hati Adlina mula berdebar-debar. Dia dapat merasakan berita yang bakal disampaikan oleh abahnya pastinya berita buruk. Jika tidak, masakan Encik Saifullah sanggup naik ke biliknya. Kalau Encik Saifullah mahu, dia boleh sahaja menyuruh Mak Yam, pembantu rumah mereka memanggilnya turun ke bawah.
"Lin...," suara Encik Saifullah mula kedengaran sebak. Hanya keluarga terdekat sahaja yang boleh memanggil Adlina dengan nama Lin. Adlina sebenarnya lebih selesa jika orang ramai memanggilnya Adi meskipun Puan Narimah marah. Katanya, nama tu persis nama lelaki.
Adlina mula gugup. "Abah, abah janganlah macam ni. Kenapa? Ada benda buruk ke?" soalnya risau. Encik Saifullah mengangguk. Adlina cuba menenangkan dirinya.
"Tok wan okay ke? Nenek?"
Encik Saifullah menggelengkan kepalanya. Dia memegang erat tangan anaknya.
"Ini bukan pasal tok wan, nenek. Malah, takde kaitan dengan keluarga kita pun. Tapi...," suara Encik Saifullah terputus-putus ketika memberitahu Adlina. Adlina cuba menyabarkan dirinya.

ANDA SEDANG MEMBACA
Me vs You
RomanceBarangkali ini kisah cinta yang biasa atau boleh jadi paling luar biasa yang pernah anda baca. Siapa tahu penghujungnya macam mana? Adlina Haziqah vs Aqash Hizami Lee. Bayangkan si hati batu berjumpa dengan playboy terkenal dan bersama-sama dalam sa...