Haura berlari dengan laju tanpa menoleh ke belakang. Sedaya-upaya untuk pergi jauh dari situ namun tiba-tiba kakinya terasa bagai ada arus elektrik yang menyambar. Dia jatuh terduduk dek terkejut. Setelah itu dia memegang buku lalinya yang sakit sambil mengetap bibir.
"Waktu ni jugalah kau nak sakit. Tadi elok je lari, bertumbuk." Omel Haura perlahan. Matanya mula melilau mencari tempat yang boleh dia duduk untuk berehat.
Kedai serbaneka 24 jam menjadi pilihan. Dengan penuh hati-hati Haura bangkit lalu bergerak masuk ke dalam kedai tersebut. Selesai membayar di kaunter dia duduk di salah satu kerusi yang terdapat di dalam kedai tersebut. Sebotol jus oren dan bandage diletakkan di atas meja sebelum dia memeriksa keadaan kakinya itu.
"Harap-harap tak bengkaklah kaki aku ni. Aku baru sampai kot. Ini semua gara-gara ..."
Haura tidak menghabiskan kata-katanya. Tangannya turut terhenti dari membelek kakinya yang tiada sebarang luka luaran. Wajah Mikael mula terbayang dimindanya. Kejadian yang terjadi sebentar tadi diimbas kembali.
Ding!
Bunyi loceng kedai serbaneka tersebut mematikan lamunannya.
"Haura tolong kawal diri kau. Sia-sia kau menghilang berbulan-bulan kalau benda kecil macam ni kau tak boleh nak kawal." Pipinya ditepuk dan dicubit perlahan. Dia kemudian membalut kakinya dengan bandage yang dibeli sebentar tadi.
Haura berdiri. Kakinya dihentak beberapa kali. Tidak cukup dengan itu dia berjalan pula beberapa langkah ulang-alik dari tempat duduknya.
"Cantik! Nasib baik tak ada apa-apa." Ujarnya sambil tersenyum lega. Botol jus oren disambar sebelum dia kembali duduk dikerusi. Ketika dia hendak meneguk jus tersebut Haura melihat kelibat seorang lelaki yang dia kenali.
"Eh, tu budak yang kena ceramah dengan aku tadi, kan?" Soalnya di dalam hati. Keningnya bertaut.
Haura berasa agak pelik apabila melihat ada tiga orang lelaki lain yang agak sado badannya mengekori lelaki itu. Lelaki bersweater hitam itu menuding jarinya ke satu arah. Wajah mereka kelihatan sangat serius.
"Nak pergi bertumbuk dekat mana pula tu? Tak serik-serik lagi budak ni." Bebel Haura. Keluh pendek dihela sebelum menyambung kembali meneguk jus oren miliknya.
Tubuhnya tiba-tiba kaku, matanya pula luas terbuntang. Jantungnya mula berdegup kencang. Botol air terus diletakkan ke atas meja.
"Jangan cakap dia nak pergi tempat tadi, cari aku." Laju tanggapan tersebut keluar dari mulutnya. Riak risau mula kelihatan diwajahnya. Haura mula tidak senang duduk.
"Tak mungkin mamat tu masih ada dekat situ. Mesti dia dah pergi cari makcik tu untuk pulangkan beg tangan dia." Haura menggelengkan kepalanya beberapa kali. Namun minda dan hatinya tidak bersependapat. Dia mula membayangkan segala kemungkinan yang bakal terjadi. Negatif!
"Relaks Haura. Tak ada apa yang akan jadi pada Mikael. Entah-entah budak tadi nak pergi ke tempat lain. Tak perlu overthinking sangat." Bisiknya perlahan bagi menenangkan hatinya yang kian resah itu. Kakinya mula tidak duduk diam. Makin lama makin kuat menepuk lantai. Dia cuba mencari akal.
Setelah berfikir untuk sejenak akhirnya Haura mengambil keputusan untuk pergi memeriksa jika benar tiada apa yang berlaku di sana. Dia tidak mahu ada perkara yang buruk menimpa Mikael kelak.
Dengan tergesa-gesa dia berlari keluar dari kedai serbaneka lalu menuju ke kawasan lorong di mana dia meninggalkan Mikael sendirian. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat terdapat sekumpulan lelaki berada di lorong tersebut. Haura segera menyorok disebalik dinding. Lorong itu agak jauh dari jalan besar jadi tidak ramai orang yang lalu-lalang di situ.
YOU ARE READING
Jika Dia Untukku [COMPLETED]
Roman d'amour[DALAM PROSES EDITING] Jannatul Haura telah mengambil keputusan menutup rapat pintu hatinya kepada mana-mana lelaki selepas cintanya dikhianati oleh tunangnya sendiri. Hancur luluh hatinya hanya tuhan saja yang tahu. . Kerana wasiat arwah datuknya...