MMM 8

301 16 0
                                    

Di dalam bilik perpustakaan mini milik Puan Jasmine, terdapat satu bahagian buku yang belum pernah dibaca oleh wanita itu. Kerana itu, semenjak 3 tahun yang lalu, ada satu perkara yang Daisy selalu lakukan dengan ibunya.

Daisy akan membacakan satu buku baharu, untuk setiap bulan yang mendatang.

Daisy berdiri tegak di dalam gaun tidur, merenung satu persatu tajuk yang terhidang. Ada beberapa bahasa yang berbeza, memandangkan Puan Jasmine dengan 7 bahasa meluncur hebat di lidahnya. Lagi-lagi, Bahasa Itali memandangkan itu mengalir dalam darah asal dari neneknya.

Mengambil satu buku berBahasa Inggeris, Daisy tersenyum melihat tajuknya.

Jane Eyre.

Ibunya cukup suka dengan buku-buku klasik. Tentu Puan Jasmine ternanti-nanti, dengan fikiran itu Daisy terus berpusing dan melangkah keluar daripada situ. Karya Charlotte Brontë dibawa rapat ke dada. Melihatnya, mengingatkan Daisy kepada memori dari 3 tahun yang lalu. Ketika itu, Puan Jasmine pertama kali mengenali penulis ini melalui sebuah filem Jane Eyre itu sendiri. Daisy dan ibunya sama-sama menonton sebelum percutian mereka di sebuah pulau.

Daisy terhenti melangkah. Nafas ditarik dalam. Percutian yang teruk.

Ketika itu, terdengar gema gelak ketawa beberapa orang kakak tirinya dari tingkat bawah. Daisy tersentak dari lamunan singkat itu. Di salah satu tingkat, terdapat sebuah ruang rehat yang selalu digunakan oleh adik-beradik Marigold. Lagi-lagi, apabila semuanya ada bersama. Ibu-ibu tiri Daisy seperti biasa, berada di luar negara untuk membeli-belah di hujung minggu. Tuan Bruce juga jarang berada di rumah.

Mungkin malam ini, kerana majlis Hannah yang mendatang.

Daisy mendekati dan berhenti di sebalik pasu pokok besar. Dia melihat Hannah berada di tengah-tengah tumpuan mereka. Siapa yang tidak sayangkan gadis itu? Dia terlampau baik walaupun dengan Daisy. Sehinggakan Adeena, kakak tiri kedua sulung yang cukup serius pun tersenyum dengan Hannah.

Memerhati dalam diam, Daisy dapat merasakan aura kekeluargaan mereka. Sembilan orang gadis yang menyayangi antara satu sama lain walaupun berbeza ibu. Seperti kisah dongeng, sembilan orang puteri yang melindungi setiap daripada mereka.

Namun..

Setiap kisah dongeng itu, tentu ada sisi gelapnya bukan? Sembilan orang puteri cantik yang diceritakan kepada dunia, tanpa memberitahu tentang puteri terakhir yang hodoh dan bodoh.

Daisy tahu dia tidak layak untuk membandingkan kisahnya memandangkan manusia di luar sana juga cemburu dengan kesempurnaan yang dimiliki. Namun, Daisy tetap terasa seperti itu. Terasa dipinggir. Di waktu seperti ini, Hannah dan Puan Qalsum terasa jauh. Mereka tetap keluarga tiri, dan mereka diterima dengan sempurna oleh keluarga yang lain.

Hanya Puan Jasmine yang benar-benar menjadi keluarga sebenar Daisy. Syurga Daisy. Jika wanita itu pun tiada di sisi, apa yang Daisy harus lakukan di atas dunia ini? Ruang kesunyian yang terperap di sudut jiwa... akan mula memakan dirinya.

"Isy!"

Daisy tersentak tatkala namanya dipanggil Hannah. Semua mata mula tertumpu ke arah gadis itu.

"Come here!"

Hanni yang berada di sebelahnya, terus mengeluh kuat. Itu tidak mengganggunya. Namun, apabila majoriti mata-mata memperlihatkan ketidak-sudian mereka, terus Daisy menggeleng dan tersenyum.

"It's okay, kakak. Daisy nak teman mommy." Daisy mengangkat buku di tangan, menunjukkan maksud di sebalik ayatnya.

Tiba-tiba, ada satu suara yang tidak mampu menahan gelak.

Marigold Mr. Mafia [OG]Where stories live. Discover now