Haura melangkah keluar dari bilik Puan Sri Normah dengan wajah yang sugul. Sehingga kini dia masih tidak mendapat respon dari Mikael. Pada awalnya dia ingin bertanya tentang Mikael kepada Puan Sri Normah tetapi nampak gayanya wanita itu juga tidak tahu tentang keberadaan Mikael.
Haura sempat singgah dan berbual seketika dengan Laila sebelum dia kembali ke biliknya. Namun kehadiran Suri telah mematikan langkah serta hasratnya.
"Korang sembang pasal apa ni?" tanya Suri. Laila dan Haura sama-sama terdiam. Mereka saling berbalas pandang.
"Sembang kosong je. Kamu dari mana ni?" soal Laila kembali kepada Suri.
"Saya ada hal sikit tadi." balas Suri sambil matanya menjeling ke arah Haura. Haura hanya mendiamkan dirinya.
Melihat Haura yang tersenyum bila berbicara dengan Laila membuatkan Suri berasa sakit hati. Dia merasakan seolah-olah Haura sedang menyindirnya. Tadi dia melihat Mikael yang tersengih sendirian, kini Haura pula. Hatinya sakit bagai disiat-siat.
Suri dapat rasakan kehadirannya di situ seperti tidak dialu-alukan. Tanpa berkata panjang dia kemudian pergi meninggalkan Laila dan Haura. Selang beberapa ketika Haura meminta diri untuk kembali ke biliknya.
Di pertengahan jalan Suri telah menarik Haura dengan kasar ke suatu sudut. Agak terlindung dari pandangan para pekerja yang lain. Haura mengaduh kesakitan dek tubuhnya terhentak ke dinding. Dia sangat terkejut dengan tindakan Suri itu.
"Apa masalah kau ni Suri?" marah Haura. Di renungnya tajam ke mata wanita itu. Dia menggosok lengannya yang terasa sakit itu.
"Apa yang kau dah buat pada Mikael?" soal Suri bernada marah sambil matanya cerlung memandang Haura. Lengan Haura digenggam kuat. Haura tergamam.
"Apa maksud kau?" balas Haura. Dia merentap kasar tangannya dari genggaman Suri.
"Kau tak payah nak berlakon la depan aku. Aku tahu ada benda yang tak baik yang kau dah buat pada Mikael, kan?" ujar Suri.
"Tolonglah jangan merepek. Kau jangan nak reka cerita yang bukan-bukan dekat sini." balas Haura. Hatinya mula rasa gelisah. Dia tertanya-tanya apakah yang Suri maksudkan itu. Ada sesuatu yang telah terjadi pada Mikael ke?
"Aku yang reka cerita atau kau yang tak nak perkara sebenar terbongkar? Selama aku kerja dekat sini, aku tak pernah tengok Mikael macam tu tau. Tapi semua tu berubah dengan sekelip mata je. Itupun selepas kau jadi PA dia." ujar Suri kasar.
"Kau ada jumpa dengan dia ke? Dia ada dekat mana sekarang?" dengan laju Haura bertanya. Dahi Suri berkerut.
"PA apa macam ni kalau bos sendiri pun tak tahu ada dekat mana. Macam ni la bila orang yang tak ada pengalaman buat kerja. Satu benda pun tak boleh diharap." bisik Suri sendirian.
"Kenapa kau tanya? Kau nak pergi keruhkan lagi keadaan? Lepas kau tak dapat Dazrin, sekarang kau nak goda Mikael pulak?" sindir Suri kepada Haura namun Haura tidak menghiraukan semua itu. Yang dia ingin tahu sekarang adalah tentang keberadaan Mikael.
"Tolonglah Suri. Bagitahu aku dekat mana kau jumpa dia. Seharian aku call dan mesej dia tapi tak berjawab." bergetar suaranya bertanya kepada Suri. Dia benar-benar ingin tahu di mana dan bagaimana keadaan Mikael ketika itu.
"Terang lagi bersuluh. Kau tak nampak lagi ke? Atau kau memang sengaja buat-buat tak nampak?" Suri memerlinya lagi.
"Aku betul-betul tak faham apa yang kau maksudkan tu Suri." balas Haura.
YOU ARE READING
Jika Dia Untukku [COMPLETED]
Lãng mạn[DALAM PROSES EDITING] Jannatul Haura telah mengambil keputusan menutup rapat pintu hatinya kepada mana-mana lelaki selepas cintanya dikhianati oleh tunangnya sendiri. Hancur luluh hatinya hanya tuhan saja yang tahu. . Kerana wasiat arwah datuknya...