SYED SYAHMI dilihat menaiki lif dan menuju ke aras 12. Hati Haura sungguh tidak tenang seolah-olah ada ribut taufan yang sedang melanda di dalam dadanya. Dia mula terasa pening serta mual kerana terlalu gemuruh. Dia menaiki lif yang berlainan dan menuju ke aras yang sama. Nombor yang tertera di dinding lif bertukar silih berganti menandakan lif tersebut bergerak tanpa gangguan.
Semakin hampir dengan aras yang dituju semakin laju detak jantungnya. Berbagai persoalan sedang berlegar di benak fikirannya namun dia cuba untuk kekal tenang. Relaks, tak ada apa yang akan berlaku.
Ding!
Bunyi loceng itu menandakan dia sudah sampai di aras yang dituju. Beberapa saat kemudian pintu lif pun terbuka, dengan penuh debar di dada Haura melangkah keluar sambil matanya melilau mencari kelibat Syahmi. Setapak demi setapak dia melangkah sehinggalah tiba di suatu sudut langkahnya mati. Jantungnya juga bagai gugur ke lantai.
Syahmi dilihat sedang memeluk mesra tubuh seorang wanita yang tidak dikenalinya lalu diusapnya lembut rambut wanita tersebut. Bahasa tubuh mereka berdua menunjukkan mereka sangat rapat dan mesra. Haura tergamam. Betul ke tu Syahmi yang aku kenal? Tunang aku?
Menyedari dirinya sedang berdiri ditengah-tengah alam, sepantas kilat dia menyorokkan diri disebalik dinding. Hatinya mulai terasa sebak dan matanya kian berkaca. Tangannya menggigil menahan rasa yang sedang berkecamuk di dalam hati.
Haura menarik nafas panjang dan menoleh sekali lagi untuk memastikan bahawa orang yang dilihatnya itu adalah Syed Syahmi. Ya! Memang benar itu dia. Jiwanya tersiksa melihat layanan mesra yang diberikan tunangnya terhadap wanita itu. Syahmi kemudian menghadiahkan wanita itu sejambak bunga persis yang dihadiahkan kepadanya tadi.
Dia mengetapkan bibir serta mengenggam kuat kedua belah tangannya. Dia sudah tidak tahan dengan pembohongan itu. Berbekalkan kekuatan yang ada tanpa berfikir panjang dia terus mengatur langkah menuju ke arah mereka berdua.
Betul ke apa yang aku buat ni? Kuatkah aku untuk bersemuka dengan mereka? Berkali-kali fikiran Haura di asak dengan pertanyaan itu. Dia sudah tidak dapat berfikir dengan waras lagi. Seluruh minda dan jiwanya terasa sangat kosong.
"Syed Syahmi," tegur Haura ringkas. Hampir terkeluar biji mata lelaki itu apa bila melihat Haura sedang berdiri di depannya. Tangan yang dirangkul dipinggang wanita itu segera dileraikan.
"Siapa ni sayang?" tanya Soraya.
"Sayang?" Dengan nada sinis Haura bertanyakan kepada Syahmi sambil matanya memandang tajam ke mata lelaki itu.
Dia yang masih terkejut dengan kehadiran Haura terkedu dan tidak mampu untuk menjawab pertanyaan yang diajukan padanya.
"Soraya you tunggu sini. Haura ikut saya sekejap." Tangan Haura ditarik kasar namun direntap semula olehnya.
"Sakitlah! Kalau ada apa-apa yang nak awak jelaskan pada saya just bagitahu je dekat sini," tegas Haura sambil memegang pergelangan tangannya yang digenggam Syahmi tadi.
"Awak buat apa dekat sini?" Bisik Syahmi kasar.
"Seriously Syahmi? Awak tak rasa ke saya yang patut tanya awak soalan ni. Siapa dia? Ini ke "Naim" yang awak maksudkan tadi." Haura melirik ke arah Soraya. Nafasnya mulai tercungap-cungap menahan perasaan marah yang mula menyelubungi diri.
"Relaks, bagi saya explain dulu."
"Awak nak explain apa lagi? Saya dah nampak semuanya dengan mata kepala saya sendiri. Macam ni ke cara awak balas cinta saya?" Suaranya mula terketar-ketar menahan sebak. Haura menggenggam kuat kedua-dua belah tangan sekuat hati dan mengetapkan bibirnya untuk menahan matanya mulai berkaca.
"Sepuluh tahun tau Syahmi! Bukan 10 hari atau 10 bulan. Saya sayang awak lebih dari diri saya sendiri. Selama ni saya pekakkan telinga bila kawan saya bercakap pasal awak sebab saya percaya dan yakin awak bukan orang yang sebegitu. Tapi sangkaan saya meleset. Ya Allah bodohnya aku!"
Gelora dihatinya yang semakin memuncak membuatkan Haura terhenti berbicara buat seketika. Syahmi yang mendengar luahan hati tunangnya itu diam tak berkutik.
"Ya saya akui saya ini bukan seorang wanita yang sempurna tapi saya tak pernah berhenti memperbaiki diri saya untuk jadi yang terbaik buat awak. Tapi ini ke balasan yang selayaknya saya terima? Pada saya awak adalah lelaki terbaik yang telah Allah hadirkan dalam hidup saya."
"You apa semua ni?" celah Soraya sambil tangannya merangkul lembut lengan Syahmi.
Dia yang dari tadi hanya jadi pemerhati mula mengajukan pertanyaan. Ekspresi wajahnya yang blur dan terpinga-pinga itu membuat Haura yakin bahawa wanita itu tidak mengetahui status sebenar Syahmi.
"Please sayang tolong bagi saya peluang untuk explain semuanya pada awak."
Tanpa menghiraukan pertanyaan Soraya, Syahmi cuba untuk mencapai tangan Haura namun ditepis wanita itu sekuat hati.
Sejurus mendengar panggilan sayang yang keluar dari mulut Syahmi, Soraya melepaskan pelukannya perlahan-lahan. Dia berundur beberapa tapak sambil pamerkan riak terkejut.
"Cukuplah Syahmi. Saya rasa saya dah tak perlukan apa-apa penjelasan lagi dari awak. Semuanya sudah jelas terbukti di depan mata. Apa guna kita meneruskan lagi perhubungan kita ini kalau awak sudah ada pengganti yang lebih baik dari saya. Saya redha dan saya yakin perancangan Allah itu adalah yang terbaik."
Syahmi merayu penuh penyesalan. Dia mula diselubungi rasa bersalah atas perbuatannya itu. Haura menarik nafas panjang lalu melepaskan cincin belah rotan yang tersarung dijari manisnya lalu dihulurkan kepada lelaki itu. Wajah Syahmi dan Soraya dipandang silih berganti.
"Terima kasih kerana sudi singgah dalam hidup saya dan pernah menyerikannya. Terlalu banyak memori manis kita bersama dan semuanya saya akan simpan erat sebagai kenangan." Ucap Haura kemudiannya berlalu pergi.
Namun langkahnya terhenti di sekerat jalan dan berpatah balik. Haura mencapai tangan Syahmi lalu memulangkan kembali telefon bimbitnya.
"And sorry this is mine, I will take it back." Haura membuka jam tangan pemberiannya di tangan Syahmi lalu mengambilnya semula. Syahmi dan Soraya terdiam kaku seolah-olah terpaku dengan tindakan Haura yang spontan itu.
Semakin lama langkahnya semakin laju dan dia mula berlari menuju ke arah pintu kecemasan. Dadanya semakin deras berombak. Matanya yang berkaca telah menyebabkan pandangannya sedikit terbatas.
Tanpa sengaja dia telah terlanggar seseorang yang kebetulan baru keluar dari lif. Dia hanya menunduk beberapa kali tanpa bersuara tanda maaf sebelum terus mempamitkan diri. Pintu laluan kecemasan ditutupnya rapat.
Perlahan-lahan tubuhnya yang kecil molek mulai jatuh terduduk dilantai. Matanya yang tadinya berkaca sudah mulai banjir. Airmata mengalir deras membasahi pipinya. Tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata betapa kecewa dan sakit hatinya ketika itu seperti ditusuk dan ditoreh dengan pisau yang tajam.
YOU ARE READING
Jika Dia Untukku [COMPLETED]
Romance[DALAM PROSES EDITING] Jannatul Haura telah mengambil keputusan menutup rapat pintu hatinya kepada mana-mana lelaki selepas cintanya dikhianati oleh tunangnya sendiri. Hancur luluh hatinya hanya tuhan saja yang tahu. . Kerana wasiat arwah datuknya...