MMM 28

210 13 3
                                    

Playlist:
Diary - Heize


Bangun, sayang..

Bangun..

Bunyi guruh menyedarkan Daisy dari tidur petangnya. Perlahan-lahan, gadis itu menegakkan tubuh dan meliarkan mata ke luar tingkap bilik. Langit sudah gelap, memberitahu Daisy terlelap sehingga matahari sudah hilang dari paksinya. Mujur juga waktu ini masih sedang hujan, tidaklah Daisy terasa begitu pening dan mamai.

Daisy mengambil beberapa minit untuk duduk di birai katil. Mencari kesedarannya sebelum bangun dari situ. Bening mata redup merenung lantai dan kaki sebelum tangan perlahan-lahan naik untuk membetulkan rambutnya. Lambat-lambat juga, pandangan mata Daisy naik ke dalam kegelapan di hadapannya. Cahaya rembulan sedikit demi sedikit membantu penglihatan gadis itu, meneliti ruang dalam kamar tidur arwah ibunya.

Cadar lama yang sedikit berhabuk itu diusap-usap lembut.

Lama dahulu, setiap kali Daisy datang ke sini, dia akan tidur bersama dengan Puan Jasmine di atas katil ini. Setiap kali bangun pula, tentu ada sahaja makanan yang disediakan oleh mendiang neneknya, Puan Sofia. Diletakkan di atas meja makan di dapur atau berkelah olok-olok di atas rooftop. Jika ketika itu sedang hujan, Puan Jasmine akan memakaikan Daisy sweater hasil kait tangan sendiri dan Puan Sofia akan menyediakan susu suam bersama homemade cookies untuk satu-satu cucu kesayangannya.

Wang bukan masalah buat dua wanita bekerjaya tinggi itu, sebaliknya gaya hidup mereka tersangat sederhana dan dipenuhi rasa kehangatan. Kehangatan di dalam rumah kecil ini. Kerana itu, Daisy sangat menyukai jika waktu cuti sekolahnya dipenuhi dengan apa-apa sahaja di Itali.. di sini.

Waktu itu pun.. Tuan Bruce masih memandangnya dan memberikannya kasih sayang seorang bapa. Tidak putus, tidak kurang. Subur sahaja seperti hubungan rumah tangganya dan Puan Jasmine. Selalu Daisy menyoal diri sendiri.. mengapa bapanya mampu tiba-tiba berubah dingin dengannya. Jika dahulu, Daisy mungkin tidak akan percaya seandainya dia yang sekarang - merentas masa dan memberitahu diri sendiri tentang hubungan renggang ini. Tidak. Terlampau mustahil untuk Daisy percaya.

Dan sekarang, ironinya...

Itulah realiti Daisy dan hampir saban hari dia menyoal soalan yang sama.

'Kenapa?'

Nafas dihembus perlahan.

Mungkin soalan itu sudah lama Daisy tahu jawapannya. Jawapan yang terlampau jelas yang membuatkan Daisy menutup mata dan hatinya dengan penafian dalam diam. Di kala itu, sabar setiap hari menunggu Puan Jasmine membuka mata.

Jawapan.

Apa yang berubah pada Puan Jasmine beberapa tahun yang lepas, itulah apa... yang mengubah layanan Tuan Bruce terhadap Daisy.

Jika benar apa yang berlaku beberapa tahun yang lepas sebelum kecederaan itu mempunyai ikatan dengan Leonardo, Daisy tidak akan mampu untuk mengungkit kebenaran yang sudah lama luput di dalam memori gadis itu. Walaupun mimpi-mimpinya selama ini mulai masuk akal.. Walaupun renungan diam Leonardo mulai masuk akal.. Walaupun apa yang pernah diberitahu Sebastian mulai masuk akal.. Walaupun perasaan tersembunyi di sudut terdalam jiwa Daisy jua mulai masuk akal.. Dan.. lelaki yang pernah menghalakan senjata api pada hari pertama gadis itu berada di mansion.

Semua itu.

Kerana itu, sehingga sekarang Daisy masih belum bertanyakan Leonardo tentang masa lalu mereka. Apa yang berlaku dahulu, dan jika benar.. mengapa mereka berdua bertemu secara kebetulan hanya pada tiga bulan yang lepas.

Renungan Leonardo yang ganjil di kala pertemuan pertama mereka, masih segar di dalam otaknya. Dan, Daisy tidak akan pernah melupakan satu nama asing yang ditutur oleh Puan Jasmine sebelum wanita itu pergi meninggalkannya.

Marigold Mr. Mafia [OG]Where stories live. Discover now