Cahaya bulan yang terang menyinari sekitar kediaman Puan Hafizah. Dia dilihat sedang duduk sendirian di tangga. Sudah hampir 3 bulan Haura menghilangkan diri. Semenjak hari itu Puan Hafizah asyik melengung sahaja menantikan kepulangan anak perempuannya itu.
Jika sebelum ini apabila wanita itu menghilang, dia tidak terlalu ralat kerana dia tahu anaknya selamat di bawah pantauan orang tuanya di Terengganu. Tetapi kini Haura benar-benar telah hilang dari radar. Tidak ada seorang pun yang tahu ke mana dia pergi termasuk sahabat karibnya, Mona.
Sedang dia asyik mengelamun tiba-tiba bahunya disentuh lembut dari belakang. Lamunan Puan Hafizah serta-merta mati lalu dia segera menoleh ke arah tersebut. Wajah Encik Zamzuri terpapar di kaca pandangannya. Bibirnya sedikit terangkat, sebuah senyuman kelat terukir di bibir wanita itu.
"Hari dah lewat ni, tak elok awak duduk lama-lama dekat luar." Ujar Encik Zamzuri memecah kesunyian malam. Puan Hafizah sekadar memandang wajah suaminya itu sepintas lalu.
"Abang tahu awak risaukan anak kita tu tapi janganlah sampai awak mengabaikan soal kesihatan awak sendirian. Abang tengok umi lagi sihat dari awak sekarang ni." tambah Encik Zamzuri lagi. Sempat dia menyakat isterinya itu. Jelingan tajam yang dilemparkan oleh Puan Hafizah mengundang tawa suaminya itu.
"Orang tengah serius dia boleh main-main pula. Abang tak risau ke kalau ada benda yang tak elok berlaku pada anak kita tu?" Balas Puan Hafizah berbaur merajuk. Kening Encik Zamzuri bercantum.
"Bukan ke siang hari tadi Haura baru je telefon awak. Macam mana awak boleh cakap ada sesuatu yang dah jadi pada dia. Dia ada bagitahu apa-apa pada awak ke?" Soal Encik Zamzuri kembali dengan nada berbaur bimbang. Wajah isterinya itu direnung lama. Puan Hafizah menggeleng perlahan. Encik Zamzuri menghela keluh lega.
Selepas Haura memutuskan untuk tidak meneruskan hubungannya dengan Mikael, dia terus menghilangkan diri tanpa pengetahuan sesiapapun. Kali ini dia benar-benar ingin memencilkan diri demi mengubat lara dihatinya itu.
Setelah berbulan-bulan berlalu, akhirnya Haura muncul dengan menghubungi ibunya untuk memaklumkan tentang dirinya yang sedang baik-baik sahaja di sana. Dia tahu Puan Hafizah adalah orang yang paling terkesan dengan kehilangannya itu. Meskipun begitu dia tetap merahsiakan tentang keberadaannya.
"Awak masih tak percayakan anak kita tu?" Tanya Encik Zamzuri lagi. Sekali lagi wajah suaminya ditatap sebelum melepaskan keluh yang perlahan.
"Izah bukan tak percayakan dia tapi ..." Kata-kata Puan Hafizah mati di tengah jalan. Suaranya mula bergetar menahan sebak. Encik Zamzuri sekadar menanti jawapan yang bakal diberitahu oleh isterinya itu.
"Tapi, hati Izah ni selalu sangat resah bila fikirkan pasal anak kita tu. Selagi Izah tak nampak dengan mata kepala Izah sendiri, selagi itulah hati Izah ni akan berasa tak tenang." Sambung Puan Hafizah lagi. Encik Zamzuri merangkul bahu isterinya itu lalu diusap perlahan. Wanita itu kemudian merebahkan kepalanya pada bahu suaminya itu lalu memejam rapat kedua belah matanya. Mereka diam sejenak.
"Saya dengar awak ada berjumpa dengan Datin Norlie, betul ke?" Selang beberapa ketika Encik Zamzuri cuba menukar topik. Sepantas kilat Puan Hafizah mengangkat kepalanya lalu segera membetulkan kedudukan.
"Ya Allah! Macam mana Izah boleh lupa nak bagitahu abang." Kata-kata itu meluncur laju keluar dari mulutnya. Suaminya sekadar tersenyum.
"Macam mana keadaan Mikael? Masih tak ada perubahan ke?" Tanya Encik Zamzuri.
"Lepas mereka bawa dia ke kubur Sophia, agak teruk juga keadaan Mikael selepas tu. Yelah dia nak kena berlawan dengan emosi dia sendiri, kan. Celik je mata tiba-tiba semua orang cakap tunang dia dah meninggal 6 tahun lepas. Padahal dalam kepala dia seperti baru semalam dia berjumpa dengan wanita itu. Kalaulah Izah yang diduga macam tu, mungkin Izah dah sasau agaknya." Puan Hafizah mula membuka cerita.
YOU ARE READING
Jika Dia Untukku [COMPLETED]
Romance[DALAM PROSES EDITING] Jannatul Haura telah mengambil keputusan menutup rapat pintu hatinya kepada mana-mana lelaki selepas cintanya dikhianati oleh tunangnya sendiri. Hancur luluh hatinya hanya tuhan saja yang tahu. . Kerana wasiat arwah datuknya...