BAB 101

499 3 0
                                    

Kringgg!

Deringan penggera yang kuat itu telah memeranjatkan Mikael yang sedang terbaring di atas katil. Dengan mata yang masih tertutup tangannya mula menggagau meja di sisi katilnya lalu mematikan deringan tersebut. Kelopak matanya sedikit terbuka. Sempat dia mencuri pandang telefon bimbitnya itu sebelum membalingnya ke atas tilam.

Waktu menunjukkan sudah masuk pukul 6.15 pagi. Bermakna beberapa jam sahaja lagi dia bakal menamatkan zaman bujangnya dengan wanita yang belum pernah dia temui.

Keluh berat dilepaskan sebelum matanya dipejam kembali. Tangan pantas mencapai bantal hotel yang empuk lalu ditekup ke muka. Sejujurnya dari semalam dia langsung tidak dapat melelapkan mata. Fikirannya terganggu. Hatinya juga tidak tentu arah. Hati dan mindanya tidak seiringan. Mempertikaikan kembali keputusan yang telah dibuat ketika emosinya tidak stabil. Alangkah bagus kalau dia tidak perlu melalui hari tersebut.

"Betul ke apa yang aku buat ni? Dah bersediakah aku?"

Berkali-kali soalan itu berlegar di mindanya. Sungguh berat untuk dia menerima kenyataan tersebut. Namun segalanya sudah terlambat. Nasi telah menjadi bubur. Lagipun dia sendiri sudah mengikat janji dengan ibunya mengenai perkara tersebut. Dia juga tidak mahu tindak tanduknya nanti akan merosakkan nama serta maruah keluarganya.

Knock! Knock!

Sedang asyik mengelamun sendirian tiba-tiba pintu biliknya diketuk seseorang. Suara Datin Norlie sayup kedengaran di sebalik pintu memanggil namanya. Sekali lagi keluh berat dihela. Dengan malas dia bangkit dari baringnya lalu membuka pintu.

"Belum bangun lagi ke? Dah pukul berapa ni nanti lewat pula." Tegurnya apabila melihat wajah anak terunanya yang masih separa sedar. Mikael tidak bersuara. Dia cuma mengusap matanya malas.

"Jangan nak buat muka macam tu. Hari ni hari penting kamu tau. Sekarang ni kamu pergi mandi dan solat subuh." Arah Datin Norlie.

"Baru pukul berapa, awal lagi." Balas Mikael. Datin Norlie mencelik luas matanya mendengar jawapan yang keluar dari mulut anaknya itu. Dengan spontan bahu Mikael dipukul. Geram.

"Awal kamu cakap? Kamu tu dah la mandi macam anak dara lepas tu nak bersiap lagi. Ingat cukup ke masa yang ada ni? Kita bersiap awal tak apa asalkan jangan biar pihak pengantin perempuan pula yang menunggu."

Bebel Datin Norlie panjang lebar. Mikael mencebik. Berat sungguh hatinya untuk meneruskan majlis tersebut.

"Alah bukan nak kena gerak jauh pun. Majlis buat dekat hotel ni juga." Butir bicara Mikael tidak begitu jelas di pendengaran ibunya. Seolah-olah dikunyah ayat-ayat tersebut.

Merasakan anaknya itu bagai memberi seribu satu alasan sekali lagi dia menyuruhnya bersiap dengan kadar segera.

"Kamu dah tengok isi sampul yang mama bagi pada kamu hari tu?" Soal Datin Norlie yang secara tiba-tiba teringatkan perkara itu.

Mikael sekadar menggeleng. Tiada keinginan untuk melihat wajah atau mengenali wanita yang bakal menjadi suri hidupnya itu. Dia sebenarnya bimbang jika akan berubah hati. Dia meletakkan sepenuh kepercayaan pada pilihan orang tuanya.

Secara rambang dia hanya tahu wanita itu adalah anak kepada salah seorang kenalan ibunya. Macam mana rupa dia atau apa namanya Mikael langsung tiada minat untuk tahu. Biarlah dia kenal dengannya pada hari perkahwinannya nanti. Hari ini.

*****

Sepasang baju melayu berwarna putih terletak elok ditubuh lelaki itu. Lengkap bersongkok dan bersampin. Boleh cair hati mana-mana wanita yang melihatnya. Segak sungguh!

Dato' Rizal yang baru tiba di situ tersenyum melihat anak lelakinya itu. Terpancar riak bahagia di wajahnya. Berbeza pula dengan bakal pengantin itu yang muncungnya panjang sedepa. Tiada secalit senyuman terhias diwajahnya meskipun sudah di andam ringkas oleh pak andam. Malah wajahnya kelihatan semakin pucat.

Jika Dia Untukku [COMPLETED]Where stories live. Discover now