23 // Terakhir

1.8K 61 7
                                    

Suasana sepi menyelubungi dewan sekolah Gillian High School. Semua pelajar tingkatan enam yang sedang menjawab kertas terakhir peperiksaan STPM mempamerkan riak wajah yang berbeza-beza. Ada yang menjawab dengan penuh yakin. Ada juga yang mengeluh dan mengusap lembut kepala masing-masing. Ada juga yang tertidur. Mungkin berputus asa kerana gagal menjawab soalan yang diberikan.

​Adlina tersenyum lega sambil membaca kertas jawapannya buat kali terakhir. Dia mengerling ke arah jam dinding besar yang terletak di hadapan. Masa 3 jam yang diberikan hampir sampai ke penghujungnya. Pada perkiraanya, tinggal hampir 35 minit lagi sebelum peperiksaan itu tamat.

​Adlina mengangkat tangannya. Seorang pengawas peperiksaan yang sedang berjalan pantas menghampirinya.

​"Dah siap. Saya nak keluar," ujarnya sambil tersenyum.

​"Tak menyesal ke keluar awal?" usik lelaki itu. Adlina menggelengkan kepalanya. Bukan sekarang waktunya untuk menyesal. Adlina sudah bersedia untuk menghadapi peperiksaan ini sejak tahun lepas lagi kerana peperiksaan inilah yang akan menentukan hala tuju dan masa depannya selepas ini.

​Pengawas peperiksaan itu sekadar mengangguk. Perlahan-lahan, kerusinya ditarik agar bunyinya tidak kedengaran dan menganggu perhatian pelajar lain. Selepas mengucapkan terima kasih, Adlina berjalan keluar dari dewan. Dia sedar ada mata-mata yang memandangnya namun dia tidak menghiraukannya.

​Dia mengambil beg galas yang dibawanya dan menuju ke arah kantin sekolah yang kosong itu. Peperiksaan STPM berlangsung ketika pelajar-pelajar lain sedang bercuti. Jadi, tidak perlulah dia bersesak-sesak di kantin itu.

​Telefon bimbitnya dikeluarkan dari begnya. Tangannya lincah menyentuh telefon bimbitnya yang sememangnya 'touch screen'. Tersenyum dia seketika selepas terlihat nama 'mama'. Dengan pantas, tangannya menekan punat hijau. Beberapa saat kemudian, suara Puan Narimah mula kedengaran.

​"Assalammualaikum," ceria suara Adlina memberi salam.

​"Waalaikummusalam. Macam mana exam? Dah habis?" soal Puan Narimah tidak sabar.

​"Dah. Alhamdulillah ma, semua okay. Lega dah rasa ni,"

​"Baguslah tu. Bila nak balik ni?"

​"Kejap-kejap lagilah. Lin tengah tunggu kawan-kawan Lin yang lain ni,"

​"Yelah. Jangan balik lambat sangat," Puan Narimah memberi ingatan. Lega juga hatinya mendengar Adlina dapat menjawab peperiksaan sebaik mungkin.

​"Baik Puan Narimah. Lin letak dulu eh. Bye," katanya lalu mematikan panggilan. Sambil menunggu Nazihah, Adam dan Danial keluar dari dewan peperiksaan, dia bermain games di dalam telefon bimbitnya untuk menghilangkan bosan.

​20 minit kemudian, suara riuh rendah mula kedengaran. Adlina menoleh sekilas ke arah kanannya. Dilihat kesemua pelajar tingkatan enam sudah mula menuju ke arah kantin. Pastinya, perasaan keriangan dan kelegaan terpancar setiap di wajah masing-masing kerana peperiksaan STPM sudah berakhir. Walau bagaimanapun, ada juga di antara mereka berwajah muram. Barangkali kecewa kerana tidak dapat menjawab dengan bagus.

​Nazihah berlari-lari anak mendapatkannya lalu duduk di sebelahnya. "Awalnya keluar. Confirm dapat A+," ujar Nazihah selamba. Adlina ketawa kecil. Kepala kawannya ditolak lembut. Terjerit Nazihah dibuatnya.

​"Ingat bapak aku tak bayar zakat ke," marahnya. Adlina menjelirkan lidahnya.

​"Mana Adam? Danny?" tanya Adlina. Matanya melilau ke sekelilingnya mencari kelibat Adam dan Danial.

​"Tu tengah beli air," jawab Nazihah sambil memuncungkan bibirnya ke satu sudut kantin di mana Adam dan Danial sedang beratur untuk membeli air mineral. Tidak lama selepas itu, Adam dan Danial sudah berdiri di hadapan mereka.

Me vs YouTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang