Riak wajah para pelajar 6 Anggun mula merah pedam menahan geram yang bersarang di dalam hati. Semua mata tertumpu ke arah Hazim yang sedang berdiri di hadapan kelas dengan wajah yang bersahaja.
Ikutkan hati, mahu sahaja lelaki yang memakai kaca mata dan gaya seperti budak skema itu dihentam dan dibelasah.
Baru dia tahu langit tu tinggi ke rendah!
"Apa masalah kau? Cakap jelah!" jerit Nizam geram. Hazim tetap membatukan dirinya dan tersenyum mengejek.
"Kau jangan sampai aku tumbuk kau pulak!" celah Danial pula. Jelaslah, bukan kawan-kawan seperjuangannya sahaja yang tidak berpuas hati dengan sikap Hazim tetapi dia juga.
Apa yang sedang dibincangkan ketika ini ialah tema untuk majlis graduasi yang akan berlangsung selepas tamatnya peperiksaan STPM. Cikgu Milah selaku pengerusi yang akan mengendalikan majlis itu telah memanggil semua ketua tingkatan bagi tingkatan enam atas. Justeru itu, secara tidak langsung ketua tingkatan bagi setiap kelas merupakan orang pertama yang mengetahui tentang tema pada tahun ini.
Tetapi, Hazim yang memegang jawatan sebagai ketua tingkatan 6 Anggun itu bersikap tarik tali. Selepas pertemuannya dengan Cikgu Milah sebentar tadi, soalan-soalan yang diasak oleh kawan-kawannya tidak dipedulikan.
Korang cakap aku nerd kan? Padan muka! Siapa suruh buli aku lagi. Ha, terimalah akibatnya, hatinya berbicara dengan nada mengejek.
"Tak nak," jawabnya ringkas. Senyuman sinis turut diukirkan untuk menambah lagi kemarahan sedia ada.
Sementara itu, Adlina dan Nazihah tidak mempedulikan suasana tegang yang berlangsung di dalam kelasnya. Sebaliknya, mereka begitu rancak berbual sehingga ketawa terbahak-bahak. Ada kalanya, Adlina yang tidak tahan apabila mendengar cerita kelakar Nazihah menepuk kuat mejanya. Sesetengah mata pelajar kelas itu mula beralih arah.
"Adi...," panggil Adam. Adlina yang sedang ketawa menoleh sekilas ke arah Adam yang tampak bengang. Keningnya dijungkitkan. Adam mula membuat lirikan mata ke arah Hazim. Adlina sekadar menjungkit bahu dan meneruskan perbualan bersama Nazihah.
Adam mendengus kasar. Dia bingkas bangun dan menuju ke arah tempat duduk Adlina. Dia mencangkung di sebelah kerusi Adlina. Mukanya dimasamkan.
"Apa?" soal Adlina kasar. Nazihah memandang hairan ke arah Adam. Hatinya mula berdetik. Takkanlah sebab tak tahu apa tema graduasi tahun ni sampai jadi macam ni, getusnya.
"Tolonglah. Ikutkan hati nak je aku tumbuk si Ajim tu. Tapi tak sampai hati pulak. Please beb," rayu Adam perlahan. Adlina membeliakkan matanya manakala Nazihah menekup mulutnya menahan gelak.
"Pergi jelah tumbuk. Takkan tak berani kot," ejek Adlina. Adam tersengih malu.
"Anak orang wei. Kang balik, tak jumpa nasi karang,"
Adlina menjelirkan lidahnya. Dia mengerling ke arah Nazihah. "Nak tolong ke?"
"Tolong jelah. Bising betul dorang ni," gesa Nazihah. Adlina tersenyum lalu mengangguk.
Adam menarik nafas lega. Selepas mengucap terima kasih, dia kembali semula ke tempat duduknya. Dia mendekatkan dirinya pada Danial dan membisikkan sesuatu pada telinga lelaki itu. Danial yang pada mulanya mengerutkan dahinya mula tersenyum.
Habislah kau Ajim, getusnya perlahan sambil menggelengkan kepalanya.
Adlina berdehem kecil sebelum bangun menuju ke arah Hazim yang tampak selamba. Dia berdiri di sebelah lelaki itu dan memandang setiap wajah-wajah di hadapannya itu. Matanya terhenti seketika ke arah Aqash yang nampak tenang. Aqash tersenyum lalu mengenyitkan matanya. Adlina mencebik lalu menoleh semula ke arah Hazim.

ANDA SEDANG MEMBACA
Me vs You
RomanceBarangkali ini kisah cinta yang biasa atau boleh jadi paling luar biasa yang pernah anda baca. Siapa tahu penghujungnya macam mana? Adlina Haziqah vs Aqash Hizami Lee. Bayangkan si hati batu berjumpa dengan playboy terkenal dan bersama-sama dalam sa...