BAB 97

351 5 0
                                    

Sebilah pisau digenggam erat sambil menikam beberapa keping gambar di atas meja. Paras rupanya yang kusut masai tidak ubah orang tidak siuman. Sesekali dia menangis berselang-seli dengan ketawa. Mukanya basah dek airmata yang mengalir. Habis comot solekan yang terhias diwajah.

Hati Rissa terasa amat sakit apabila dipermalukan sebegitu oleh Mikael. Lebih-lebih lagi di hadapan musuh ketatnya, Haura. Untuk mendapatkan Mikael tidak semudah yang dia sangka. Usaha yang telah dia berikan masih tidak mencukupi. Memikirkan lelaki itu bergelak ketawa dalam pelukan wanita membuatkan hatinya makin membara.

"Tiada sesiapa yang layak mendapatkan Mikael selain aku. Jangan sesekali kau berangan untuk hidup bahagia dengan dia!" Tuturnya garang seraya menikam kuat pisau ke meja sehingga terpacak.

Telefon bimbit segera dicapai. Dia mengarahkan orangnya untuk memasang mata serta mengekori Mikael dan Haura. Setiap gerak geri mereka harus dilaporkan kepadanya. Pastikan mereka berdua di bawah pengawasannya 24 jam.

Setelah lebih seminggu dia mengawasi mereka akhirnya Rissa memutuskan untuk menghapus wanita itu dari hidup Mikael. Setiap gambar yang dihantar oleh orang upahannya terasa sangat menjengkelkan. Matanya sungguh sakit melihat senyuman lebar yang terhias diwajah Haura. Dia merasakan wanita itu seolah-olah sedang menyindirnya.

"Now it's your turn, Haura!"

Setelah memikirkan rancangan untuk hapuskan Haura, Rissa mengarahkan orangnya untuk menculiknya. Kemudian bawa wanita itu ke gudang lama yang terdapat di tanah persendirian milik keluarganya. Teringin benar dia bersua muka dengan wanita itu. Tidak sabar untuk melihat reaksi yang tidak ternilai yang bakal diberikan oleh Haura kelak. Dia akan tertawa besar setiap kali membayangkan perkara itu dimindanya.

"Tak lama lagi kita berdua akan bersatu. You akan jadi milik I Mikael." Sekeping gambar yang menunjukkan wajah penuh lelaki itu diusap perlahan. Dia tersenyum kucing.

*****
Sebuah kereta masuk ke perkarangan bangunan Khazzan Group dengan laju. Dengan selamba Datin Noreen meletakkan kenderaannya betul-betul di hadapan pintu masuk bangunan tersebut. Usai sahaja mematikan enjin dia segera keluar lalu bergegas masuk. Di tangannya terdapat dua buah beg tangan berjenama. Satu disangkutkan dilengannya manakala sebuah lagi dipegang erat di tangan. Nafasnya turun naik dengan sangat laju. Kejadian yang disaksikan tadi benar-benar mengejutkan.

Setelah melihat Haura dicekup oleh lelaki yang tidak dikenali, dia segera berlari untuk mengejar namun sia-sia. Kudrat tuanya tidak mampu untuk menyaingi kenderaan empat roda tersebut. Dia buntu, tidak tahu untuk berbuat apa. Beberapa orang lain yang menyaksikan kejadian tersebut mula berkumpul.

"Ini beg tangan perempuan tadi, kan?"

Tiba-tiba salah seorang dari mereka bersuara. Sebuah beg tangan berjenama di angkat ke udara. Isi perut beg tangan tersebut ada yang telah termuntah ke atas jalan tar termasuk sebuah telefon bimbit. Datin Noreen segera mendapatkan barangan tersebut.

Entah kenapa tiba-tiba sahaja wajah Rissa mula muncul dibenak fikirannya. Datin Noreen sangat yakin bahawa semua ini adalah perbuatan wanita itu. Mungkin kerana beberapa kata ugutan yang pernah dilontarkan oleh Rissa membuatkan dia mula mengesyaki wanita itu.

Pada ketika itu juga salah seorang dari saksi ingin menghubungi pihak polis berkenaan kejadian tersebut namun segera dihalang oleh Datin Noreen. Jika benar tanggapannya itu bermakna nyawa Haura sedang dalam bahaya. Dia pasti Rissa sengaja menggunakan Haura untuk mendapatkan Mikael semula. Dasar perempuan gila! Dia perlu melakukan sesuatu.

Tiba di aras yang dituju Datin Noreen segera menyerbu masuk ke dalam bilik Mikael. Lelaki itu yang sedang ralit berbual sangat terkejut dengan kehadiran ibu saudaranya itu. Dazrin yang turut berada di situ mula menghidu sesuatu setelah melihat raut wajah ibunya yang sedikit pucat serta kelihatan resah. Beg yang berada di tangan ibunya dilirik sekilas. Keningnya terangkat sebelah.

Jika Dia Untukku [COMPLETED]Where stories live. Discover now