RAW VERSION FULL WITH FLAWS
"Aku tak minta banyak. Aku cuma nak hidup dengan tenang, tolonglah!" - Ella
Dia, Ella. Hidupnya mungkin serba tidak indah tapi harapan membuatkan dia hidup hari demi hari.
Satu persatu kisah tersingkap. Satu persatu juga...
Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Aku tersentak dari tidur. Dada berdegup kencang. Ada peluh merenik di dahi. Mungkin terlalu penat, aku bermimpi tentang kenangan lama yang ingin aku lupakan.
Peristiwa malam tadi mungkin juga menjadi penyebab semua ketakutan ini tercetus.
Malam tadi aku dan Mak Uda berbincang mengenai urusan perkahwinan. Mak Uda nak kecilkan skop pilihan sebelum ajak Iskandar bincang bersama. Kerana malam sudah larut, Mak Uda suruh aku bermalam saja di situ.
Tapi waktu jam menginjak pukul 12.00 malam, pemandu upahan Mak Uda yang bernama Akram datang, tiba-tiba sahaja memulas-mulas tombol pintu bilik yang berkunci. Dalam keadaan takut, aku buka pintu. Akram pun nampak terkejut aku ada dalam bilik tamu tu.
Dia kata, kadangkala dia akan tidur di situ jika Mak Uda nak ke pasar awal pagi esoknya. Memang dia tak beritahu Mak Uda kerana sudah ada kunci pendua. Muka dia jelas kepenatan dan agak tidak senang aku ada di situ. Dia suruh aku tidur di atas, ada satu bilik kosong katanya.
Aku cuba panggil Mak Uda di tingkat atas tapi tidak berjawab. Semua pintu bilik aku ketuk tapi tiada respon. Mana satu bilik Mak Uda pun aku tak tahu kerana tak pernah naik ke atas ni.
Waktu aku turun ke bawah, Akram sudah terbaring tidur di katil. Kerana itulah aku terpaksa ambil khidmat Grab dan balik ke rumah. Perjalanan terasa panjang dengan aku ketakutan di tempat duduk belakang, dalam malam pekat hanya berdua dengan pemandu Grab yang membisu.
"Ah!" Aku tarik tangan ke dada, tersentak apabila Noah mengetuk perlahan tanganku dengan hujung sudu. Dia nampak terkejut reaksi aku yang berlebihan.
"Kau... tak sihat ke? Dari tadi kau makan macam tak nak makan je," tanya dia teragak-agak.
"Penat sikit," dalihku, meneruskan suapan yang tergendala.
"Ella," panggilnya.
Aku angkat muka menatap Noah yang sudah selesai makan entah bila. Jauh sangat lamunan aku tadi.
"Aku harap kau boleh lupakan soal aku pernah ajak kau pergi dulu. Tentang soalan mami untuk... jadi isteri aku," ucap Noah dengan nada merendah.
"Bila aku fikir balik, mungkin kerana bertahun-tahun aku simpan rasa bersalah bila abaikan kau dan butakan mata bila mami atau Nailah layan kau dengan buruk. Buatkan aku rasa nak tebus semua tu sampai terfikir nak bawa kau pergi dari sini. Terima kasih, kata-kata kau banyak sedarkan aku. Aku sedar yang semua tu cuma rasa bersalah. Dan aku minta maaf, sekali lagi. Juga maaf, tinggalkan kesan parut pada muka kau." Dia renung kesan jahitan di hujung kening aku.
"Noah." Hati aku mula berat mendengar permohonan maaf itu buat kesekian kalinya dalam keadaan aku yang masih trauma macam ni.
"Aku janji, ni kali terakhir. Aku takkan ungkit semua tu tapi kalau satu hari nanti kau ubah fikiran dan nak ambil tindakan ke atas aku, aku takkan membantah. Aku cuma nak beritahu yang kau ada hak untuk hukum aku," sambung Noah, menghentikan ayatnya dalam satu kenyataan yang membuatkan aku rasa kedudukan aku ada pengiktirafan.