"Seroja. Akak nak pergi ke surau. Tolong tengokkan Kuntum ya? Lagi satu jangan buka pintu sembarangan. Kamu tu anak dara tau," ujar Cempaka seraya memberikan senyuman.
"Baik kak. Kak Cempaka usah risau, aku ada kuali nak ketuk-ketuk kepala orang yang berani nak kacau diriku sama Kuntum," ujar Puteri Syarifah Seroja sambil ketawa. Cempaka hanya menggeleng seraya ketawa mendengar kata-kata Puteri Syarifah Seroja.
Memandangkan malam itu malam jumaat. Cempaka akan duduk di surau hingga masuk waktu isyak untuk membaca surah yaasin bersama jemaah yang lain. Biasanya Cempaka akan sekali-sekali ke surau membawa Kuntum bersama.
Pada hari biasa pula dia jarang sekali ke sana. Memandangkan rumahnya berada di kawasan tinggi dan berbukit. Dia jarang sekali ke sana kecuali bersama abahnya.
Mulut Puteri Syarifah Seroja sejak tadi berkumat-kamit memperbanyakkan selawat lagi-lagi pada hari jumaat kerana teringat pandangan Imam al-Shafie.
Imam al-Sakhawi menukilkan pandangan Imam al-Shafie: "Daku menyukai untuk perbanyakkan selawat kepada Nabi pada setiap keadaan dan apabila berada pada malam dan siang hari Jumaat, maka keinginanku akan bertambah sangat kuat untuk berselawat."
Sejak Puteri Syarifah Seroja terperangkap di kerajaan musuh ini dia tidak pernah menjejakkan kaki keluar kerana risau ada yang mengenali dirinya. Walaupun dirinya tahu ramai yang tidak mengetahui wajah sebenarnya. Namun, itu tidak bantu mengurangkan sedikit pun keiinginan dirinya yang mahu berhati-hati sepanjang dirinya di sini.
Kerajaan Grindacara amatlah menggerunkan semua rakyat jelata kerajaan ini. Raja pada kerajaan ini sering menjamu darah. Dengar khabar berita, dayang yang sering memasak makanan Raja Jamrun secara tidak sengaja jarinya terluka dan darahnya termasuk ke dalam sajian utama yang akan disajikan untuk Raja Jamrun.
Sejak itu, Raja Jamrun hanya akan memakan makanan yang telah dicampuri dengan darah. Menggerunkan. Tidak heran jika ramai rakyat jelata di kerajaan ini hilang dan lesap secara tiba-tiba.
Suasana di rumah Cempaka sejak tadi hanya ditemani bunyi cengkerik. Sekali sekala bunyi daun-daun yang bersentuhan antara satu sama lain akibat angin yang membelai daun menghiasi suasana malam itu.
Kuntum pun bangun dari tidurnya. "Kakak. Mana ibu? Nak ibu. Nak susu," ujar Kuntum seraya menggosok matanya perlahan. Perkataan yang dilontarkan oleh Kuntum sedikit pelat tetapi masih difahami oleh Puteri Syarifah Seroja.
"Nak susu? Sebentar ya," ujar Puteri Syarifah Seroja lembut. Puteri Syarifah Seroja pun lantas bangun dan mengambil susu yang telah tersedia. Cempaka telah memberitahu kepadanya soal susu yang telah disediakan itu.
Puteri Syarifah Seroja pun terus menghulurkan susu itu kepada Kuntum. Cawan diangkat kemas oleh Kuntum dan dibantu oleh Puteri Syarifah Seroja. Sekejap saja air susu itu habis diminum.
"Nak makan. Lapar." Sambung Kuntum seraya tangannya memegang lengan Puteri Syarifah Seroja dan tangannya mula menyentuh bahu Puteri Syarifah Seroja yang masih luka.
Puteri Syarifah Seroja mengaduh perlahan. Bibir bawahnya digigit untuk menahan sakit. Lantas dia memegang tangan comel itu dan digenggam lembut.
Tok tok tok!
Puteri Syarifah Seroja kehairanan siapa yang mengetuk pintu? Dia merasakan seperti masih agak awal untuk Cempaka sudah pulang dari surau. Jadi siapa?
YOU ARE READING
Hikayat Insan Nayanika
Historical FictionSungguh benar malang tidak berbau. Apabila Allah telah mentakdirkan Puteri Syarifah Seroja terperangkap di kerajaan musuh iaitu Kerajaan Grindacara. Dia sebagai puteri sulung Kerajaan Puspawangi mula runsing. Apakah cara yang dia boleh lakukan supay...