RAW VERSION FULL WITH FLAWS
"Aku tak minta banyak. Aku cuma nak hidup dengan tenang, tolonglah!" - Ella
Dia, Ella. Hidupnya mungkin serba tidak indah tapi harapan membuatkan dia hidup hari demi hari.
Satu persatu kisah tersingkap. Satu persatu juga...
Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Cuti.
Tak peduli Iskandar luluskan atau tak, aku matikan handphone dan menaiki bas bertemu nenek. Penjaga beritahu kesihatan nenek agak merosot walaupun nenek nampak gembira sejak kebelakangan ni.
"Kau kan, nak tunggu nenek sakit, nak tunggu nenek ternganga, termenung baru nak datang. Kau tu sajalah cucu nenek. Jangan nak jadi cucu Tanggang pulak!"
Aku naik ke atas katil, peluk nenek yang sedang bersila dengan erat, buat tak dengar kata-kata nenek. Nenek cakaplah apapun, aku cuma nak peluk nenek. Di bahu nenek aku melepaskan rasa hiba di hati.
"Tak ada benda lain, menangis sajalah kau. Nenek bukannya mati lagi. Ha, menangislah puas-puas. Menangis sampai terkeluar jantung kau tu," bebel nenek sambil menepuk belakang tubuh ku.
"Kenapa menangis macam mati mak bapak ni?"
Aku diam dan terus menangis. Apapun, aku takkan bebankan nenek dengan masalah aku.
"Taknak cakap, tak apa. Tapi kau jangan lupa, semua isi hati kau, Dia tahu. Dia sebaik-baik sandaran hati."
Walaupun suara nenek kasar tapi pesanannya meresap ke hati. Terasa bagai dipujuk, hilang semua beban di hati.
"Nek, jomlah duduk dengan Ella," pintaku apabila tangisan mereda.
Nenek menyeka sisa air mata di pipi aku.
"Susah ya nenek duduk sini?"
Aku mengangguk. Sudahlah jauh, kena bayar setiap bulan pula tu.
Nenek tolak bahuku agar membelakanginya. Tudung aku ditanggalkan bersama sanggulan rambut. Seperti biasa, nenek akan mendandan rambutku menjadi tocang yang senget benget. Dulu, cantik saja dandanan nenek tapi mungkin ini juga petanda nenek semakin tua.
"Kalau nenek duduk dengan Ella, duit bayaran bulanan tu boleh Ella simpan. Nanti kita pergi umrah sama-sama," ujarku sambil menahan sakit apabila nenek menarik-narik rambutku.
Neneklah orang yang bertanggungjawab menanamkan dalam diri aku agar sentiasa menyimpan hasrat untuk menziarahi Tanah Suci biarpun ianya nampak terlalu mustahil kerana takdir Tuhan itu sentiasa ada keajaibannya.
"Kau tu, kalau dah ada niat nak pergi ke Mekah Madinah, walaupun tak ada sesen pun, tunjuklah usaha kau. Tuhan akan 'bayar' usaha kau."
"Masalahnya bila menabung je, korek balik." Aku ketawa sambil mengelap hidung yang basah.
"Bukan usaha duit. Usaha baiki hidup kau." Nenek usap belakangku sebelum meneruskan dandanan.
"Hmm... Ella berhenti belajar, nek." Aku ketap bibir. Sedih.
"Baiki sembahyang kau, nanti Tuhan baiki hidup kau."
Aku pandang ke luar tingkap yang cerah dengan mentari terik. Memang solat aku berterabur pun atas alasan penat bekerja padahal rezeki aku Tuhan yang bagi. Ada waktu aku sembahyang hujung waktu, lepas tu sambung terus waktu solat seterusnya.